Monday 22 April 2013

Kita Ada Doa!

Salam.

Seperti dijangka, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan segala perkakas yang ada dalam masa 2 minggu tempoh berkempen parti yang bertanding. Jika mereka ada 24 jam, Pakatan Rakyat (PR) hanya ditawarkan 10 minit, itupun tawaran ajak-ajak ayam daripada Rais Yatim.

Namun, bagi pihak pemerhati, SB dan risikan yang ada, di atas kertas sememangnya PR memiliki kelebihan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia. Namun, ia tidak akan diberi laluan mudah kerana parti yang memerintah 55 tahun itu tidak akan berdiam diri. Hilang kuasa bagi mereka ibarat hilang nyawa. Siapa sanggup dibicarakan, ditahan, malah ditangkap sekiranya pihak PR mahu membuka fail-fail mereka yang mana selama ini disembunyikan. Tidak sama sekali.

Ya, BN boleh menggunakan apa sahaja. Media cetak, elektronik habis semua dibalun tanpa mengira masa. Panduan kerajaan sementara entah hilang ke mana, SPR membatu tanpa ada suara pun menegur penyalahgunaan hak rakyat oleh mereka. Peruntukan, bantuan dan limpahan wang ribuan ringgit yang jelas sekali kelihatan seperti suapan langsung tidak diendahkan. Paling penting, dari manakah wang itu datang?

Ya, senjata ampuh mereka adalah SPR. SPR boleh menentukan siapa yang akan menang. Mereka berkuasa untuk melakukan ini. Mereka berkuasa untuk memindah pengundi tanpa pengetahuan. Mereka berkuasa mendaftar mat Bangla menjadi pengundi. Ini semua gila belaka!

Bila kita kata daftar pemilih kotor dan busuk, mereka menafikan walaupun bukti bergambar diberikan. Laporan jangan cakap, semua dibakulsampahkan. Mereka mengaku mereka telus, tapi telus kepala apa kalau pendaftar bernama AB Rapar bin Awang boleh mengundi 3 tempat yang berbeza?


Telus apa kalau pengundi bernama Fatimah Ismail boleh ditemui 900 kali dengan nama dan tarikh lahir yang sama?

Pesanan saya untuk SPR terutama ketuanya:
Ingatlah, dunia ini adalah sementara. Akhirat jualah tempat kembali. Segala perbuatan kita akan disoal di mahkamah akhirat. Jika anda bersekongkol dengan kebathilan, sesungguhnya kebathilan itu pasti lenyap. Jika perbuatan anda menjadikan kerakusan dan kezaliman berterusan, hak-hak rakyat diambil secara bathil dan penganiayaan berterusan terhadap kami yang mengharapkan keadilan, persaksikanlah, sesungguhnya azab Allah itu amat keras!
Ya, mereka ada kuasa. Tapi jangan lupa, kuasa Allah jualah mengatasi segala-galanya. Jika kalian beranggapan kalian telah berjaya dengan tipu daya, sesungguhnya sebaik-baik perancang adalah Allah.

Tuesday 16 April 2013

Menjawab Iktikad Penyokong BN! (2)

Salam.

Post kedua adalah sambungan kepada post sebelum ini berkisar tentang keyakinan batil  penyokong BN yang menyatakan bahawa HANYA BN yang mampu mentadbir negara, HANYA BN yang boleh memartabatkan Islam dan menjaga kepentingan Melayu, walaupun hakikatnya jauh panggang dari api. 


Ia adalah susulan daripada mesej yang dibalas oleh saya.

1. Ketuanya BN, tetapi pembangkang ketuanya DAP. Entah sifir mana yang diguna pakai oleh penyokong BN ni. Umum tahu, ketua pembangkang adalah DS Anwar Ibrahim, seorang Melayu berasal daripada Permatang Pauh daripada parti Keadilan. Mana pula datangnya pembangkang diketuai DAP?

Tak lain tak bukan, racun perosak fikiran akhbar lucah semalaysia, Utusan dalam temu bual dengan presiden JATI, Dr. Hasan Ali. Sila baca di sini: Utusan

Saya malas nak ulas panjang. Sila baca di sini : Kedah Lanie dan di sini: Sakmongkol (Ex-UMNO).

2. Pangkah BN hidup bangsa Melayu dan Martabatkan Islam. Hairan bin ajaib. UBN sekian lama didedahkan dengan skandal rasuah seperti Scorpene, NFC dan PKFZ masih dianggap sebagai pembela umat Melayu dan Islam. 

Macam mana agaknya UBN dikatakan martabatkan Islam? Adakah dengan banyak membahagikan peruntukan untuk pembinaan masjid? Atau dengan pemberian RM 2 juta kepada Abdullah Saamah? Martabatkan Islam bererti meletakkan Islam paling atas sekali, merangkumi fizikal dan spiritual. Asas agama bermula daripada diri sendiri, diikuti keluarga dan masyarakat. Jika keluarga tunggang-langgang, jangan dikata Islam sudah dimartabat. 

Sudah-sudah lah. 

Sunday 14 April 2013

Menjawab Iktikad Penyokong BN! (1)

Salam.

Blog yang dah lama tak dikunjungi. Berhabuk dan bersawang. Hari ini mahu memulakan penulisan dengan menjawab satu mesej yang diterima daripada penyokong BN.

Sebelum itu, adalah penting untuk saya menerangkan penggunaan istilah "iktikad" dalam tajuk post kali ini. Iktikad adalah keyakinan, biasanya digunakan dalam istilah keagamaan seperti iktikad ahli sunnah al jamaah. Tapi, untuk posting kali ini, saya ingin gunakan istilah iktikad, ditujukan dengan ikhlas kepada penyokong BN yang tegar dan pekat ini.

Anda sentiasa berkeyakinan HANYA BN sahaja yang boleh membawa kemakmuran dan keamanan walaupun realitinya tidak begitu. HANYA BN sahaja yang mampu memberi rezeki kepada anak cucu cicit sekarang dan selamanya, walaupun realitinya hanya indah khabar dari rupa. Pelbagai HANYA lagi tetapi malangnya semuanya adalah HANYIR belaka.

Ayuh, kita sama-sama menghadam iktikad mereka seperti gambar di bawah:


1. Iktikad DAP tidak senang dengan Melayu. Kononnya, kita telah dimomokkan oleh pemimpin BN yang mengatakan nasib Melayu di Pulau Pinang terabai dan terpinggir di bawah kuasa DAP. Pertukaran baju politik telah membuatkan Melayu Pulau Pinang terpinggir, malah ada gerai yang diusahakan oleh orang Melayu dirobohkan atas alasan pembangunan (Zahid Hamidi, Berita Harian 4/07/2010).

Jawapan:

Sebelum kita terima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh mereka, kita harus mengkaji terlebih dahulu. Kajian hendaklah dibuat melalui naskah media alternatif, kerana segala fakta sahih tidak akan tercatat dalam media arus perdana yang semakin hilang kredibilitinya itu.

Kerajaan Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan media tentang isu perobohan gerai di Pulau Pinang yang boleh di baca di sini [1]. Cuma penyokong BN yang telah sebati dengan kitab Utusan dan Berita Harian terhalang daripada maklumat lengkap berstatistik yang menjelaskan keadaan sebenar, iaitu perobohan gerai adalah atas dasar undang-undang, bukan perkauman!

Seharusnya, penyokong BN harus sedar, bertenang dan bermuhasabah. Duduk sebentar, dan tanya kepada diri, apakah usaha Gerakan dalam memajukan Melayu Pulau Pinang semasa 50 tahun Pulau Pinang dibawah kuasa BN? 

2. Haram undi pembangkang di Kelantan. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah fatwa daripada seorang guru pondok, iaitu Tuan Guru Abdullah Saamah, pengasas Pondok An-Najmiyah yang dikatakan ilmunya berharga RM 2 juta (Video Youtube). Adalah dipercayai penyokong BN di atas membaca Utusan Malaysia dan menerimanya tanpa pertimbangan akal yang sihat sejahtera. Deklarasi ulama pondok yang diketuai Abdullah Saamah ini mengeluarkan fatwa haram mengundi pembangkang kerana menyokong pluralisme agama (Utusan, 8/04/2013). Selain itu juga, Abdullah Saamah turut mengeluarkan fatwa bahawa dosa untuk mengundi DAP (Utusan, 8/08/2012).

Jawapan:

Untuk menjawab tuduhan ini, pertama sekali fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah Saamah tidak menepati kaedah pengeluaran sesuatu hukum. Sila rujuk: Majlis Fatwa. Juga, tambahan boleh dibaca di sini: Usul Fiqh.

Jika adapun, mahu berhujah dengan fatwa Abdullah Saamah itu, pertama sekali kita perlu menyiasat, menyelidik dan menelaah adakah betul dakwaan yang dibuat oleh Abdullah Saamah tentang pluralisme jika pembangkang memerintah. Menurut pembacaan, asas untuk mengaitkan pakatan pembangkang dengan pluralisme adalah berdasarkan isu kalimah Allah baru-baru ini (Malaysiakini, 9/04/2013).

Isu kalimah Allah adalah isu yang sengaja diputar belit. Malah, cubaan untuk memainkan sentimen agama adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Pendirian PAS adalah tetap, iaitu kalimah Allah tidak dilarang dalam agama (Kenyataan rasmi Majlis Syura Ulama),Isu kalimah Allah turut dijelaskan dalam ceramah Dr. Asri di mana beliau menjelaskan dalam konteks perundangan Malaysia, pemerintah boleh sahaja menentukan undang-undang berkaitan perkara ini. (Ceramah Dr. Asri).

Fatwa yang dihamburkan oleh Abdullah Saamah hanyalah berbentuk politik, jauh sekali demi agama. Melalui kenyataan-kenyataan beliau yang menuduh secara tidak realistik menambah lagi agenda politik manusia bernama Abdullah Saamah ini.

Antara kenyataan beliau:

"Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kedudukan Islam dan umat Islam." - Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012.

Apakah agaknya yang dimaksudkan oleh Abdullah Saamah tentang ayat bergaris di atas. Setelah diselidiki, saya menyimpulkan ia merujuk kepada hukum hudud berdasarkan kenyataan beliau sebelum itu:

"Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud." Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012.

Jika benarlah beliau berkata demi Islam, sewajibnya beliau menegur tindakan pimpinan dan penyokong MCA di bawah, tanpa hanya fokus kepada DAP sahaja.

Kredit kepada: Orenji

PAS sentiasa komited terhadap Islam, malah ianya tidak akan luntur. Berbeza bagi mereka yang terang-terangan menolak Islam, walaupun agamanya Islam.

Sebelum noktah, kita renungkan sekali lagi kenyataan Tok Guru pondok yang mempunyai murid yang boleh dibilang dengan jari ini:

"Saya menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya pada pilihan raya umum akan datang jangan sokong PAS yang masih tidak mahu keluar daripada pakatan pembangkang, sokong UMNO dan BN supaya orang Melayu dan syiar Islam terus dimartabatkan," katanya. - Utusan Malaysia bertarikh 8/08/2012


Konsert semasa Hari Belia 2012 anjuran BN yang jelas dan izhar memartabatkan Islam!