Sunday 27 March 2011

Fenomena Pendedahan Gambar

Salam.

Sejak kebelakangan ini, Tukang Kayu melihat begitu ramai sekali Hamba Tuhan mendedahkan gambar-gambar di laman sosial. Sungguhpun gambar itu menutup aurat, cantik bertudung, dan warna berseri, adakah ia dikira masih dalam kategori menutup aurat?

Secara zahirnya, ia sememangnya menutup aurat. Tapi, apabila dipaparkan gambar-gambar yang menjadi tarikan Hamba Tuhan lelaki dan Hamba Tuhan perempuan untuk memuji-memuja dan tentu sekali akan hadir hawa nafsu, ia akan membawa kepada dosa tanpa disedari.

Hadis dalam Bukhari ada menyatakan:

"Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla menetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina . Mata berzina, dan zinanya ialah memandang. Dan lidah berzina, dan zinanya ialah berkata-kata. Dan kaki berzina, dan zinanya ialah melangkah. Dan tangan berzina , dan zinanya memegang, dan hati bernafsu dan berangan-angan, dan kemaluan (faraj )lah yang akan membenarkannya atau mendustakannya.”


Thursday 24 March 2011

Bagaimana Untuk Bersatu?

:Salam:

Adakah mustahil Sunni dan Syiah bersatu? Bagi Tukang Kayu, ia tidak mustahil sama sekali. Kunci utama adalah toleransi.


Toleransi adalah perkara paling penting untuk perdamaian dua atau lebih pihak yang berlainan pendapat. Dalam kerja berkumpulan yang ada 4 orang ahli, untuk menghasilkan satu keputusan muktamad memerlukan toleransi dalam 4 orang tersebut. Pasti, dalam 4 orang ini, mempunyai pendapat yang berlainan dan hujah masing-masing. Namun, jika mereka bertolak-ansur dan bertoleransi, satu kesepakatan akan berhasil. Begitu juga Sunni dan Syiah.

Pemimpin Syiah, Ammar al-Hakim (kiri) melawat pemimpin Sunni, Ahmed Abu Risha di Iraq

Seperti yang Tukang Kayu katakan, kunci utama adalah bertoleransi. Maksud toleransi di sini bukan bererti kita menggadaikan prinsip-prinsip pegangan kita. Apa yang Tukang Kayu ingin sampaikan adalah kita meletakkan perbezaan jauh di belakang, dan biarkan persamaan berada paling hadapan. Apakah maksudnya.

Persamaan paling utama adalah Tuhan yang disembah oleh Sunni dan Syiah adalah sama, yakni Allah SWT. Dia-lah tempat kita memohon pertolongan dan petunjuk.

Sunni dan Syiah di hadapan Allah adalah sama

Persamaan kedua. Kiblat Sunni-Syiah adalah sama. Untuk berdiri hadapan Allah, perlulah menghadap satu arah yang sama iaitu Baitullah al-Haram di Mekah. Umrah dan Haji juga perlu dilaksanakan di Mekah. Maka ini adalah persamaan antara Sunni-Syiah.

Ahmadinejad di Mekah

Persamaan seterusnya tentu sekali mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi rahmat seluruh alam. Dan terakhir sekali Kitabullah yakni Al-Quran Sunni dan Syiah adalah sama. Seseorang pernah menulis, beliau ke Mekah dan duduk sekali dengan jemaah haji dari Iran. Beliau ingin sekali melihat Al-Quran yang dibawa oleh jemaah haji Iran untuk mengetahui benarkah Al-Quran Syiah itu palsu. Beliau membacanya dan membandingkan serta menyimpulkan bahawa Al-Quran yang dibawa oleh jemaah haji Iran adalah sama dengan Al-Quran miliknya.

Persamaan ini sebenarnya telah cukup untuk menyatukan persaudaraan Sunni-Syiah. Tidak perlu dibahaskan kenapa begini dan begitu kerana itu tidak penting. Kenapa kita lebih cenderung membahaskan sesuatu yang akhirnya akan melemahkan kekuatan Islam itu sendiri? Malah, ia akan melebarkan lagi permusuhan dalam kalangan umat Islam? Dalam masa yang sama, musuh Islam bertepuk tangan.

Yang paling penting adalah memperkuatkan kembali Islam dan digeruni oleh musuh-musuh sebenar Islam. Mereka adalah:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.- Al-Baqarah 120.

Wahai orang Islam, bersatulah!

Wednesday 23 March 2011

Demi Kemanusiaan, bukan Perbezaan

:Salam: Gambar kredit dari blog : Dr. Faisal Tehrani

Tukang Kayu merasakan, jawapan paling tepat kenapa umat Islam tidak kisah mengenai situasi Bahrain adalah kerana majaroti penduduk di sana adalah bermazhab Syiah. Tambahan pula dengan kenyataan-kenyataan individu yang menyerlahkan lagi bahawa kebangkitan rakyat Bahrain adalah kebangkitan Syiah. Walhal, rakyat Bahrain sendiri menyedari betapa bobrok pemerintah monarki di Bahrain.

Mungkin, hanya kerana perkataan "Syiah" inilah, kita sebagai umat Islam menjadi buta dan tuli (tidak semua). Kenapa wahai orang Islam? Adakah kerana mereka kafir? Adakah kerana mereka sesat? Beritahu Tukang Kayu, jika mereka kafir dan sesat sekalipun, adakah darah mereka halal untuk ditumpahkan? Adakah kerana mereka kafir dan sesat maka kita redha dengan tindakan tentera menembak mati penduduk Syiah? Bukankah dalam ajaran Islam, orang kafir yang tidak memberi ancaman wajib diberi perlindungan dan jaminan keselamatan? Kanak-kanak dan wanita yang terbunuh, adakah kita hanya mengatakan "tidak mengapa kerana mereka Syiah!?" Wajarkah anda berkata begitu wahai orang Islam!? Apakah kalian tidak punya perasaan kemanusiaan wahai orang Islam!?

Bagaimanakah jika ia terjadi dalam kalangan ahli keluargamu wahai orang Islam!? Bagaimana jika bapamu diperlakukan sedemikian wahai orang Islam!? Bagaimana jika ibumu ditembak mati di hadapanmu serta adik-adikmu yang masih kecil wahai orang Islam!? Bayangkan adik perempuanmu menangisi di atas kematian ibumu wahai orang Islam!


Bagaimana jika abangmu diburu, dan diseret di hadapanmu lalu ditembak tepat di kepala sehingga tersepai otak wahai orang Islam!? Apakah perasaan mu, apabila berita-berita yang terjadi terhadap keluargamu diketahui oleh orang ramai, tetapi orang ramai mengatakan "tidak mengapa, mereka sesat" wahai orang Islam? Bagaimana di saat abangmu yang ditembak di kepala masih dalam keadaan nazak lalu engkau mencari pertolongan, dan pertolongan yang diperolehi hanyalah kata-kata "kamu bukan dalam kalangan kami dan kami tidak akan menolongmu"? Apakah perasaanmu wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila melihat bapamu menangisi pemergian abang serta ibumu wahai orang Islam?


Apakah perasaanmu apabila melihat adik keduamu mendakap erat dengan tangisan terhadap mayat ibumu yang terbujur kaku wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila adik-adik kecilmu bertanya kepadamu "mengapa ibu ditembak?" wahai orang Islam? Apakah jawapanmu apabila adik-adikmu terus bertanya kepadamu "kenapa orang ramai tidak menolong ibu" sambil menangis wahai orang Islam?


Begitu juga dengan mereka wahai orang Islam! Di saat mereka menangis, merintih, dan meraung meminta pertolongan, adakah kalian pernah mendengar dan mengetahuinya wahai orang Islam? Adakah kalian hanya menunggu ia terjadi terhadap ahli keluargamu baharulah kamu merasa kepedihannya wahai orang Islam?

Ingatlah, mereka punya perasaan. Mereka ada rasa sakit dan pedih wahai orang Islam. Jangan kafirkan mereka. Jangan sesatkan mereka. Mereka adalah kita, kita adalah mereka, kerana kita adalah manusia. Yang punya hati dan perasaan. Yang punya air mata untuk ditangisi. Yang punya kesedihan untuk dikongsi.






Sunday 20 March 2011

Antara Hormat dan Kesal

:Salam:

Tukang Kayu amat menghormati Dr. Yusuf Qardawi. Kerana beliau adalah ulama terkenal dan agung bagi Tukang Kayu. Bukan sahaja kekaguman dari segi keluasan ilmunya, malah kelantangan beliau menentang penjajahan Yahudi ke atas tanah rakyat Palestin. Bagi Tukang Kayu, beliau adalah suara umat Islam, suara yang mewakili setiap insan Muslim di dunia. Tempat rujukan dan pandangan umat Islam. Begitu agung sekali Tukang Kayu mengangkatnya.

Namun, dalam tingginya hormat Tukang Kayu terhadap beliau, timbul sedikit kekesalan apabila mendapat tahu pandangan beliau berkaitan rakyat Bahrain. Kenyataan beliau seperti di sini: Al-Arabiya dan khutbah Jumaat beliau di sini: Khutbah Jumaat Dr. Yusuf

Antara kenyataan beliau adalah kebangkitan rakyat di Bahrain bukanlah satu revolusi seperti mana revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya. Kebangkitan di Bahrain adalah penentangan Syiah terhadap kerajaan Sunni, bukan atas dasar kesedaran rakyat Bahrain keseluruhannya walaupun yang turun di jalanan adalah saudara-saudara Sunni-Syiah.

Tukang Kayu walaupun hina dan rendah dibandingkan dengan beliau, bukankah sepatutnya beliau perlu melihat dan menilai perkara yang lebih besar lagi? Misalnya, kekejaman tentera Saudi yang bertindak membunuh rakyat yang tidak berdosa. Tukang Kayu yakin 101% Dr. Yusuf Qardawi mengetahui larangan membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Jika Nabi melarang membunuh tiga kategori ini semasa berperang, apatah lagi untuk membunuh mereka di luar waktu peperangan. Tetapi apa yang terjadi adalah pembunuhan rakyat Bahrain tidak mengira umur. Bukankah perkara ini lebih utama berbanding dengan melihat isu Syiah dan Sunni?

Apatah lagi negara tempat tinggal beliau iaitu Qatar, turut menghantar tenteranya mengganyang rakyat Bahrain: Tentera Qatar Adakah beliau tidak menghalang pemerintah Qatar agar tidak menambahkan dosa-dosa membunuh?

Tukang Kayu kesal kerana ulama hanya tahu melihat perbezaan. Mereka seharusnya menjadi ulama kepada umat Islam tanpa melihat perbezaan. Orang yang berlaku zalim tetap zalim walaupun pelakunya Sunni, begitu juga Syiah yang menzalimi Sunni.

Friday 18 March 2011

Simpati Bahrain

:Salam:

Setakat ini, masih tidak ramai yang menyedari hakikat yang terjadi di Bahrain. Tukang Kayu melihat jumlah rakan yang mengklik LIKE pada page Free Bahrain masih tidak ramai. Bagi pengguna Facebook, anda dianjurkan untuk memberi secebis sahaja sokongan dengan menekan LIKE pada link di bawah:

Free Bahrain

Sekarang ini, rakyat Bahrain mengalami kesukaran dan keperitan angkara tentera-tentera Saudi dan negara Arab lain. Ada yang dibunuh dan dipukul tanpa mengira lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak hatta seorang bayi. Sekali lagi, Tukang Kayu menyeru agar kita sebagai umat Islam perlu memberi sokongan kepada rakyat Bahrain menentang kezaliman pemerintah. Adakah kita takut dilabel sebagai penyokong Syiah? Tukang Kayu menolak itu semua. Kita menyokong kerana kita menentang kezaliman pemerintah dan tentera-tenteranya.

Raja Hamad Isa Khalifa (Raja Bahrain)

Ada juga terdapat gambar Raja Hamad dan Shimon Peres (Israel) tetapi tidak dapat dimuatkan di sini. Updated news boleh didapati melalui link di atas.
 
Ahmad Farhan yang terbunuh akibat cedera parah di kepala. Sumber: Dr Faisal Tehrani
 
Tukang Kayu serahkan kepada anda.


Thursday 17 March 2011

Cari Pahala Jangan Sampai Jadi Tuhan

:Salam:

Dalam mana kita mencari pahala sebagai bekalan,
jangan terlalu over sehingga memandang rendah orang lain.
Dalam mana kita mencari pahala sebagai bekalan.
jangan terlalu merasakan diri sendiri lebih taqwa berbanding orang lain,
Dalam mana kita mencari pahala sebagai bekalan,
jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain,
Dalam mana kita mencari pahala sebagai bekalan,
jangan pantas menjadi Tuhan.

Zaman akhir ini, ramai manusia sudah bertindak menjadi Tuhan. Menjadi Firaun tanpa disedari. Bagaimana?
Mudah sahaja, apabila seorang hamba Tuhan melihat wanita tidak bertudung, segera menjatuhkan hukum kafir kerana tidak mengikut Islam. Apabila melihat orang tidak solat, segera menjatuhkan hukuman ke neraka di hari akhirat. Apabila mendengar cerita seorang penzina yang terbuka hati untuk bertaubat, hamba Tuhan itu memperlekehkan taubat sang penzina tersebut.

Apakah hak kita sebagai hamba Tuhan untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang lain?

Apa Peduli Aku Tentang Bahrain?

:Salam:

Semasa Revolusi Mesir tempoh hari, laman sosial Facebook dengan menggilanya dihiasi updated news, link, gambar dan status-status yang menyokong rakyat Mesir. Tidak kurang dengan doa-doa menyokong perjuangan rakyat Mesir. Begitu juga di dada akhbar ucapan-ucapan berapi oleh ulama dan umara tentang Revolusi Mesir.

Selepas Mesir, Libya pula menjadi sasaran. Kutukan dan makian terhadap Muammar Ghadafi meletus dengan gilanya. Paling popular adalah fatwa Mufti terkenal Dr. Yusuf Qardawi di mana fatwanya menyeru agar Muammar Ghadafi dibunuh.

Tetapi kini di Bahrain, Tukang Kayu berasa sedikit hairan. Kerana Facebook senyap sunyi daripada berita-berita, kutukan dan makian penzalim ke atas rakyat Bahrain di mana setaka ini, puluhan telah terkorban. Tidak ada updated news, link dan gambar melainkan sedikit sahaja yang kisahkan tentang rakyat Bahrain. Rakan Tukang Kayu yang dikenali sebelum ini lantang membuat posting semasa Revolusi Mesir kini senyap sunyi. Yang ada di Facebook adalah kisah radiasi hendak sampai Malaysia mahupun kisah-kisah cinta dan jiwang yang tidak ada kesudahan.

Kenapa kita tidak peduli rakyat Bahrain?

Selepas Tukang Kayu membaca bahan-bahan di internet, rupa-rupanya komposisi rakyat Bahrain adalah 80% adalah berfahaman Syiah. Adakah kerana mereka semua adalah Syiah, maka kita sebagai umat Islam tidak perlu untuk menunjukkan simpati? Adakah ini yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW? Adakah ini yang Quran anjurkan?

Di manakah suara-suara ulama dan umara yang sebelum ini lantang mengkritik? Di saat rakyat Bahrain (Sunni dan Syiah) menjerit kesakitan, menangis kesedihan kehilangan insan-insan tersayang, di manakah anda semua!? Kenapa anda bezakan kezaliman ini!? Kenapa kezaliman ditakrifkan sekiranya pembunuhan berlaku di fahaman kita sedangkan pembunuhan terhadap Syiah adalah perkara biasa!?

Tukang Kayu berharap kita semua sedar. Tidak ada Islam Sunni dan Islam Syiah. Nabi hanya membawa satu Islam sahaja. Iya, memang Tukang Kayu tidak nafikan adanya perbezaan dalam kalangan Sunni dan Syiah. Tetapi mengapakah kita melihat kepada ketidaksamaan itu?

Di saat rakyat Bahrain Sunni dan Syiah bersatu menentang kezaliman, kita di sini masih menyoal tentang perbezaan antara kedua-duanya.



Tukang Kayu menyeru jangan lemahkan lagi kedudukan umat Islam yang sememangnya sedia lemah ini.

Perbetulkan Diri Sebelum Menyeru

:Salam:


Tukang Kayu selalu dengar orang kata tugas pendakwah hanya ustaz-ustazah sahaja. Kita yang jahil jangan sibuk sangat hendak membetulkan orang. Aduh! Tidak betul pemikiran begini. Setiap muslim perlu membetulkan kesilapan orang lain sesuai dengan tingkatan pengetahuannya. Jika setakat menegur perkara-perkara asas seperti solat, puasa, aurat dan hal yang tidak melibatkan hukum, Tukang Kayu berpendapat ia tidak menjadi masalah. Tetapi, syaratnya yang menegur itu perlulah melakukan perkara yang ditegur terlebih dahulu sebelum dia membetulkan orang lain.

Memudahkan bicara, sekiranya kita menegur rakan kita supaya bersolat, kita perlu memastikan kita terlebih dahulu menjaga solat kita. Jangan pula kita dicop sebagai "cakap tak serupa bikin". Bukan itu sahaja, sesiapa yang menyeru kepada kebaikan tapi dia tidak melakukannya, turut mendapat kebencian daripada Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, menga­pa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat, amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As Saff: 2-3)

Dalam kitab Matan Zubad juga ada mengatakan:

"Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab terlebih dahulu sebelum penyembah berhala"

Cukup rasanya bagi Tukang Kayu dua kenyataan di atas betapa pentingnya muhasabah diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyeru kepada orang lain. Sudah tentu ada sebabnya. Macam mana kita hendak membetulkan diri orang lain walhal diri kita masih terpalit dengan kesalahan? Wajarkah seorang wanita free hair menegur seorang wanita lain supaya bertudung?

Tetapi, ada tapinya. Jika terjadi kes-kes cakap tidak serupa bikin, tidak bermakna kita boleh menolak 100% tegurannya. Jika teguran itu baik untuk kita, tidak mengapa untuk kita mengambil iktibar darinya. Jika seorang peminum arak menegur kita supaya bersolat awal waktu, bukankah seruan itu baik bagi kita sebagai peringatan? Ini kerana mengikut kata Saidina Ali Karamallah Wajhah:

"Lihatlah apa yang dikata, bukan siapa yang berkata"

Teguran itu perlu, kerana kita adalah manusia yang sentiasa terlupa.

Wednesday 16 March 2011

One Liter of Tears [Jepun]

:Salam:

Tukang Kayu bukanlah peminat sangat drama-drama Jepun, kecuali jika ia betul-betul menarik. Namun, ada satu cerita yang diperkenalkan oleh kawan Tukang Kayu yang berjudul "One Liter of Tears". Kawan Tukang Kayu bersungguh-sungguh mengatakan cerita ini sedih giler dan konfem nangis. Tukang Kayu hanya mengiyakan dan cuba untuk menontonnya.

Setelah menonton semua episod, Tukang Kayu simpulkan ia memang satu cerita yang sangat sedih kerana ia mengisahkan kehidupan sebenar seorang remaja yang bernama Aya. Penceritaan drama ini merupakan adaptasi daripada diari-diari yang ditulis oleh Aya sebelum meninggal dunia akibat penyakit yang dipanggil Spinocerebella Degeneration Disease, di mana penyakit ini akan menyebabkan pesakitnya hilang imbangan badan (peringkat awal), perkembangan (melalui chocked ketika makan), sukar berjalan, tidak boleh bercakap, lumpuh dan kemudian meninggal. Semua proses ini berjalan secara beransur-ansur dan diceritakan menyebabkan setiap episod dalam cerita drama ini mengundang air mata sahaja.

Bagi Tukang Kayu, ia adalah worth to watch kerana jalan penceritaan yang sangat berkesan, tema kekeluargaan yang sangat efektif dan bab-bab jiwang hanya minimum. Juga, terdapat banyak pengajaran dalam siri drama ini.

Tuesday 15 March 2011

Tunggu Hati Terbuka

:Salam:

Tukang Kayu kadang-kadang hairan bila kita seru supaya orang patuh kepada perintah Tuhan, dia berkata:

"Hati kena ikhlas"
"Kalau berubah, tapi hati tidak ikhlas tak ada makna"
"InsyaAllah, bila saya bersedia"

Tambahan pula, seruan itu bukan arahan sunat, tapi arahan wajib seperti perintah menutup aurat, solat 5 waktu dan suruhan-suruhan lain yang wajib ke atas orang Islam tanpa syarat.

Tukang Kayu berpendapat, apabila datang bab-bab wajib kena ikut ini, sudah tiada alasan relevan untuk menolak. Terutama isu pemakaian tudung (contoh utama, kerana banyak sekali orang-orang menafikan pemakaian tudung).

Ada yang berkata "tudung itu wajib, tapi saya tidak bersedia. Hati kena ikhlas". Ini satu alasan dangkal bagi seorang yang digelar hamba Tuhan. Yang menyuruh bertudung bukan ustaz-ustazah, tapi Tuhan yakni Allah beb.

Apabila alasan ini menjadi perkara biasa, maka ia sudah menjadi satu alasan yang tidak sangat impak dosanya. Senang cerita saya bagi situasi. Orang suruh kita solat, tapi kita katakan "solat itu memang wajib, tapi saya tidak bersedia. Hati tak ikhlas lagi. Kalau solat, hati tak ikhlas takda makna". Rasa besar tak dosa bila kata begitu? Memperolok-olok hukum Tuhan. Kita sedang deal dengan hukum Tuhan beb, bukan hukum undang-undang jalan raya.

Lu nak lawan Tuhan?

Monday 14 March 2011

Risau Tidak Berjodoh

:Salam:

Bila sebut tentang jodoh, masing-masing tersenyum lebar. Apabila ditanya "Dah berpunya?", "Ehek, ehek, malulah..." Aduh! Jika tidak berjawab pun senyumnya sampai ke telinga.

Sesetengah orang pula risau jika tidak bertemu jodoh, terutamanya remaja yang Tukang Kayu lihat sebagai matang untuk berumah tangga. Atau sepatutnya pada peringkat umur yang seharusnya ada seorang yang melekat di hati. Tapi, apabila usia meningkat masih tidak bertemu yang empunya, maka gelabah tidak tentu pasal. Manusia risau sungguh kalau masih solo. Takut dilabel "tidak laku", "bujang tua", "saham jatuh" dan pelbagai lagilah. Sampai satu peringkat, kerana tertekan tidak bertemu dengan kekasih, pergi buat posting di Facebook "I am available", "ada tak yang sudi menjadi kekasih saya", "saya kesepian" dan lain-lain ayat emosi yang saya tidak terfikir. Aduh! Jangan murahkan maruah anda seperti itu!

Tidak perlu khuatir, bukankah Kalam Allah tercatat:


Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yasin:36)

Jika pasangan itu tidak hadir dunia, maka bermohonlah, berusahalah untuk mencari redhaNya di dunia buat bekalan ke sana.

Manusia, bersyukurlah!

Salam.

Kadang-kadang, kita menjadi hamba Tuhan yang tidak reti bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan. Lebih teruk lagi, Dia telah memberi ciptaan paling sempurna, masih ada manusia yang hendak mengubahnya supaya lebih lawa dan cantik. Namun, apa yang terjadi, keadaan menjadi lebih teruk dan ada yang meninggal dunia. Itulah, hendak sangat mahu ubah kan. Ini bab manusia yang sibuk mengubah dirinya.

Ada juga manusia yang bangga dengan kecantikan, kesempurnaan, ketampanan dan kehenseman diri sendiri. Manusia macam ini sering membandingkan dirinya dengan orang lain sehingga orang lain itu berasa iri hari dengan diri manusia itu. Tidak pasal-pasal orang lain dapat saham dosa iri hati dan mempersoalkan pemberian Allah. "Kenapa aku tidak cantik macam dia", "Kenapa hidung dia mancung, aku penyet?" Dan berbagai-bagai lagilah. Yang manusia berbangga itu pula, bila dah terasa dirinya sempurna mungkin, melaram habis-habisan sampai tak ingat hukum Tuhan. Yang halal dan haram tidak peduli yang penting orang tengok orang akan kata lawa dan cantik. Gorgeous!

Ingatlah, Tuhan dah kurniakan kesempurnaan hendaklah banyak-banyak bersyukur. Bila-bila masa Dia boleh tarik jika Dia mengkehendaki. Fikir juga manusia yang tidak sempurna semenjak kelahiran lagi. Ada yang lahir berhidung senget, sumbing, tanpa penglihatan dan sebagainya.


Jelajah Atas dan Bawah

Orang barat kalau tidak mengkaji bukan lagi nama orang barat. Maksud saya mat saleh. Orang barat rata-ratanya bersifat ingin tahu. Orang barat terutama golongan saintis dan pengkaji ini, semua benda mereka hendak mengkaji. Sampai ke angkasa lepas nun, mereka dah boleh sampai. Bukan setakat menjelajah, malah boleh tinggal dekat angkasa lepas. Sekarang ini dengar-dengar ada pakej melancong ke angkasa lepas pula

International Space Station (ISS), tempat tinggal angkasawan

Kehidupan di ISS

Sekarang mereka sudah berjaya sampai ke angkasa lepas. Malah, sekarang ini mereka cuba mencari planet baru untuk menggantikan bumi. Jika tidak salah, planet Marikh kerana menurut mereka, terdapat sumber air di sana. Fuh! Sungguh dasyat pemikiran mereka.

Tidak cukup di angkasa, mereka turut mengkaji di dasar lautan. Seriously, kalau tidak ada mereka kita tidak akan tahu apa benda pun di sekeliling kita (saya tidak menafikan peranan saintis Muslim. Kadang-kadang pemikiran sempit sesetengah orang cenderung mengatakan pro-barat lah, itulah inilah).

Ikan di lautan dalam. Tidak akan pernah nampak jika mereka tidak menjelajah di dasar lautan


Ini spesis apa saya tidak tahu. Sebab itu saya cakap, jika mereka tidak mengkaji kita tidak tahu pun benda macam ini boleh wujud


Ini sah obor-obor. Tapi takkan dijumpai di Pulau Pangkor atau Langkawi. hanya di laut dalam

Penjelajahan di angkasa mahupun di laut dalam sangat berisiko. Di angkasa ada kemungkinan roket tak naik lalu jatuh ke bumi. Mungkin juga akan berlaku kemalangan semasa mahu mendarat ke bumi kerana geseran atmosfera. Lautan dalam pula, sudah lah dalam, gelap gelita, tekanan tinggi, bagaimana jika berlaku kerosakan pada kapal selam? Bagaimana jika mereka menghadapi satu makhluk yang tidak pernah mereka jumpa? Kita tidak tahu.

Sumber: Creature Sea




Loji Nuklear Fukushima Meletup


Bencana tsunami Jumaat lepas tidak menjadi bencana terakhir kepada rakyat Jepun. Susulan daripada gempa bumi yang kuat (8.9 pada skala Richter) telah menyebabkan nuclear power plant di Fukushima meletup. Apa yang diketahui, letupan itu hanya melibatkan dinding yang melindungi reaktor dan bukan reaktor itu sendiri. Berita selanjutnya: Di sini dan juga sini

Jika tsunami berlaku di utara Jepun, kini di selatan Jepun pula gunung berapi mula mengeluarkan debu panas dan hanya tunggu masa untuk meletus. Dunia sudah tua!

Sunday 13 March 2011

Lawak Tak Bertempat


Jika orang buat lawak, tapi dia sendiri yang ketawa, orang akan kata dia buat lawak bodoh.
Jika orang buat lawak, tapi orang lain tak ketawa, dia sendiri pun tak ketawa, orang akan kata lawak tak menjadi.
Tapi,
Jika orang buat lawak, tapi boleh menimbulkan rasa tidak senang, orang tak kata itu lawak, tapi itu kurang ajar namanya.
Bagi saya, gambar di atas boleh dipandang pada sudut yang berbeza. Contohnya, Ultraman sering dianggap figur yang perkasa dan berani. Datanglah pelbagai jenis raksasa monyet bertanduk dan bersayap sekalipun, Ultraman boleh kalahkan. Tapi, apabila datangnya tsunami, perkasa Ultraman pun, ada lagi yang Maha Perkasa. Tetapi, pandangan begini biasanya hanya minoriti sahaja. 
Jadi, pengajarannya, jangan buat lawak tak bertempat!

Berita Harian telah memohon maaf: Di sini

Facebook Tempat Meluahkan Perasaan. Aww!

Salam.

Sekarang ini sudah menjadi perkara biasa apabila orang meluahkan perasaan cinta di medan sosial terutama seperti Facebook. Oh man! Setiap kali buka Facebook, sekurang-kurangnya sekali mesti terlihat bait-bait puisi cinta yang melemaskan. Paling koman pun lagu-lagu jiwang di paste kan memanjang dalam column.

Ini tidak termasuk lagi luahan kata-kata sayang dan cinta. "I love you", "Today I really miss u, a lot!" "Saya tidak boleh lelapkan mata, asyik teringat kat you!" Oh man! Come on lah. Adakah mereka ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka adalah pasangan kekasih yang maha romatis? Oleh kerana ini rumah saya, maka saya ingin katakan saya kadang-kadang muak okey. Ini tidak termasuk jenis yang entah apa kategori pun saya tidak tahu, contohnya "Tak sabar nak kahwin dengan you", "Cepatlah, I tak sabar nak kahwin dengan you" What the ...

Walaupun saya mencoret di atas, tapi ia bukanlah kuasa untuk menghalang mereka berkata-kata sedemikian. Suka hati lah you all. Saya cuma tidak mahu orang berfikiran negatif terhadap you all.

Itu kisah bahagia. Yang kisah cinta duka nestapa pun ada juga. Aduh!

"Ada juga pasangan kekasih menceritakan kisah perhubungan mereka". "Hari ini kekasih tidak call, hari ini kekasih tidak temankan, maka saya makan sorang-sorang" dan seumpamanya.

Masalah kekasih dan tetangga ini masalah peribadi, perlu ke mahu luahkan di hadapan public? Cuma apa yang dikhuatirkan, bila sudah terbiasa begini, tidak mustahil bila berkahwin nanti, anda akan membuat posting di Facebook tentang malam kemesraan anda pula. Atau status "Hari ini saya bercerai, ada sesiapa nak kahwin dengan saya?". Habis!

Seseorang datang bertanya: "Yo Faceless, lu bising-bising di sini, dorang dengar ka?" "Arghh! Suka hati gualah!". Peace no War.

Saturday 12 March 2011

Kelahiran Semula

Salam.

Jika diikutkan, blog ini merupakan kelahiran ketiga selepas dua blog sebelum ini telah terkubur ditelan masa. Kini, masa untuk reincarnation (kelahiran semula). Tentang tema coretan kelahiran ketiga ini diharapkan lebih panas dan bertenaga disamping boleh memberi input hendaknya.

Pernah nampak? Kalau peminat DOTA mesti tahu figure di atas