Wednesday 23 March 2011

Demi Kemanusiaan, bukan Perbezaan

:Salam: Gambar kredit dari blog : Dr. Faisal Tehrani

Tukang Kayu merasakan, jawapan paling tepat kenapa umat Islam tidak kisah mengenai situasi Bahrain adalah kerana majaroti penduduk di sana adalah bermazhab Syiah. Tambahan pula dengan kenyataan-kenyataan individu yang menyerlahkan lagi bahawa kebangkitan rakyat Bahrain adalah kebangkitan Syiah. Walhal, rakyat Bahrain sendiri menyedari betapa bobrok pemerintah monarki di Bahrain.

Mungkin, hanya kerana perkataan "Syiah" inilah, kita sebagai umat Islam menjadi buta dan tuli (tidak semua). Kenapa wahai orang Islam? Adakah kerana mereka kafir? Adakah kerana mereka sesat? Beritahu Tukang Kayu, jika mereka kafir dan sesat sekalipun, adakah darah mereka halal untuk ditumpahkan? Adakah kerana mereka kafir dan sesat maka kita redha dengan tindakan tentera menembak mati penduduk Syiah? Bukankah dalam ajaran Islam, orang kafir yang tidak memberi ancaman wajib diberi perlindungan dan jaminan keselamatan? Kanak-kanak dan wanita yang terbunuh, adakah kita hanya mengatakan "tidak mengapa kerana mereka Syiah!?" Wajarkah anda berkata begitu wahai orang Islam!? Apakah kalian tidak punya perasaan kemanusiaan wahai orang Islam!?

Bagaimanakah jika ia terjadi dalam kalangan ahli keluargamu wahai orang Islam!? Bagaimana jika bapamu diperlakukan sedemikian wahai orang Islam!? Bagaimana jika ibumu ditembak mati di hadapanmu serta adik-adikmu yang masih kecil wahai orang Islam!? Bayangkan adik perempuanmu menangisi di atas kematian ibumu wahai orang Islam!


Bagaimana jika abangmu diburu, dan diseret di hadapanmu lalu ditembak tepat di kepala sehingga tersepai otak wahai orang Islam!? Apakah perasaan mu, apabila berita-berita yang terjadi terhadap keluargamu diketahui oleh orang ramai, tetapi orang ramai mengatakan "tidak mengapa, mereka sesat" wahai orang Islam? Bagaimana di saat abangmu yang ditembak di kepala masih dalam keadaan nazak lalu engkau mencari pertolongan, dan pertolongan yang diperolehi hanyalah kata-kata "kamu bukan dalam kalangan kami dan kami tidak akan menolongmu"? Apakah perasaanmu wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila melihat bapamu menangisi pemergian abang serta ibumu wahai orang Islam?


Apakah perasaanmu apabila melihat adik keduamu mendakap erat dengan tangisan terhadap mayat ibumu yang terbujur kaku wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila adik-adik kecilmu bertanya kepadamu "mengapa ibu ditembak?" wahai orang Islam? Apakah jawapanmu apabila adik-adikmu terus bertanya kepadamu "kenapa orang ramai tidak menolong ibu" sambil menangis wahai orang Islam?


Begitu juga dengan mereka wahai orang Islam! Di saat mereka menangis, merintih, dan meraung meminta pertolongan, adakah kalian pernah mendengar dan mengetahuinya wahai orang Islam? Adakah kalian hanya menunggu ia terjadi terhadap ahli keluargamu baharulah kamu merasa kepedihannya wahai orang Islam?

Ingatlah, mereka punya perasaan. Mereka ada rasa sakit dan pedih wahai orang Islam. Jangan kafirkan mereka. Jangan sesatkan mereka. Mereka adalah kita, kita adalah mereka, kerana kita adalah manusia. Yang punya hati dan perasaan. Yang punya air mata untuk ditangisi. Yang punya kesedihan untuk dikongsi.






2 comments:

Ninja Jepang said...

Kerana fanatik mazhab, syiah diperlakukan seperti binatang, malah lebih teruk lagi agaknya.

Kasihan bila Islam yang dibawa 'mereka' seolah2 bukanlah Islam cara Nabi.

Tukang Kayu said...

Seperti kata wartawan NY, "they are like hunting rats". Bagi TK, mereka telah melampaui fanatik mazhab. Ini lebih kepada kebencian yang mendalam terhadap orang Islam berfahaman Syiah. Tetapi, yang lebih teruk adalah orang Islam, pertubuhan Islam dan pemimpin Islam hanya sekadar melihat.

Post a Comment