Friday 21 June 2013

Membenci Mereka Janganlah Sehingga Fitnah

Salam.

Isu Syria telah menyebabkan berduyun-duyun manusia di Facebook menghamburkan kata-kata nista, cacian dan makian. Kebanyakannya bukannya terhadap Basyar yang zalim, tetapi lebih kepada ajaran Syiah Imamiyyah, yang mana sama sekali tidak sama dengan pegangan Basyar (Nusairi).

Melempiaskan kebencian terhadap kezaliman itu mungkin tidak mengapa, tetapi hendaklah berpada-pada. Kenapa pula harus menyebarkan kebencian terhadap pokok ajarannya sedangkan pelakunya tidak mengikut ajaran tersebut? Tambahan pula, saya percaya pokok ajaran mereka menentang sebarang bentuk kezaliman, hatta pelakunya berasal dari ajaran mereka.

Apa yang tidak boleh diterima, dalam melempiaskan kebencian, disebarkan pula fitnah jahat terhadap mereka. Kita adalah Sunni, masakan pula kita alim terhadap ajaran mereka.

Biarlah saya bagi satu contoh:

Si A telah membuat satu status di Facebook seperti di bawah:

"Syiah kafir kerana menyembah batu!"

Padahnya kita berlagak alim terhadap ajaran orang lain, kita telah menebarkan fitnah. Sudahlah fitnah, para pengikutnya pula bertindak luar batas apabila secara terang mengkafir dan menyesatkan mereka. Hanya kerana post perkara fitnah, diikuti pula komen yang tidak beradap, pemilik status tersebut seperti langsung tidak bertanggungjawab dalam mengawal perilaku pengikutnya.

Adab berilmu adalah bertanya kepada orang yang betul. Orang yang betul di sini bukannya ustaz dalam kalangan kita, tetapi secara terus bertanya kepada orang Syiah kenapa mereka bersujud di atas batu. Bertanya kepada ustaz kita, mereka hanya mengulas mengikut apa yang mereka pelajari dalam aliran mazhab kita. Malah, terdapat juga jenis ilmuan yang bertindak melulu mengkafirkan mereka tanpa ragu.

Mari kita melihat apa jawapan Muslim Syiah tentang perkara ini:



Saya percaya, apabila kita memberi jawapan ini kepada pemilik status tersebut, jawapan yang biasa diterima adalah 

"Hati-hati. Syiah kuat bertaqiyyah (berpura-pura)."

Kegilaan apakah ini? Apabila mereka membuat posting yang berunsur fitnah, mereka dengan mudah mengelak dengan mengatakan Syiah itu berpura-pura. Kenapa pula Syiah perlu menipu sedangkan itu pokok ajaran mereka. 

Sepatutnya, taqiyyah yang betul bagi kes ini adalah seperti berikut:

Muslim Syiah bersolat tanpa menggunakan tanah (turbah) semasa bersolat di Masjid Shah Alam kerana dikhuatiri akan mendatangkan bahaya kepada dirinya, sekiranya orang ramai tahu bahawa dia berfahaman Syiah.

Itulah hakikat taqiyyah. Bukannya suka-suka untuk bertaqiyyah. Bagi mereka, taqiyyah hanya dibenarkan apabila keadaan yang boleh mendatangkan bahaya. Secara tanpa sedar, dalam sesuatu peristiwa kita juga akan bertindak sedemikian. Contohnya:

Katakanlah anda hidup di sebuah negeri, di mana pemimpinnya zalim. Lalu, dia keluarkan arahan mengatakan bahawa sesiapa yang menganut Islam, akan dibunuh serta merta. Jadi, apabila anda ditahan oleh sekumpulan penzalim dan bertanya mengenai agama, anda mengatakan anda bukan Islam. Ianya tidak dikira menipu, kerana hati anda masih Islam. Apa yang anda lakukan adalah untuk mengelakkan bahaya.

Tak percaya?


Bacaan lain: Ilmu dan Ulama

Maka, sering ditekankan bahawa berpada-pada apabila melempiaskan kebencian tetapi disabitkan pula sesuatu ajaran di mana kita bukan ahlinya. Apa yang saya dapat di atas adalah kerana saya sendiri bertanya kepada Muslim Syiah tentang keberadaan mereka. Apabila saya mengetahui perkara ini, saya berhenti mengatakan mereka penyembah batu (sebelum ini saya tanpa segan silu anti-Syiah, malah mengkafirkan dan menyesatkan mereka). 

Namun, ini tidak bererti kita bersetuju dengan tindakan mereka yang melampaui batas menghina sahabat baginda SAW. Ada di antara mereka bersikap ghuluw, mencaci dan memaki sahabat, dan sesungguhnya, sikap ini kita tidak boleh bertoleransi. Namun, tidak bertoleransi di sini bukan satu lesen untuk mengkafirkan mereka, kerana mereka juga menyembah Allah yang Esa. 

Sikap ghuluw ada di mana-mana sahaja, walaupun dalam aliran mazhab kita sekalipun. Kita sendiri menentang orang yang ghuluw, walaupun semazhab dengan kita. Begitu juga Muslim Syiah, mereka juga menentang ghuluw dalam kalangan mereka.

Wallahualam.

Saya menulis di atas hanya sekadar membetulkan persepsi. 








Saturday 1 June 2013

Itu, Ini Sesat!

"Fahaman A ni sesat dan kafir."

"Jauhi fahaman B, menjisimkan Allah adalah kafir."

"Ni semua bidaah. Nabi tak pernah buat zikir-zikir macam ni."

"Ni lagi sesat, bertawasul dengan orang mati."

Tak habis-habis nak berdebat siapa betul siapa salah. Bila dah emosi mulalah keluar kafir, sesat, bengong, bodoh, tolol dan macam-macam jenis maki hamun. Masing-masing nak jadi pak ustad. Mujtahid jadian.

Hey, kalau kamu orang sembah Allah yang satu, Nabi Muhammad sebagai Nabi dan Al-Quran sebagai Kitabullah, cukuplah kamu jadi orang Islam. Jadi orang Islam baik-baik supaya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tak, maki hamun macam apa. 

Kesian lah dekat orang pagan (tak ada agama). Baru nak kenal agama, dah jadi kacau bilau. Lebih baik dia kekal pagan kalau macam tu. Mana taknya, bila jumpa ustad A, jalan A lah menuju ke syurga. Bila dia menapak depan sikit, jumpa ustad B, jalan B lah jalan yang lurus, manakala jalan A sesat dan kafir. Pagan ni pun pening. Bosan dengan karenah orang agama jadian bertaklid buta pula.

Haih.

Sunday 19 May 2013

Isu Sunni-Syiah (3): Satu Pandangan

Ya, isunya sensitif, kerana silap hari bulan orang akan menuduh kita sebagai penyebar ajaran Syiah. Namun, dalam Islam, kita dikehendaki untuk menyelidik dan mengkaji sesuatu perkara. Di mana ada kecacatan fakta, kita perlu perbetulkan. Sekiranya ada argumen, hendaklah diperdebatkan. Tujuannya satu, agar ia tidak menzalimi orang lain dengan tohmahan palsu.

Umat Islam wajar bergerak ke hadapan. Bukan melangkah ke belakang yang hanya membawa kepada kelemahan. Para ilmuan baik Sunni mahupun Syiah telah mencari inisiatif dalam meluruskan sejarah, mencari titik persamaan agar perpaduan antara dua mazhab terbesar ini tercapai. 

Namun, segala usaha ini tidak akan berjaya sekiranya kita masih bersikap prejudis sesama ummat. Malah, tidak dapat tidak, golongan extremist terutamanya tidak pernah menyenangi usaha yang murni ini. Ungkapan "tiada taqrib" antara sesuatu golongan, malah menghasut pula manusia lainnya dengan artikel dan video yang masih boleh diperhujahkan kebenarannya.

Saya tidak pelik, apabila golongan extremist ini sanggup mengeluarkan ungkapan untuk membunuh orang lain yang tidak sama akan fahaman dengan mereka. Dalam hal ini, saya lebih suka mengaitkan antara Sunni dan Syiah, kerana kedua-dua pihak ini sering kali bertemu ketegangan antara satu sama lain.

Saya aneh, bahkan berasa pelik apabila kita dengan mudah untuk menuduh bahawasanya Syiah itu adalah penghalal darah Sunni, tetapi berita-berita yang terpapar di media kebanyakannya orang Syiah itu yang paling kerap dibunuh.

Antaranya,
  • Pengeboman masjid Syiah di Pakistan yang di dalangi Al-Qaeda pada bulan Mac 2013 (Sumber)
  • 19 jemaah Iran terbunuh apabila bas yang membawa mereka di bom (Sumber)
  • Pembunuhan di Balochistan (Sumber)
Tentu sekali, penyenaraian di atas bukan untuk menuduh Sunni sebagai penghalal darah orang Syiah. Tetapi, ia lebih kepada menempelak sesetengah golongan yang suka menuduh Syiah sebagai pembunuh Sunni dengan kesaksian yang boleh lagi diperhujahkan.

Sama ada Sunni atau Syiah, asas agama kedua-duanya tidak membenarkan pembunuhan terhadap Muslim. Tidak dapat tidak, kedua-dua Sunni dan Syiah wujud golongan extremist yang menyeru ke arah pembunuhan sesama mereka.

Jadi, kita mempunyai akal dan fikiran. Kita bertindak mengikut penilaian baik dan buruk. Kita tidak mengikuti sesuatu secara buta tuli (taqlid buta). Jika salah, ia tetap salah walau siapa pun jua.

Monday 22 April 2013

Kita Ada Doa!

Salam.

Seperti dijangka, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan segala perkakas yang ada dalam masa 2 minggu tempoh berkempen parti yang bertanding. Jika mereka ada 24 jam, Pakatan Rakyat (PR) hanya ditawarkan 10 minit, itupun tawaran ajak-ajak ayam daripada Rais Yatim.

Namun, bagi pihak pemerhati, SB dan risikan yang ada, di atas kertas sememangnya PR memiliki kelebihan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia. Namun, ia tidak akan diberi laluan mudah kerana parti yang memerintah 55 tahun itu tidak akan berdiam diri. Hilang kuasa bagi mereka ibarat hilang nyawa. Siapa sanggup dibicarakan, ditahan, malah ditangkap sekiranya pihak PR mahu membuka fail-fail mereka yang mana selama ini disembunyikan. Tidak sama sekali.

Ya, BN boleh menggunakan apa sahaja. Media cetak, elektronik habis semua dibalun tanpa mengira masa. Panduan kerajaan sementara entah hilang ke mana, SPR membatu tanpa ada suara pun menegur penyalahgunaan hak rakyat oleh mereka. Peruntukan, bantuan dan limpahan wang ribuan ringgit yang jelas sekali kelihatan seperti suapan langsung tidak diendahkan. Paling penting, dari manakah wang itu datang?

Ya, senjata ampuh mereka adalah SPR. SPR boleh menentukan siapa yang akan menang. Mereka berkuasa untuk melakukan ini. Mereka berkuasa untuk memindah pengundi tanpa pengetahuan. Mereka berkuasa mendaftar mat Bangla menjadi pengundi. Ini semua gila belaka!

Bila kita kata daftar pemilih kotor dan busuk, mereka menafikan walaupun bukti bergambar diberikan. Laporan jangan cakap, semua dibakulsampahkan. Mereka mengaku mereka telus, tapi telus kepala apa kalau pendaftar bernama AB Rapar bin Awang boleh mengundi 3 tempat yang berbeza?


Telus apa kalau pengundi bernama Fatimah Ismail boleh ditemui 900 kali dengan nama dan tarikh lahir yang sama?

Pesanan saya untuk SPR terutama ketuanya:
Ingatlah, dunia ini adalah sementara. Akhirat jualah tempat kembali. Segala perbuatan kita akan disoal di mahkamah akhirat. Jika anda bersekongkol dengan kebathilan, sesungguhnya kebathilan itu pasti lenyap. Jika perbuatan anda menjadikan kerakusan dan kezaliman berterusan, hak-hak rakyat diambil secara bathil dan penganiayaan berterusan terhadap kami yang mengharapkan keadilan, persaksikanlah, sesungguhnya azab Allah itu amat keras!
Ya, mereka ada kuasa. Tapi jangan lupa, kuasa Allah jualah mengatasi segala-galanya. Jika kalian beranggapan kalian telah berjaya dengan tipu daya, sesungguhnya sebaik-baik perancang adalah Allah.

Tuesday 16 April 2013

Menjawab Iktikad Penyokong BN! (2)

Salam.

Post kedua adalah sambungan kepada post sebelum ini berkisar tentang keyakinan batil  penyokong BN yang menyatakan bahawa HANYA BN yang mampu mentadbir negara, HANYA BN yang boleh memartabatkan Islam dan menjaga kepentingan Melayu, walaupun hakikatnya jauh panggang dari api. 


Ia adalah susulan daripada mesej yang dibalas oleh saya.

1. Ketuanya BN, tetapi pembangkang ketuanya DAP. Entah sifir mana yang diguna pakai oleh penyokong BN ni. Umum tahu, ketua pembangkang adalah DS Anwar Ibrahim, seorang Melayu berasal daripada Permatang Pauh daripada parti Keadilan. Mana pula datangnya pembangkang diketuai DAP?

Tak lain tak bukan, racun perosak fikiran akhbar lucah semalaysia, Utusan dalam temu bual dengan presiden JATI, Dr. Hasan Ali. Sila baca di sini: Utusan

Saya malas nak ulas panjang. Sila baca di sini : Kedah Lanie dan di sini: Sakmongkol (Ex-UMNO).

2. Pangkah BN hidup bangsa Melayu dan Martabatkan Islam. Hairan bin ajaib. UBN sekian lama didedahkan dengan skandal rasuah seperti Scorpene, NFC dan PKFZ masih dianggap sebagai pembela umat Melayu dan Islam. 

Macam mana agaknya UBN dikatakan martabatkan Islam? Adakah dengan banyak membahagikan peruntukan untuk pembinaan masjid? Atau dengan pemberian RM 2 juta kepada Abdullah Saamah? Martabatkan Islam bererti meletakkan Islam paling atas sekali, merangkumi fizikal dan spiritual. Asas agama bermula daripada diri sendiri, diikuti keluarga dan masyarakat. Jika keluarga tunggang-langgang, jangan dikata Islam sudah dimartabat. 

Sudah-sudah lah. 

Sunday 14 April 2013

Menjawab Iktikad Penyokong BN! (1)

Salam.

Blog yang dah lama tak dikunjungi. Berhabuk dan bersawang. Hari ini mahu memulakan penulisan dengan menjawab satu mesej yang diterima daripada penyokong BN.

Sebelum itu, adalah penting untuk saya menerangkan penggunaan istilah "iktikad" dalam tajuk post kali ini. Iktikad adalah keyakinan, biasanya digunakan dalam istilah keagamaan seperti iktikad ahli sunnah al jamaah. Tapi, untuk posting kali ini, saya ingin gunakan istilah iktikad, ditujukan dengan ikhlas kepada penyokong BN yang tegar dan pekat ini.

Anda sentiasa berkeyakinan HANYA BN sahaja yang boleh membawa kemakmuran dan keamanan walaupun realitinya tidak begitu. HANYA BN sahaja yang mampu memberi rezeki kepada anak cucu cicit sekarang dan selamanya, walaupun realitinya hanya indah khabar dari rupa. Pelbagai HANYA lagi tetapi malangnya semuanya adalah HANYIR belaka.

Ayuh, kita sama-sama menghadam iktikad mereka seperti gambar di bawah:


1. Iktikad DAP tidak senang dengan Melayu. Kononnya, kita telah dimomokkan oleh pemimpin BN yang mengatakan nasib Melayu di Pulau Pinang terabai dan terpinggir di bawah kuasa DAP. Pertukaran baju politik telah membuatkan Melayu Pulau Pinang terpinggir, malah ada gerai yang diusahakan oleh orang Melayu dirobohkan atas alasan pembangunan (Zahid Hamidi, Berita Harian 4/07/2010).

Jawapan:

Sebelum kita terima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh mereka, kita harus mengkaji terlebih dahulu. Kajian hendaklah dibuat melalui naskah media alternatif, kerana segala fakta sahih tidak akan tercatat dalam media arus perdana yang semakin hilang kredibilitinya itu.

Kerajaan Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan media tentang isu perobohan gerai di Pulau Pinang yang boleh di baca di sini [1]. Cuma penyokong BN yang telah sebati dengan kitab Utusan dan Berita Harian terhalang daripada maklumat lengkap berstatistik yang menjelaskan keadaan sebenar, iaitu perobohan gerai adalah atas dasar undang-undang, bukan perkauman!

Seharusnya, penyokong BN harus sedar, bertenang dan bermuhasabah. Duduk sebentar, dan tanya kepada diri, apakah usaha Gerakan dalam memajukan Melayu Pulau Pinang semasa 50 tahun Pulau Pinang dibawah kuasa BN? 

2. Haram undi pembangkang di Kelantan. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah fatwa daripada seorang guru pondok, iaitu Tuan Guru Abdullah Saamah, pengasas Pondok An-Najmiyah yang dikatakan ilmunya berharga RM 2 juta (Video Youtube). Adalah dipercayai penyokong BN di atas membaca Utusan Malaysia dan menerimanya tanpa pertimbangan akal yang sihat sejahtera. Deklarasi ulama pondok yang diketuai Abdullah Saamah ini mengeluarkan fatwa haram mengundi pembangkang kerana menyokong pluralisme agama (Utusan, 8/04/2013). Selain itu juga, Abdullah Saamah turut mengeluarkan fatwa bahawa dosa untuk mengundi DAP (Utusan, 8/08/2012).

Jawapan:

Untuk menjawab tuduhan ini, pertama sekali fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah Saamah tidak menepati kaedah pengeluaran sesuatu hukum. Sila rujuk: Majlis Fatwa. Juga, tambahan boleh dibaca di sini: Usul Fiqh.

Jika adapun, mahu berhujah dengan fatwa Abdullah Saamah itu, pertama sekali kita perlu menyiasat, menyelidik dan menelaah adakah betul dakwaan yang dibuat oleh Abdullah Saamah tentang pluralisme jika pembangkang memerintah. Menurut pembacaan, asas untuk mengaitkan pakatan pembangkang dengan pluralisme adalah berdasarkan isu kalimah Allah baru-baru ini (Malaysiakini, 9/04/2013).

Isu kalimah Allah adalah isu yang sengaja diputar belit. Malah, cubaan untuk memainkan sentimen agama adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Pendirian PAS adalah tetap, iaitu kalimah Allah tidak dilarang dalam agama (Kenyataan rasmi Majlis Syura Ulama),Isu kalimah Allah turut dijelaskan dalam ceramah Dr. Asri di mana beliau menjelaskan dalam konteks perundangan Malaysia, pemerintah boleh sahaja menentukan undang-undang berkaitan perkara ini. (Ceramah Dr. Asri).

Fatwa yang dihamburkan oleh Abdullah Saamah hanyalah berbentuk politik, jauh sekali demi agama. Melalui kenyataan-kenyataan beliau yang menuduh secara tidak realistik menambah lagi agenda politik manusia bernama Abdullah Saamah ini.

Antara kenyataan beliau:

"Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kedudukan Islam dan umat Islam." - Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012.

Apakah agaknya yang dimaksudkan oleh Abdullah Saamah tentang ayat bergaris di atas. Setelah diselidiki, saya menyimpulkan ia merujuk kepada hukum hudud berdasarkan kenyataan beliau sebelum itu:

"Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud." Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012.

Jika benarlah beliau berkata demi Islam, sewajibnya beliau menegur tindakan pimpinan dan penyokong MCA di bawah, tanpa hanya fokus kepada DAP sahaja.

Kredit kepada: Orenji

PAS sentiasa komited terhadap Islam, malah ianya tidak akan luntur. Berbeza bagi mereka yang terang-terangan menolak Islam, walaupun agamanya Islam.

Sebelum noktah, kita renungkan sekali lagi kenyataan Tok Guru pondok yang mempunyai murid yang boleh dibilang dengan jari ini:

"Saya menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya pada pilihan raya umum akan datang jangan sokong PAS yang masih tidak mahu keluar daripada pakatan pembangkang, sokong UMNO dan BN supaya orang Melayu dan syiar Islam terus dimartabatkan," katanya. - Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012


Konsert semasa Hari Belia 2012 anjuran BN yang jelas dan izhar memartabatkan Islam!