Saturday 19 May 2012

Analisa Final Piala FA

Salam.

Pertama sekali, tahniah buat skuad The Red Warriors kerana berjaya membawa pulang Piala FA yang baru ke Kota Bharu, piala yang belum pernah diperolehi semenjak diperkenalkan pada tahun 1990.

Ghaddar menjaringkan gol menerusi sepakan penalti (Kredit gambar: Dunia Sukan)

Tahniah juga buat para penyokong setia yang hadir dari setiap negeri ke Stadium Bukit Jalil, dianggarkan lebih 90000 penyokong Merah memenuhi kerusi stadium.

Ulasan tentang permainan semalam, ya, bagi saya ia satu permainan hambar bagi satu perlawanan akhir. Kerana dalam perlawanan semalam pasukan Sime Darby lebih banyak bertahan manakala pasukan Kelantan lebih bermain dengan corak menyerang. Apabila dalam satu perlawanan ada pasukan yang bertahan dan menyerang, maka hasilnya adalah hambar dan kurang menarik. Apatah lagi pasukan Kelantan terikut-ikut dengan tempo permainan Sime Darby. Namun, apabila Sime Darby ketinggalan 1-0 dengan jaringan penalti Mohamed Ghaddar, barulah Sime Darby lebih banyak menyerang dan permainan menjadi rancak menuju ke wisel penamat.

Apabila sesuatu pasukan mendahului dalam perlawanan akhir, tambah pula untuk menjulang piala pertama kejohanan, gaya melengahkan masa adalah lumrah dalam bola sepak. Namun, terlampau melengahkan masa juga bukanlah satu taktik professional. Contohnya Mohamed Ghaddar membuat shielding sedangkan beliau berpeluang untuk meneruskan serangan. Dan satu lagi insiden adalah ketika seorang pemain Kelantan melengah-lengahkan membuat lontaran ke dalam sedangkan dia ada berhampiran dengan bola. Kenapa tidak professional? Kerana penyokong datang dari jauh untuk menonton bola dan melihat pemain menghasilkan gol, bukan sekadar melihat piala dijulang semata-mata. Tentunya, perasaan kurang senang daripada penyokong Sime Darby. Seperti kata Zainal Abidin Rawop, pemain perlu mengamalkan fair play.

Namun, dalam aksi hambar semalam, saya masih memuji corak permainan baru yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan. Corak permainan hantaran pendek dan satu-dua ala Barcelona di hadapan pintu gol lawan antara Ghaddar, Mat Yo, Piya dan Indra amat menarik. Cuma perlu menambah persefahaman dan penyudah yang berkesan.

Satu lagi kelemahan pasukan Kelantan adalah kurangnya long ranger yang berkesan. Walaupun Shakir Shaari adalah salah seorang pemain yang mampu membuat sepakan dari jarak jauh, tetapi intensiti masih lemah. Setiap kali tidak kira pemain sama ada Piya atau Indra yang gemar melakukan sepakan jarak jauh, bola akan tersasar jauh melepasi pintu gol. Mungkin, salah satu faktor tidak menjadi adalah permukaan padang, namun saya lebih suka menyatakan ia adalah teknik. Kelantan perlu seseorang yang mampu menyepak seperti Rizal Fahmi di hadapan pintu gol lawan.

Hantaran jauh pasukan Kelantan bagi saya intensiti tepat ke arah tuju. Cuma kadangkala hantaran jauh jatuh ke kaki lawan menyebabkan Kelantan kehilangan bola begitu cepat. Peribadi, saya lebih gemar melihat Kelantan bermain dengan corak hantaran pendek. Hantaran jauh secara through pass setakat pemerhatian saya, Piya adalah pemain perancang yang bagus dan kreatif dalam merencana serangan melalui through pass.

Apapun, jika corak permainan sebegini diteruskan, tidak mustahil Kelantan akan muncul sebagai juara liga dan Piala Malaysia. Bojan Hodak, selain pakar dalam taktikal, beliau juga amat menekankan disiplin pemain dalam permainan.

Bagi Sime Darby, tahniah juga kerana menjadi kelab liga Premier layak ke perlawanan akhir. Satu pengalaman berharga buat mereka dan ini adalah penampilan kali pertama di pentas final, pastinya suasana berlainan daripada biasa. Gugup berhadapan 90000 penyokong adalah perkara normal. Dan mereka sebenarnya banyak menafikan percubaan dan serangan daripada Kelantan. Kemenangan 1-0 menunjukkan mereka berjaya membuktikan kekuatan mereka sedangkan pengulas dan penganalisis sukan meramalkan Kelantan akan menang dengan 3 gol.

Tahniah untuk kedua-dua pasukan!

Thursday 17 May 2012

Sekilas PRU 13

Salam.

Dengar cerita Pilihan Raya sudah semakin hampir. Mengikut petanda-petanda yang sedia ada seperti durian runtuh Felda, Bantuan Rakyat 1 Malaysia, Baucar Buku 1 Malaysia, parti-parti politik sudah menghantar nama-nama calon untuk dipertimbangkan, pengagihan kerusi parti dan macam-macam lagi. Semuanya tertumpu kepada PM Najib, yang mempunyai autoriti untuk mengisytiharkan pembubaran parlimen.

Biar apa pun, orang kata pilihan raya adalah hari murah rezeki. Minta apa sahaja, segalanya akan ditepati, yang penting dalam kertas undi, haruslah memangkah sang pemberi. Itulah sifir politik. Aku beri, engkau buat sesuatu. Satu budaya politik yang tidak sihat. Bagi saya, ahli politik jika mahu mendapat sokongan orang ramai, biarlah dengan hujah, bukan dengan wang ringgit dan kebendaan. Berikan hujah kenapa orang ramai perlu menyokong dan memangkah beliau. Kemampuan menjawab segala isu adalah kunci yang bagus untuk orang ramai menilai sama ada calon itu berwibawa atau tidak. Jika masih tergagap-gagap dan menyalahkan pihak lain, maka janganlah.

Saya memuji tindakan Ustaz Hasrizal dalam Facebook beliau mengisytiharkan hak demokratik beliau sebagai rakyat Malaysia. Malah disebut juga parti mana beliau menyokong tanpa berasa takut dengan tindakan oleh pihak tertentu. Tidak seperti sesetengah ilmuan yang menjaga jubah, takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut kehilangan jubah. Jadilah mereka ulama-ulama yang mengangkat kain jubah kerana khuatir terpecik darah Ibn Taimiyyah (Rahimahulllah) sekiranya dipancung Raja Qazan.

Saya, tanpa berselindung, merasakan pangkah kali ini akan ke Pakatan Rakyat. Kerana kita perlu satu pembaharuan. Selama 50 tahun kita diperintah oleh golongan bangsawan, tibalah masanya kuasa diberikan kepada rakyat biasa yang faham perit jerih sang marhaen. Melihat Buku Jingga mereka, menarik. Tidak rugi untuk mengangkat mereka walaupun sepenggal. Jika mereka mampu buktikan dan kita berpuas hati, teruskanlah memberi mandat. Jika sebaliknya, kuasa di tangan rakyat!

Sekarang terlalu banyak isu yang membelenggu pimpinan negara. Isu rasuah semakin membarah, bukan sahaja dalam negara malah masalah ini membawa ke Perancis. Isu pembaziran projek dan penyalahgunaan wang rakyat yang sering didedah oleh individu, sudah cukup untuk menidakkan mereka sebagai pilihan. Adakah kita mahu mengangkat pemimpin yang terpalit dengan rasuah? Adakah kita mahu menjadikan sang pemakan wang yang tidak diredhai sebagai pemimpin? Ini semua hujah. Bukan kebendaan. Anda menilai, anda yang membuat keputusan.

Apa-apapun, nantikan pengisytiharannya!

Wednesday 16 May 2012

Elak Merungut! Bersyukur!

Salam.

Memang betullah Facebook bukan sekadar tempat untuk bersosial, malah dalam satu artikel saya pernah terbaca ia boleh memberikan kesan kepada emosi dan psikologi.

Salah satu artikel pernah menceritakan tentang kesan psikologi ke atas wanita apabila dia melihat gambar rakan-rakannya yang comel, cun dan gorgeous di dinding Facebook. Lalu dia pun berasa kurang senang kerana membandingkan dirinya dengan rakan-rakannya.

Akibatnya, dia mengalami kesan psikologi yang menjurus ke arah persoalan:

"Bagaimana aku ingin menjadi ramping seperti mereka?", "Macam mana nak jadikan rambut lembut macam kapas?" atau 

"Mereka post satu gambar, terus 20-30 orang Like, sedangkan aku post 10-20 keping gambar, seorang sahaja yang Like, itupun aku sendiri! Apakah puncanya? Di manakah silapnya? Bagaimana?Bagaimana....." 

Begitulah seterusnya sehingga dia runsing memikirkannya. Bukan itu sahaja, maka bermulalah operasi mencuba pelbagai jenis ramuan herba mahupun perubatan moden agar kelihatan seperti model Ayu Azahari. Akhirannya, duit berabis habuk pun tarak! Malah mungkin akan timbul masalah kesihatan yang berpanjangan.

Kisah lain adalah psikologi mengenai kerja. Siang malam menghadap Facebook, ditenung satu-satu baris ayat yang di post oleh rakan-rakan.

"Aku sekarang kerja dekat Shell."

"Tak adalah, aku kerja Petronas 'aje'",

"Gaji? Adalah dalam 3-4 ribu sebulan"

Stress? Kalau bagi mereka yang bergaji bawah 2000 sah-sah akan stress kalau mereka sering membuat perbandingan dengan orang lain. Cuba buat tidak kisah dan enjoy dengan kerja yang anda lakukan, InsyaAllah anda akan berasa bersyukur kerana dikurniakan kerja dan berpendapatan tetap!

Sebenarnya, pokok atau kunci penyelesaian kekusutan masalah di atas adalah SYUKUR!

Dengan menjadi manusia yang bersyukur dan qanaah (sentiasa merasa mencukupi di atas nikmatnya), sedar atau tidak masih banyak lagi nikmat yang tidak terkira.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)
Pertama: Jika kita sering mengeluh diri orang lain ramping, cun, hensem, hot, gorgeous, jelita dan apa-apa sahaja, adakah kita menyedari kita telah dikurniakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, tangan untuk mencapai dan kaki untuk berjalan? Cuba anda duduk dan renung kembali, fikirkan mereka yang cacat penglihatan, kudung kaki dan tangan, bisu dan pekak. Bukankah kita sepatutnya berasa bertuah dan bersyukur di atas segala kesempurnaan?

Kedua: Jika kita sering merungut gaji sedikit jika dibandingkan dengan orang lain, cubalah tonton rancangan Bersamamu. Ramai lagi insan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau mahu melihat secara global, cubalah cari channel Discovery yang menceritakan tentang kehidupan di Somalia atau negara benua Afrika, mereka ada yang makan rumput dan meminum air urin lembu untuk kelangsungan hidup! Maka bersyukurlah kerana kita ada gaji, masih cukup untuk membeli beras atau roti. 

Sebagai penutup, marilah kita memanjatkan rasa syukur tidak terhingga di atas nikmatnya. Kerana, semakin kita bersyukur, Insya Allah yang Maha Esa akan menggandakan rezekiNya kepada kita.
"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7) 

Thursday 10 May 2012

Gambar di Facebook


 Salam.

Ada di antara rakan-rakan Facebook saya suka benar post gambar-gambar peribadi untuk tatapan umum. Bermacam-macam gaya, gaya muncung, gaya sepet, gaya jelir lidah dan macam-macam ada. Saya tidak kisah jika mereka ingin post gambar apa pun. Jika saya kisah pun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka mendakwa itu hak peribadi mereka. Apa yang saya buat, paling minimum adalah hide kan gambar mereka di Feed. 


Kecantikan, kejelitaan, kekacakan, gorgeous, hot atau seksi semuanya adalah hak kepunyaanNya. Jangan sesekali beranggapan segalanya (100%) adalah hak kita. Nak bukti dan hujah? Sila jawab soalan ini:

Jika Dia ingin menarik balik kecantikan yang ada pada diri anda, adakah anda boleh katakan tak nak? Atau bolehkan anda menghalannya?

______________________________________________ (10 markah)

 Jika anda dapat 10 markah, maka betullah segalanya adalah hak anda.


Menarik Perhatian

Siapakah tidak tertarik kepada gadis secantik ini?

Paling menarik adalah apabila saya klik gambar yang kononnya comel dan cantik, kelihatan beberapa komen yang mungkin akan mengembangkan empunya gambar dan diri. Di saat mereka berasa kembang kempis kebanggaan, mereka lupa bahaya yang mungkin menimpa.

"Auu...cantiknya youuu...muah" - Dibalasnya "Tq..Tq.. :))"

"Eee... geramnya I tengok U.. Boleh jumpe" - Mulalah tersengih seorang diri.

"Bila tengok gambar U, asyik teringat je"

Satu hakikat yang pasti adalah:

1) Empunya gambar telah menerima saham dosa kerana menaikkan nafsu lelaki yang mungkin membawa ke arah penzinaan.
2) Empunya gambar membuka laluan bahaya kepada manusia yang berniat jahat kepadanya.
3)  Gambar di Facebook adalah downloadable, tidak mustahil gambar anda akan dimuat turun untuk simpanan peribadi lelaki dayus.
4) Gambar anda mungkin akan dijaja untuk tujuan jahat tanpa anda sedari. Seperti gambar anda akan dijadikan gambar profile dalam Yahoo Messenger dan memasuki group-group laknat seperti Lesbian. (Siapa yang malu kalau ada orang kenal anda?)
5)  Disihir.
6)  Macam-macam lagilah.

Tulisan blog ini adalah picisan, mustahil akan didengari oleh manusia di sana. Hal ini kerana sudah berbuih ustaz-ustaz menekankan perkara ini, tetapi hanya berapa sahaja yang patuh dan sedar hakikat ini. 

Saya sarankan anda beli dan baca buku ini:

Buku ini banyak manfaat kepada diri sendiri sebagai peringatan.

Saturday 5 May 2012

Kerja!!!

Salam.

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, apabila kita selesai melakukan A, maka akan disusuli pula dengan aktiviti B, kemudian C dan seterusnya demi menyambung kesinambungan hidup. Manusia, jika berhenti di pertengahan jalan, maka tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan kerana keadaan yang serba kekurangan. Ibarat seorang pengembara yang sudah kehabisan bekalan. Hanya saja pengembara itu berusaha mendapatkan makanan dengan kudratnya, memikirkan cara dan mencuba sesuatu yang kreatif, maka tidaklah dia mati dengan sia-sia. Cerita-cerita seperti Robinson Crusoe, Alive dan Cast Away adalah contoh terbaik tentang kesinambungan hidup.

Tetapi, bukan cerita-cerita yang disebut di atas menjadi ulasan utama dalam post ini. Saya cuma ingin menarik perhatian para graduan di luar agar tidak bertangguh dalam mencari kerjaya. Jika anda menangguh pencarian anda, lambat laun anda akan kehilangan kemahiran yang anda pelajari semasa pengajian yang lalu.

Kebanyakan graduan mula mencari pekerjaan selepas menggenggam segulung ijazah. Ada pula yang beralasan untuk berehat dalam dua atau tiga bulan untuk melepaskan lelah. Tidak mengapa jika anda meluangkan masa untuk merehatkan minda, tetapi niat dan matlamat jangan turut berehat sama. Jika matlamat anda terpadam maka kemalasan mula bersarang, anda akan keberatan untuk mencari pekerjaan. 

Mula Cari Sekarang!

Jangan bertangguh lagi! Jika anda boleh menghabiskan masa 2 atau 3 jam bermuka buku, letih memikirkan kata-kata puitis untuk dipost ke Facebook dan menanti orang lain Like, kemungkinan besar anda sudah dapat mencari lebih kurang 10 jenis kerjaya. 

Jika anda ingin bekerja dalam syarikat GLC atau jabatan kerajaan, anda boleh ke link ini: Jawatan Kosong Kerajaan dan Swasta

Jika anda ingin bekerja dalam syarikat-syarikat besar dan terkenal, anda boleh ke sini: Jobstreet

Pelbagai cara lagi anda boleh mula mencari. Jika ingin terus ke sasaran, masuk terus ke laman web syarikat tersebut dan cari ruangan Career. Contohnya laman web Petronas: Career Opportunity

Sudah? Siapkan Resume dan Dokumen

Jika anda sudah selesai mencari, jangan biarkan ia terbiar dalam Favorites atau Bookmarks terlalu lama. Siapkan resume anda. Anda boleh mencari contoh-contoh resume dengan hanya Google Search. Masukkan segala apa yang perlu dan ada nilai pada diri anda. 

Sediakan terus salinan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil-sijil peperiksaan yang lalu serta sijil-sijil aktiviti yang terbaru dan terhangat. Selesai semua, terus beli pos laju bersaiz A4 dan hantar ke alamat tempat  kerja yang anda mohon. Tunggu untuk dipanggil temuduga!

Ingat Pengorbanan Ibu Bapa

Saya ada beberapa orang kawan yang masih belum bekerja. Mungkin rezekinya masih belum tiba atau tidak berusaha mencari pekerjaan. Apa yang saya nampak kerjanya adalah di muka buku siang dan malam. Kemudian post status mengatakan dirinya bosan. Jika bosan, maka kerja!

Bekerja bukan untuk menjana wang semata-mata. Ia adalah satu usaha untuk membalas jasa ibu bapa kita yang mungkin berpenat lelah membanting tulang menghantar kita ke Universiti. Ibu bapa yang dahulunya bangga melihat anaknya berjalan dengan penuh bergaya mengambil segulung ijazah, kini hanya tahu bangun pagi menghadap laptop sehingga ke tengah hari. Oh, jangan! 

Ibu bapa mahu juga merasa pendapatan daripada seorang anak walaupun mungkin mereka tidak meminta, sekurang-kurangnya duit belanja dapur. Sekurang-kurangnya lagi ringanlah sedikit beban ibu bapa, tambah-tambah lagi keluarga bukan berada dalam kalangan berada. 

Saya rasa orang yang menganggur adalah orang yang rugi dan mudah mendapat tekanan. Rugi kerana pendapatan dan simpanan kosong. Tekanan kerana tiada wang untuk membeli sesuatu yang dihajati.
"Wow, Blackberry. Orang kaya biasalah banyak duit. Handphone aku cikai-cikai je."
"Jadi, kerjalah! Jangan buat kerja yang tidak ada faedah!"

Sungguh, jika saya jumpa orang sebegini (dalam warna merah), memang rasa hendak pelangkung.