Friday 20 July 2012

Salam Ramadhan

Salam Ramadhan!

Marhaban ya Ramadhan!

Alhamdulillah, segala puji hanya kepada Allah Azza Wa Jalla yang Esa. Tidak ada Tuhan melainkan Dia.

Syukurlah kepada Allah SWT, kerana dengan kepanjangan usia dan nikmat kesihatan yang dikurniakan, kita sekali lagi mampu bernafas dalam bulan yang penuh kemuliaan. Segala amalan digandakan dan dihadiahkan pula keberkatan secara total oleh Allah SWT yang Maha Pengasih. Hanya kita sahaja yang mampu memanfaatkan anugerah yang diberi, dengan berusaha sedaya upaya untuk menghidupkan amalan makruf dalam bulan suci ini.

Peliharalah diri kita daripada perkara yang sia-sia. Hindarkanlah diri daripada perkara yang mengurangi pahala. Tutuplah telinga daripada mendengar cerita-cerita dusta. Tutuplah mata daripada memandang perkara yang merosakkan jiwa. Kawallah jari-jemari anda daripada menulis dan menaip perkara yang kita tidak tahu usulnya. Yang berpolitik berpada-pada. Yang menyebar berjaga-jaga.

Ramadhan di Iran (kredit to Oh! Islam)

Kenapa Iran? Hanya mahu kita membuka mata. Bersangka baik terhadap mereka. Mereka beramal kerana Tuhan yang Esa. Jauhilah berkata nista dan dusta terhadap mereka. Janganlah mencaci mereka kerana sejarah silam. 

Salam Ramadhan Al-Mubarak!

Sunday 8 July 2012

Oh Cinta!

Salam.

Pernahkah kita terbaca post-post di mana-mana laman sosial seperti Facebook atau Twitter mengenai sepasang kekasih yang belum nikah berbalas-balas "I Love You" atau "I Miss You" atau seumpamanya?

Apakah perasaan anda? Mungkinkah anda menyampuk dengan membalas "How sweet you all"? Atau pun sekadar "elelehh, romantiknya"? Atau anda hanya pendamkan dalam hati dan membiarkan hati anda menempik betapa meluatnya cinta-cinta yang diperdagangkan di hadapan orang awam? Itu terpulang. Saya tidak membantah pun apa reaksi anda. Anda suka anda "Like" sahaja. Jika anda suka menyampuk tulislah sesedap hati anda. Tetapi biarlah berlapik dan didasari akhlak Islamiyyah.

1. "Alah, engkau jeleslah tu"

2. "Kau kalau tak menyibuk boleh? Ini wall aku, suka hati akulah!"

3. "Fitrah manusia bercinta. Macam inilah."

Itu mungkin respon segera oleh pasangan-pasangan romantik bila seseorang kacau daun dalam percintaan mereka. Pertama sekali, ya, kita kena hormati hak kebebasan bersuara dalam mazhab demokrasi. Anda tidak boleh halang orang memadu kasih asmara yang menghiasi wall feed anda. Tetapi anda boleh menghalang mereka dengan hide cerita-cerita kasih mereka daripada menconteng wall feed anda.

Atau anda mungkin memberi respon atas kapasiti seorang Muslim yang tidak mahu maruah Muslimnya yang lain kelihatan comot dan kotor. Atau mungkin anda menasihati mereka atas kapasiti seorang rakan yang meluat melihat telatah rakannya yang lain. Kalau saya, saya juga meluat kisah cinta yang kononnya suci dan agung itu diperdagangkan di hadapan khalayak ramai di laman sosial. Tetapi itulah, itu hak peribadi dan kebebasan bersuara.

Berertikah Luahan Cinta Itu?

Sebenarnya, saya hanya tertanya-tanya sejauh mana perasaan cinta yang diungkapkan itu selari dengan hati yang merasa. Adakah kita cinta kepada seseorang kerana Allah SWT atau cinta kepada rupa fizikal yang cantik dan molek? Adakah cinta yang diluahkan itu berkekalan selagi tidak diuji? Sudah terujikah cinta mereka? Apakah cinta yang sebenar? Apakah tanda-tanda cinta itu cinta sejati? Persoalan-persoalan ini sepatutnya timbul dahulu sebelum kita mengungkapkan kata-kata cinta kepada seseorang.

Ujian Cinta

Ujian dalam percintaan bukan ujian untuk menguji kecemburuan pasangan. Kalau setakat ujian melihat reaksi seorang kekasih bila dia rapat dengan perempuan/lelaki lain bukanlah ujian yang besar.

"Jika dia cemburu, maka dia memang cinta kepadaku." Ini adalah satu kesimpulan mudah. Bukan satu muktamad yang pasti noktahnya.

Cinta yang benar adalah hadirnya perasaan kasih dan sayang tanpa dipengaruhi oleh persekitaran. Susah dan senang dilalui bersama-sama. Jika si dia berada dalam kesusahan, runtunan hati dan jiwa hadir tanpa dipaksa. Tanpa disedari dan penuh kerelaan, anda menghulurkan tangan untuk menuntun si dia keluar daripada liku-liku kesusahan. Jika dia gembira, anda turut mengukir senyuman dan tawa bersama-sama tanpa kepura-puraan. Jika dia sakit, andalah yang menjadi pengubat yang setia dalam memberi sokongan. Inilah cinta yang perlu dicari, semestinya cinta selepas Allah dan RasulNya.

Namun, manusia itu sentiasa diuji. Tidak terkecuali dalam hubungan cinta yang terjalin.

"Saya kemalangan." Anda menerima satu mesej ringkas daripada sang kekasih pada satu hari. Sesegera mungkin anda menuju ke wad hospital untuk mengetahui keadaan kekasih anda. Anda melangkah dengan laju, tanpa mempedulikan orang-orang di sekitar anda. Apa yang menjadi tumpuan anda adalah mencari si dia secepat mungkin.

Pintu diketuk. Anda melangkah ke dalam dan mendapati si dia masih terbaring lemah. Anda mendapati wajahnya bagai dicalar akibat luka-luka kemalangan. Wajahnya yang dulunya halus, mulus dan manis yang menjadi kegilaan dan pujian anda hilang. Tambahan pula anda diberitahu bahawa si dia sudah lumpuh kerana kecederaan yang menimpa dirinya. 

Anda termangu-mangu. Hilang akal sebentar. Banyak perkara yang datang menerjah kotak pemikiran menyebabkan overload. Anda mungkin mengucapkan kata-kata semangat, tetapi ia sudah tidak selari dengan hati anda. Jika boleh, anda ingin segera meninggalkan hospital untuk mencari ketenangan sementara waktu.

Anda pulang dan terbaring. Penat memikirkan hal yang menimpa sang kekasih.

"Lumpuh adalah kecacatan. Adakah aku boleh menerima seseorang yang cacat dalam hidup. Bukankah itu menyusahkan..." Perkara yang tidak pernah anda fikir di saat bahagia tiba-tiba mengisi ruang fikiran anda.

"Should I leave or stay?"

"Should I leave or stay?"

Hanya anda sahaja yang mampu menjawabnya!




Cinta Sejati Adalah Cinta Kerana Allah


Oleh sebab itu kadang-kala saya tertanya-tanya bagaimana insan itu mengurus rasa cintanya. Adakah cinta yang diungkap itu berpaksi kepada agama atau nafsu semata-mata. Jika kerana agama (Allah), maka susah dan senang akan dilalui bersama sehinggalah jasad dan roh terpisah. Jika kerana nafsu, cinta itu akan hilang sekali dengan hilangnya keghairahan nafsu.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka dalam dunia percintaan atau perkahwinan, seringkali berlaku penceraian kerana suami/isteri sudah hilang minat antara satu sama lain. Si suami berkata isterinya sudah tidak cantik seperti dahulu. Si isteri pula berkata suaminya sudah hilang kekacakan kerana dimamah usia dan tidak berharta. Akhirnya, perpisahan berlaku. Apabila nafsu sudah hilang ghairahnya terhadap sesuatu, maka ia mendorong manusia untuk mencari sesuatu yang baru untuk memuaskan kembali nafsunya. Maka tidak hairan jika cinta berlandaskan nafsu tidak akan kekal, kerana nafsu tidak pernah puas!

Sebaliknya, kita sebagai Muslim sudah dibekalkan dengan Kitabullah dan Al-Hadis yang menjadi penyuluh kehidupan. Segala hal-hal fitrah sudah dibahaskan oleh para ulama daripada dahulu sehinggalah sekarang. Tinggal kita sahaja untuk memanfaatkan.

Untuk mengekalkan hubungan cinta yang sah (selepas nikah), hendaklah sentiasa menghiasi kehidupan dengan ajaran-ajaran Islam yang murni. Si suami hendaklah menjaga nafkah manakala si isteri menjaga keterampilan diri dalam melayani suami. Perbanyakkan amalan dan mengikut tips kebahagian rumah tangga. InsyaAllah ianya akan berkekalan.