Saturday 14 April 2012

Erti Sebuah Perjuangan

Salam.

Perjuangan itu luas. Perjuangan tidak bererti tindakan mengangkat senjata lalu bertempur di medan peperangan. Perjuangan tidak bererti darah itu harus ditumpahkan. Perjuangan tidak bererti bercerai anggota badan dan kebinasaan pada jasad. Perjuangan adalah tindakan mengubah sesuatu daripada tidak baik kepada baik. Atau baik kepada lebih baik. Paling penting adalah matlamat itu jelas dengan berlandaskan etika dan akhlak Islamiyyah.

Negara kita berhadapan detik-detik getir. Pelbagai isu membadai bagai tsunami yang menhentam bumi Acheh pada tahun 2004. Isu kerajaan yang tidak telus, rasuah dan moral kedengaran hampir segenap penjuru bumi Malaysia yang dihadiri oleh pengucapnya. Ini bukan omongan kosong daripada mulut pembangkang. Ianya disokong oleh bukti-bukti yang kukuh. Dokumen, rajah, graf dan statistik dipamerkan setiap kali sesuatu isu didedahkan. Tambah menguatkan lagi persoalan ditimbulkan apabila sesetengah isu tidak dibahaskan atau tidak ada respon daripada pihak pemerintah. 

Namun, post kali ini tidak menyentuh apa isu yang dibangkitkan. Tidak akan menyentuh siapa yang mendedahkan dan kepada siapa ia ditujukan. Apa yang ingin saya sentuh adalah adab dan etika dalam perjuangan, agar perjuangan itu tidak dicemari dan dikotori dengan anasir yang negatif.

Kita tidak mahu menjadi seperti Bahrain di mana darah manusia ditumpahkan ke bumi. Kita tidak mahu menjadi seperti Syria di mana pihak pemerintah dan pemberontak saling mengangkat senjata yang akhirnya, membawa kepada peningkatan angka korban manusia. Kita tidak perlu semua itu. Kita masih belum mencapai tahap seperti perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi mereka daripada cengkaman Zionis. Cuma, kita tidak mahu pengakhiran di bumi kita menjadi pemerintah kuku besi Saddam  Husin.

Guna Saluran yang Betul

Kebiasaannya, ketidakpuasan hati diluahkan melalui dokumentasi yang teratur seperti penyerahan memorandum. Tetapkan temu janji, dan beraraklah secara aman untuk penyerahan memorandum. Dan yang penting sekali, dapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Demonstrasi Aman

Jika penyerahan memorandum gagal kerana pihak yang menerima enggan bertoleransi. Atau pihak menerima hanya membakulsampahkan dokumen selepas beberapa bulan, maka perlembagaan hakikatnya membenarkan demonstrasi secara aman. Malah, ia telah diamalkan oleh orang Melayu dahulu kala tatkala membantah Malayan Union. Malah diteruskan oleh orang Melayu daripada UMNO yang saban waktu berdemo di Pulau Pinang. Bezanya, UMNO berdemo tanpa gangguan, tetapi pembangkang berdemo dengan kesulitan dan kesusahan.


Demonstrasi Aman tanpa Provokasi

Apabila berdemo, paling penting adalah menjaga akhlak dan tingkah laku. Jangan sesekali membuat provokasi keterlaluan seperti membaling botol air, batu atau menyerang anggota polis. Saya tidak nafikan, pihak polis ada kalanya bertindak keterlaluan dalam menyuraikan perhimpunan, tetapi saya lebih suka sekiranya kita terlebih dahulu mengawal diri kita. 

Mahasiswa dan Perjuangan

Mahasiswa adalah anak muda. Anak muda yang lahir pada zaman limpahan maklumat di sekeliling mereka. Anak muda yang bakal merubah masa depan negara, kerana orang-orang tua di kampung sudah semakin berkurangan. Maka, kuasa undi terletak pada tangan anak muda yakni mahasiswa majoritinya. 

Mahasiswa adalah aset yang tinggi nilainya. Mahasiswa mempunyai akal yang waras dalam tindakan. Mahasiswa mempunyai pelajaran dan didikan yang baik, lantas bisa membezakan mana yang baik dan buruk dalam setiap tindakan.

Mahasiswa menyarakan bantahan adalah OK. Mahasiswa berjuang untuk kebaikan adalah OK. Mahasiswa menuntut hak adalah OK. Tetapi biarlah caranya juga OK. Saya menolak perjuangan mahasiswa yang menggunakan kaedah yang "masih belum sampai tahapnya". Tindakan seperti berdemo pada jam 2-3 pagi, sanggup meninggalkan pelajaran, membakar sesuatu entiti, provokasi terhadap pihak berkuasa dan juga tindakan-tindakan lain yang dirasakan tidak patut pada pandangan mahasiswa. Seperti yang dikatakan, mahasiswa adalah aset yang tinggi nilainya. Kita tidak mahu masyarakat memandang serong kerana sikap segelintir mahasiswa.
Nama saja mahasiswa, belajar tinggi-tinggi bawa harapan mak bapak, tetapi hampas dan menyusahkan orang ramai
Kita tidak mahu pelabelan sebegitu rupa daripada masyarakat.

Belajar dan Berjuang Perlu Seimbang

Mahasiswa adalah anak muda dan juga digelar seorang pelajar. Mahasiswa masih tertakluk dengan undang-undang di tempat pengajian mereka. Jangan salahkan undang-undang jika ternyata kita yang membuat salah. Kita belajar apabila masa belajar, kita menelaah apabila tiba masanya dan kita melangkah ke dewan peperiksaan bila sampai waktunya. 

Langkah Terbaik?

Jangan persoalkan dulu "mahasiswa sokong BN boleh pula, kita tidak boleh". Betul. Itu memang zalim dan tidak adil. Tapi kita perlu berpijak kepada realiti. Kita masih ada wakil luar yang boleh membawa suara kita seperti SAMM. Kita tidak boleh menongkah arus yang tinggi, sebaliknya kita biarkan arus itu kembali tenang. Atau kita meminta pertolongan luar untuk mengharungi arus itu.

Jangan memperkecilkan mahasiswa yang tidak ikut berdemo. Jangan memperli mahasiswa yang hanya menelaah buku. Jangan marah mahasiswa yang tidak mahu ikut berjuang menuntut hak. Kerana tidak mahu bukan bererti takut! Kita punya cara dan rancangan tersendiri untuk berjuang.

Mahasiswa bisa memilih perjuangan jalanan. Mahasiswa juga bisa memilih perjuangan melalui tulisan. Matlamat adalah sama. Mengubah sesuatu!

Sunday 1 April 2012

Langkah Seterusnya...?

Salam.

Kali ini saya nak sembang sikit mengenai hala tuju selepas tamat belajar. Berdasarkan pemerhatian selama beberapa bulan, masih ada yang tercari-cari apa yang perlu dilakukan setelah tamat belajar. Adakah aku perlu sambung Master? Adakah aku perlu cari kerja? Kahwin dahulu ke? Atau aku jadi suri rumah tangga sahaja selepas mengerah tenaga dan idea selama 4 tahun dalam pengajian? Mungkin itu adalah persoalan yang sering bermain dalam fikiran.

Sambung belajar

Menyambung pelajaran adalah salah satu optional yang baik jika kita masih berasa tidak puas dengan ilmu yang ada. Sesetengah orang ingin kepuasan mencari ilmu. Biarlah ilmu setinggi gunung, kata orang. Atau dalam hadis yang biasa kita dengar:
Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China

Namun begitu, untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kita harus menanamkan iltizam dan kesungguhan ke arah itu. Bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau atas dasar mengikut kawan. Atau mungkin, kerana melihatkan sang kekasih masih belajar di kampus, kita mengambil keputusan untuk sambung pengajian agar senantiasa dapat berdampingan dengannya, sedangkan anda tidak mempunyai kemahuan untuk sambung belajar. Jangan!

Niat untuk sambung belajar harus betul dan benar. Jika sebaliknya, anda mungkin akan terkandas di tengah jalan. Jangan ambil risiko untuk sambung pengajian sekiranya anda tidak berminat atau terpaksa. Golongan yang sambung pengajian ke peringkat tertinggi kebiasaannya mempunyai matlamat atau determination yang nyata dan jelas.

Jangan sesekali kita menyambung pengajian dengan beranggapan itu adalah pilihan atau optional terakhir kerana tidak dapat pekerjaan. Atau kita menyambung pengajian atas dasar tarikan biasiswa dan elaun yang disediakan. Oh! Jika ini niat anda, saya merasakan anda akan mengalami saat sukar semasa pengajian. 

Anda digalakkan untuk menyambung pengajian sekiranya ia termaktub dalam career plan anda. Sekiranya anda ingin menjadi seorang jurutera di Shell atau Petronas dengan spesifikkan dalam bahagian Penapisan Petroleum, anda sebaik-baiknya menyambung pengajian lebih ke arah itu. Atau mungkin anda ingin menghasilkan baja bermutu tinggi, fokus pengajian dan penyelidikan mungkin lebih terarah dalam bidang Bioteknologi. Apa yang penting, anda tahu apa hala tuju anda selepas menamatkan pengajian kelak.

Mula Bekerja

Dengan mengambil rakan-rakan saya sebagai sampel, saya beranggapan majoriti telah memulakan kerjaya sejurus tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda. Ada yang bekerja sebagai jurutera, syarikat konsultan dan macam-macam lagi. Bekerja adalah pilihan utama kebanyakannya. Selain menjana kewangan, pengalaman adalah perkara yang paling penting pada masa sekarang.
Pelajar yang hanya ada lepasan SPM tetapi kaya dengan pengalaman lebih menarik minat majikan berbanding pelajar yang ada Phd tetapi miskin pengalaman
Kenyataan di atas mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah orang. Tetapi percayalah, sekiranya anda mula bekerja dalam bidang industri, anda akan menerima tunjuk ajar daripada seorang Pak Cik yang hanya ada lepasan sekolah menengah!

Memulakan pekerjaan sebenarnya lebih luas. Anda dapat menimba pengalaman, bahkan anda akan dapat mempelajari ilmu-ilmu baru, seperti berurusan dengan mereka yang berlainan latar belakang. Anda mungkin perlu berurusan dengan manusia yang menjengkelkan. Bahkan anda mungkin akan berurusan dengan manusia yang serius sikapnya. Sekiranya anda dimarahi dan diperli dalam perspektif pekerjaan, itu semua adalah pengalaman yang berharga. Asalkan tidak melampaui batas. Di samping ilmu bertambah, poket juga berisi.

Goyang kaki menunggu buah jatuh

Tidak dinafikan peluang pekerjaan sekarang semakin mencabar. Tetapi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menggoyang kaki di rumah menunggu makan disuap. Anda perlu bangkit dan mula mencari peluang. Anda tidak boleh berharap kerja itu akan datang mengetuk pintu rumah anda. Sebaliknya anda perlu melangkah ke hadapan dan mengetuk pintu bilik majikan untuk sesi temuduga sekaligus bekerja.

Anda duduk dan fikir sejenak.
Ibu bapaku telah berkorban harta dan tenaga untuk melihatku berjaya. Malah mereka sentiasa menanya khabarku tentang pelajaran, kerana mereka khuatir aku tidak melunaskan yuran-yuran pengajianku. Mereka khuatir aku tidak bisa mendapat pengetahuan yang mencukupi kerana kemiskinan, lantas mereka menebus tanah demi melihatku berjaya dan mengubah nasib keluarga.
Ya. Anda berjaya menggulung ijazah, tetapi apa gunanya jika:


 Jangan jadi seperti di atas!