Saturday 29 September 2012

Isu Sunni-Syiah (2): Satu Pandangan

Isu Sunni-Syiah bukan isu baru di negara kita. Malah ia adalah isu global dalam dunia Islam di mana seringkali menimbulkan perbahasan antara satu sama lain. Namun, dunia Islam kini sebenarnya lebih menumpukan urusan untuk meluruskan jemaah antara Sunni dan Syiah (pelopor mazhab terbesar dalam Islam). Sunni adalah nama ringkasan untuk golongan Ahli Sunnah Al Jamaah, dan di dalamnya terdapat empat mazhab fiqh pegangan utama iaitu Syafiee, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Manakala golongan Syiah pula terbahagi kepada beberapa pecahan, namun majoritinya adalah Imamiyyah dan Zaidiyyah. Mereka berpaksikan kepada Fiqh Ja'fariyyah, sempena pengasas fiqh mereka yakni Imam Ahlul Bayt ke-6 iaitu Imam Ja'far Al-Sadiq.

Sejarahnya amat panjang, namun tidak pula berniat untuk berbicara mengenainya. Ringkasan pengenalan di atas adalah sebagai satu idea perbezaan antara Sunni dan Syiah. Sebelum kita mengeluarkan hukuman sesat dan kafir ke atas mereka, hendaklah kita mengenali mereka dengan sebenar-benar pengenalan. Seorang lelaki yang mahu mengenali rapat dengan seorang perempuan, hendaklah bertanya dan bertemu dengan empunya diri, bukan mengenali melalui cakap-cakap orang lain. Begitu jugalah halnya Syiah, jika kita mahu benar-benar ikhlas mahu mengenali mereka, hendaklah bertanya kepada mereka sendiri, bukan orang selain mereka. 

Analogi lain yang sering saya gunakan untuk puak ekstremist adalah jika kamu tidak faham matematik, seharusnya kamu bertanya kepada guru matematik, bukan bertanya kepada guru pendidikan jasmani. 

Tentu sekali, tujuan penulisan bukanlah mahu mengajak orang ramai berbondong-bondong menyertai Syiah,  malah sejak mengenali Syiah, saya masih seorang yang berpegang kepada Manhaj Salaf. Namun penulisan yang biasa ini hanya sekadar mahu meluruskan jemaah dan bersikap adil terhadap mereka. Hakim yang zalim adalah hakim yang menjatuhi hukuman tanpa bersandar dan mendengar hujah pihak yang bersalah. Maka hindarilah kezaliman, kerana zalim adalah perkara yang keji dan terkutuk.

Jadi, cubalah tanya diri kita. Jika kita berkata buruk kepada mereka (Syiah) dengan tuduhan sesat dan kafir, adakah kita pernah bertanya kepada mereka untuk meminta penjelasan dan penerangan? Jika tidak ada, samalah kedudukan anda dengan hakim yang zalim itu.

Islam sudah berpecah kepada beberapa golongan. Sungguhpun bilangan penganutnya ramai, tetapi ia kelihatan sedikit dan kecil akibat perpecahan ini. Maka tidak hairanlah Islam sering kali diperlekeh dan diperkecilkan oleh orang luar, kerana kita hanya besar pada bilangan, tetapi kecil dalam persatuan. Perpecahan ini diburukkan lagi dengan sikap prejudis antara satu sama lain yang membawa kepada permusuhan dan pembunuhan.

Philipe Senderos memeluk Islam

Philip Senderos adalah pemain (bekas?) bola sepak Liga Inggeris dan memeluk Islam. Sekali pandang, kita mengucapkan Alhamdulillah. Tetapi apabila datang puak-puak pemecah belah, mereka mempertikai keIslaman Sanderos kerana memilih Islam berfahaman Syiah. Malah ada yang berkata "Syiah rupanya, samalah juga tak masuk Islam!" Ya Tuhan!

Adakah Islamnya seseorang itu terletak pada tangan kita? Adakah kita layak untuk menjatuhkan hukuman sedemikian? Adakah kita benar-benar mempraktikkan penampilan diri dan pergaulan sosial mengikut Islam yang sebenar sebelum mempertikaikan keIslaman orang lain? 

Saya tidak mahu berbicara lebih panjang, kerana khuatir akan dituduh sebagai penyebar ajaran Syiah. Namun tulisan-tulisan mengenai hubungan Sunni-Syiah adalah lebih kepada soal penyatuan umat. Di saat umat Islam dihina dan diperlekeh oleh musuh, kita masih bersilat dengan isu perbezaan mazhab yang hanya melemahkan kekuatan umat Islam. 

Saya quote penulisan rakan maya dari Indonesia dan saya bersetuju dengannya:

Kami pribadi mengakui Syiah sebagai salah satu mazhab dalam Islam. Berbagai perbedaan antara Sunni dan Syiah tidak membuat salah satu layak untuk mengkafirkan yang lainnya. Kami mengajak kepada para pembaca untuk bersikap adil tanpa dipengaruhi mazhab manapun, kami tidak pula mengajak para pembaca agar menjadi penganut Syiah atau penganut Sunni. Apapun mazhab Islam yang dianut, hendaknya kita menjaga persatuan, saling menghormati dan menjaga kerukunan sesama muslim.

Ya, benar. Sunni dan Syiah adalah berbeza. Ianya isu iman dan akidah. Tetapi pernahkah kita bertanya kepada mereka apakah pegangan akidah mereka? Mereka menjawab:

"Tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah"


Sunday 23 September 2012

YB Ngeh Hina Islam?

Dalam banyak-banyak hal, saya lebih suka memperingatkan diri dan orang ramai supaya tidak cepat melatah dalam sesuatu isu. Orang yang latah dia cepat respon, tetapi kita yang sedar hakikat itu menganggap respon itu adalah kosong dan sia-sia. Orang yang latah bila kita tepuk atau cuit sikit, latahnya bukan main. Dengan carutan mahupun angkat tangan untuk katuk kepala.

Latah terhadap sesuatu isu dan latah kerana dicuit banyak bezanya. Orang latah kerana dicuit responnya amat cepat tanpa sempat menggunakan akal yang sihat untuk membuat penilaian. Bagi orang yang latah terhadap sesuatu isu pula, kita diberikan masa untuk memahami, memperhalusi, memikirkan kesan dan akibat, baik dan buruknya serta merancang tindakan yang lebih efektif, harmoni dan aman sejahtera terhadap isu tersebut.


Kita mungkin boleh faham secara literal kenyataan di atas, tetapi kita mungkin tidak faham maksud sebenar YB Ngeh ingin utarakan. Cuma, bagi saya kenyataan itu adalah tidak wajar dalam suasana umat Islam merasa terguris kerana insan mulia dicerca dan dihina. YB Ngeh sendiri pernah turun demonstrasi semasa BERSIH dahulu kerana menentang kekotoran dalam pilihanraya, tetapi kita tidak pula mendengar isu membazir masa dan tenaga kerana turun demonstrasi untuk itu. Jadi, untuk isu protes terhadap karya jelek Innocence of Muslim (IOM), YB Ngeh mungkin sepatutnya lebih peka kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam.

Dalam sudut lain, saya bersetuju sekiranya wasting time and energy itu ditujukan kepada segelintir manusia yang menggunakan alasan perhimpunan untuk menentang IOM dijadikan medan untuk mengecam pemimpin Pakatan Rakyat. Pelik dan aneh apabila niat untuk membela insan bernama Muhammad bin Abdullah menjadi medan mengecam pemimpin seteru politik. Inilah yang saya katakan latah tak kena tempat. Apa yang saya persoalkan pemimpin komponen BN iaitu MCA secara terang menghina Islam tidak pula dibangkitkan oleh Pemuda UMNO ataupun ekstremis Melayu PERKASA. Why people why!?

Dr Hasan Ali dalam respon beliau di sini mendesak PAS agar memberi respon terhadap kenyataan YB Ngeh itu. Malah dalam tulisan beliau juga menyatakan beliau tidak hairan jika pemimpin PAS diam membisu dalam isu ini. Jika Dr. Hasan Ali beranggapan PAS perlu memberi respon dengan membuat demonstrasi atau kecaman terhadap DAP, harap Dr. Hasan boleh lupakan sahaja. PAS adalah parti yang faham benar asam garam politik. Tersilap memberi kenyataan hanya binasakan diri, malah membuka ruang lebih besar untuk musuh memutar belit dan menyebarkan propaganda. Kita tidak tahu disebalik tabir antara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Apapun, akhirnya YB Ngeh memohon maaf akibat keterlanjuran beliau. Tidak seperti pemimpin yang satu lagi.


Sunday 16 September 2012

Isu Penghinaan Terhadap Islam: Kita Sebenarnya Lemah?

Salam.

Mengapakah agama Islam sering dihina manakala umatnya pula ditindas?

Mengapa mereka begitu berani mengejek dan mempersenda Nabi Muhammad S.A.A.W padahal mereka sebenarnya maklum bahawa Baginda adalah figure mulia dan suci dalam agama Islam?

Mengapakah mereka begitu berani membakar dan memijak Al-Quran sedangkan mereka tahu kitab itu adalah kitab suci umat Islam?

Adakah mereka terlalu kuat untuk ditentang atau kita yang sebenarnya lemah untuk ditewaskan?

Di saat umat Islam dibunuh di Palestin, Afghanistan dan Selatan Thailand, apakah pemimpin-pemimpin negara Islam mampu lakukan? Kita hanya mampu bersidang ramai-ramai, kemudian mengeluarkan kenyataan mengutuk dan mengecam tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Itu sahaja, dan itu sama sekali tidak menggentarkan pihak musuh.

Di awal penghinaan terhadap Islam, telah berlaku demonstrasi sana sini, namun penghinaan masih tetap berlaku walaupun kita telah berdemo mungkin untuk ke sekalian kalinya.

Kali ini demonstrasi terhadap filem penghinaan terhadap Rasulullah S.A.A.W. Namun, sebelum itu Filem Fitna telah ditayangkan, dan umat Islam turut berdemo. Jika demonstrasi memberi kesan yang mendalam, sepatutnya Filem "Innocence of Muslim" tidak akan berulang. Malah, pembuat filem Fitna masih hidup sihat wal afiat.

Jadi, kesimpulan awal yang saya mampu kata, kita sebenarnya lemah. Mereka berani membuat penghinaan kerana mereka tahu tahap mana sahaja kita mampu lakukan untuk memberi penentangan. Malah, dalam kita menentang, kita mungkin akan membunuh manusia yang tiada hak untuk nyawanya dicabut!

Saturday 15 September 2012

Isu Penghinaan Terhadap Islam: Satu Pandangan

Salam.

Isu penghinaan terhadap Islam bukanlah satu kisah baru. Sejak rempuhan pesawat ke atas World Trade Center (WTC) pada tahun 2001, ketika itulah bermulanya detik-detik penghinaan dan penganiayaan ke atas umat Islam berlaku sehinggalah ke hari ini. 

Dahulu kita pernah didedahkan tentang tindakan tentera Amerika yang telah menjadikan Al-Quran sebagai pembasuh kotoran, kemudian tindakan paderi Kristian yang menganjurkan acara pembakaran Al-Quran, Al-Quran dipijak, isu karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.A.W, filem Fitna oleh Ahli Parlimen Belanda dan terbaru adalah Filem yang menggambarkan tentang kisah Nabi Muhammad S.A.A.W.

Jika kita duduk dan berfikir sejenak, apakah rasional tindakan-tindakan di atas? Apa yang mereka mahukan sebenarnya? Tidakkah tindakan jelek itu melanggar prinsip keagamaan dan tatasusila seorang manusia terhadap manusia lainnya? Adakah mereka tidak menyedari sensitiviti orang Islam? Adakah tindakan itu adalah manifestasi terhadap Islamphobia? Adakah tindakan itu menunjukkan kebencian setebal-tebalnya terhadap Islam?

Namun, jika mereka mengira tindakan itu akan menjauhkan manusia jauh dan fobia kepada Islam, maka mereka terbukti silap. Selepas berlakunya peristiwa 9/11, Islam semakin berkembang dengan pesat terutama di Eropah. Saya pasti, mereka menyedari hakikat ini, namun kenapa mereka masih melakukan satu tindakan yang pada pandangan kita perbuatan keji itu akan menconteng arang kepada agama mereka sendiri? Tidakkah manusia akan mengecop tindakan mereka itu adalah ajaran agama mereka (dalam menghina agama lain)?

Atau adakah mereka ingin memerangkap umat Islam dalam permainan ini?

Dua jenis orang Islam. Jadilah Muslim yang berlapang dada, dan jauhi daripada menjadi Muslim yang mengikut nafsu amarah dan kebencian yang membuak-buak.

Islam telah dicop sebagai agama keganasan. Mereka (barat terutamanya) silap. Islam sama sekali tidak mengajar penganutnya menjadi pengganas, sebaliknya tindakan yang berlandaskan hawa nafsu dan bisikan syaitan itulah yang menconteng dan memalitkan kotoran terhadap agama Islam yang murni dan suci.

Rangkaian pengganas Al-Qaeda telah menggesa agar diplomat US di seluruh di negara Islam dibunuh. Sila klik untuk bacaan lanjut: Hindustan Times

Al-Qaeda telah membawa nama Islam, tetapi ianya dalam keadaan kotor. Dan inilah bukti yang dicari-cari oleh musuh Islam untuk menyebarkan propaganda bahawasanya Islam adalah agama pengganas. 

Sensitiviti telah memerangkap kita. Al-Quran telah memberi peringatan kepada kita supaya tidak melampaui batas dalam sesuatu perkara. 

Jika kita mengikut nafsu amarah dan kebencian yang membuak-buak, kelak ia hanya memakan diri kita. 

Sunday 2 September 2012

Isu Syaitan: Satu Pandangan

"Better devil you know than the angel you don't"
Satu kenyataan yang menjadi isu hangat dalam dunia politik hari ini. Kenyataan di atas di keluarkan oleh Tun Mahathir dalam satu posting beliau pada tarikh 22 Ogos 2012. Boleh baca dalam blog beliau: Chedet

Saya cuba mencari maksud sebenar perumpaan Inggeris di atas, lalu menemukan ini:
That it is often better to deal with someone or something you are familiar with and know, even if they are not ideal, than take a risk with an unknown person or thing.
Anologi perumpaan di atas adalah seperti berikut:

Katakanlah kita hidup dalam sebuah negara di mana ada dua orang pemimpin. Pemimpin A adalah orang Islam tetapi dalam kehidupannya penuh dengan kemungkaran seperti rasuah, kronisme, kaki perempuan dan kaki botol. Manakala Pemimpin B adalah bukan Islam tetapi berakhlak mulia seperti berbudi pekerti, suka menolong orang lain dan bebas rasuah.

Maka, seseorang telah bertanya kepada anda, mengapa anda memilih Pemimpin B sedangkan dia bukan Islam? Lalu, anda menjawab, "Aku lebih rela dipimpin orang bukan Islam yang berbudi pekerti mulia berbanding pemimpin Islam sendiri yang mengamalkan kemungkaran!"

Faham?

Perumpaan yang diberikan oleh Chedet sebenarnya membawa maksud seperti ini lebih kurang. "Lebih baik kita berurusan dengan orang yang kita kenal walaupun buruk pada zahirnya berbanding membuat urusan dengan manusia yang cantik dan soleh, tetapi tidak kenal tujuan dan agenda disebaliknya."

Kenyataan Chedet diputar belit?

Mungkin juga kenyataan beliau diputar belit atau disalahtafsir. Namun, dalam politik, ini adalah perkara biasa. Apa yang ditulis dan diucap bisa diputar menjadi lain maksudnya walaupun menggunakan ucapan atau tulisan yang sama.

Perumpaan adalah seni, dan adakalanya tidak boleh diterjemah secara literal. Contoh perumpaan Melayu mengatakan dasar lidah bercabang. Jika ditafsir secara literal, adalah mustahil lidah itu bercabang, melainkan ia membawa maksud cakap tidak serupa bikin.

Namun begitulah, beliau membuat perumpaan dalam kerangka politik, maka kenyataan beliau juga perlu ditafsir dalam kerangka politik juga.

Saya bukan seorang psikik, tapi saya beranggapan Chedet ingin mengatakan seperti berikut:
"Better the devil (Barisan Nasional) you know (all the good things has been made by BN) than the angel (Pakatan Rakyat) you don't (all unreliable promises made by PR)"
Pihak Pakatan Rakyat terutamanya PAS mengambil perkataan devil untuk dinisbahkan kepada Barisan Nasional. Lalu, mereka mencanangkan kepada umum bahawasanya bahaya mengundi BN kerana mereka adalah parti yang sanggup digelar syaitan. Sungguhpun demikian, pihak PAS mempunyai hujah-hujahnya tersendiri.

Terjemah secara literal dan berdasarkan fakta

Syaitan adalah makhluk yang keji dan terkutuk. Malah mereka menjadi musuh kepada manusia beriman sepanjang zaman sehinggalah ke hari kiamat.
"Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah 208)
Dengan point inilah pihak PAS berhujah terhadap perumpaan yang dilemparkan oleh Chedet. Namun, penghujahan mereka walaupun hakikatnya disalahertikan sejak dari awal, mereka berjaya menyokong hujah mereka dengan contoh-contoh yang ada pada diri Barisan Nasional itu sendiri. Isu rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan wang rakyat, double standard, kekerasan terhadap orang awam dan bermacam-macam lagi menjadi liabiliti kepada BN itu sendiri.  Maka, wajarlah BN itu sendiri ditolak berdasarkan cerita-cerita negatif yang tidak dapat dilindungi lagi.

Konsert K-Pop semasa Hari Belia 2012 yang menelan belanja RM 2.04 juta hanya meruntuhkan akhlak muda mudi.