Thursday 17 March 2011

Perbetulkan Diri Sebelum Menyeru

:Salam:


Tukang Kayu selalu dengar orang kata tugas pendakwah hanya ustaz-ustazah sahaja. Kita yang jahil jangan sibuk sangat hendak membetulkan orang. Aduh! Tidak betul pemikiran begini. Setiap muslim perlu membetulkan kesilapan orang lain sesuai dengan tingkatan pengetahuannya. Jika setakat menegur perkara-perkara asas seperti solat, puasa, aurat dan hal yang tidak melibatkan hukum, Tukang Kayu berpendapat ia tidak menjadi masalah. Tetapi, syaratnya yang menegur itu perlulah melakukan perkara yang ditegur terlebih dahulu sebelum dia membetulkan orang lain.

Memudahkan bicara, sekiranya kita menegur rakan kita supaya bersolat, kita perlu memastikan kita terlebih dahulu menjaga solat kita. Jangan pula kita dicop sebagai "cakap tak serupa bikin". Bukan itu sahaja, sesiapa yang menyeru kepada kebaikan tapi dia tidak melakukannya, turut mendapat kebencian daripada Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, menga­pa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat, amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As Saff: 2-3)

Dalam kitab Matan Zubad juga ada mengatakan:

"Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab terlebih dahulu sebelum penyembah berhala"

Cukup rasanya bagi Tukang Kayu dua kenyataan di atas betapa pentingnya muhasabah diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyeru kepada orang lain. Sudah tentu ada sebabnya. Macam mana kita hendak membetulkan diri orang lain walhal diri kita masih terpalit dengan kesalahan? Wajarkah seorang wanita free hair menegur seorang wanita lain supaya bertudung?

Tetapi, ada tapinya. Jika terjadi kes-kes cakap tidak serupa bikin, tidak bermakna kita boleh menolak 100% tegurannya. Jika teguran itu baik untuk kita, tidak mengapa untuk kita mengambil iktibar darinya. Jika seorang peminum arak menegur kita supaya bersolat awal waktu, bukankah seruan itu baik bagi kita sebagai peringatan? Ini kerana mengikut kata Saidina Ali Karamallah Wajhah:

"Lihatlah apa yang dikata, bukan siapa yang berkata"

Teguran itu perlu, kerana kita adalah manusia yang sentiasa terlupa.

0 comments:

Post a Comment