Sunday 20 March 2011

Antara Hormat dan Kesal

:Salam:

Tukang Kayu amat menghormati Dr. Yusuf Qardawi. Kerana beliau adalah ulama terkenal dan agung bagi Tukang Kayu. Bukan sahaja kekaguman dari segi keluasan ilmunya, malah kelantangan beliau menentang penjajahan Yahudi ke atas tanah rakyat Palestin. Bagi Tukang Kayu, beliau adalah suara umat Islam, suara yang mewakili setiap insan Muslim di dunia. Tempat rujukan dan pandangan umat Islam. Begitu agung sekali Tukang Kayu mengangkatnya.

Namun, dalam tingginya hormat Tukang Kayu terhadap beliau, timbul sedikit kekesalan apabila mendapat tahu pandangan beliau berkaitan rakyat Bahrain. Kenyataan beliau seperti di sini: Al-Arabiya dan khutbah Jumaat beliau di sini: Khutbah Jumaat Dr. Yusuf

Antara kenyataan beliau adalah kebangkitan rakyat di Bahrain bukanlah satu revolusi seperti mana revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya. Kebangkitan di Bahrain adalah penentangan Syiah terhadap kerajaan Sunni, bukan atas dasar kesedaran rakyat Bahrain keseluruhannya walaupun yang turun di jalanan adalah saudara-saudara Sunni-Syiah.

Tukang Kayu walaupun hina dan rendah dibandingkan dengan beliau, bukankah sepatutnya beliau perlu melihat dan menilai perkara yang lebih besar lagi? Misalnya, kekejaman tentera Saudi yang bertindak membunuh rakyat yang tidak berdosa. Tukang Kayu yakin 101% Dr. Yusuf Qardawi mengetahui larangan membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Jika Nabi melarang membunuh tiga kategori ini semasa berperang, apatah lagi untuk membunuh mereka di luar waktu peperangan. Tetapi apa yang terjadi adalah pembunuhan rakyat Bahrain tidak mengira umur. Bukankah perkara ini lebih utama berbanding dengan melihat isu Syiah dan Sunni?

Apatah lagi negara tempat tinggal beliau iaitu Qatar, turut menghantar tenteranya mengganyang rakyat Bahrain: Tentera Qatar Adakah beliau tidak menghalang pemerintah Qatar agar tidak menambahkan dosa-dosa membunuh?

Tukang Kayu kesal kerana ulama hanya tahu melihat perbezaan. Mereka seharusnya menjadi ulama kepada umat Islam tanpa melihat perbezaan. Orang yang berlaku zalim tetap zalim walaupun pelakunya Sunni, begitu juga Syiah yang menzalimi Sunni.

4 comments:

Ninja Jepang said...

Membaca fatwa baru Qardhawi baru2 ni sekaligus mematikan rasa hormat saya pada beliau.

Tukang Kayu said...

Seperti kata Dr Faisal, ulama kerusi empuk atau ulama terompah.

.::: mr IQ :::. said...

Entahlah...
Saya amat menghormati para ulamak,
saya bukan mahu menyelebelahi sesiapa, saya pun banyak juga tersilap kata, tapi mungkin apa yang dikatakan itu mungkin ada dalil dan kefahaman dia tersendiri. para Ulamak mempunyai pelbagai pendapat, namun pendapatnya adalah berdasarkan dalil, al-quran dan sunnah.

tidak perlu lah menfitnah beliau dan mengatakan 'ulama kerusi empuk atau ulama terompah' dan sebagainya. Saya sendiri pun masih berada di kerusi empuk, masakan saya mahu mengatakan 'ulama' di kerusi empuk.

Semoga Allah memberi hidayah dan mengampuni, saya dan kita semua...

(sekadar pandangan dari manusia yg bodoh)

Tukang Kayu said...

Saudara Mr IQ,

Ulama memang harus dihormati. Tetapi perlu dibezakan antara ciri-ciri ulama yang selayaknya dihormati.

Jika Dr Qardawi mengeluarkan pendapatnya berdasarkan dalil, Al-Quran dan sunnah, pastilah tidak terkeluar kata-kata seperti "sectarian" dan "saya tidak tahu hal sebenar".

Dua sebab, pertama memisahkan puak Sunni-Syiah, sedangkan yang berlaku di Bahrain adalah kezaliman pemerintah (membunuh orang awam) adalah perkara yang lebih besar dan perlu diberi perhatian berbanding isu sekte.

Kedua, mengeluarkan kenyataan tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mengetahui hal sebenar. Sedangkan dalam Al-Quran Allah berkata supaya mengkaji dahulu kebenaran sesuatu berita. Bagaimana Dr Qardawi boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan beliau tidak mengetahui hal sebenar. Dan saya ragu-ragu, adakah beliau benar-benar tidak mengetahuinya. Bukankah media massa begitu mudah dicapai.

Ulama kerusi empuk dan terompah adalah kata-kata sinis berbentuk perumpamaan. Saya pasti Dr Faisal tahu dan faham apa yang ditulisnya. Ulama kerusi empuk adalah perumpaaan ulama yang terikat kepada susuatu sehingga pendapatnya selari dengan sesuatu yang mengikatnya (contoh: kerajaan).

Post a Comment