Sunday 3 April 2011

Jangan Mendahului Tuhan

Salam. Agak lama tidak menulis kerana tiada kesempatan masa. Untuk posting kali ini, Tukang Kayu cuba untuk memahami segelintir umat Islam yang cenderung untuk melabel pegangan orang lain sebagai sesat dan kafir. Tukang Kayu tidak mengecilkan skop pelabelan ini terhadap hubungan Ahli Sunnah dan Syiah, malah dalam kalangan Ahli Sunnah dan Wahabi turut berlaku menyesat dan mengkafirkan sesama sendiri. Amat mudah sekali, manusia yang digelar hamba Tuhan ini menghukum orang lain sebagai kafir dan sesat. Satu soalan sahaja, adakah kita ini sudah sempurna dalam peribadatan dan pengakuan kita sebagai Hamba Tuhan?

Tukang Kayu bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah (mengikut mazhab Shafiee). Sungguhpun Tukang Kayu sedar, umat Islam ini telah berpecah kepada beberapa mazhab seperti Maliki, Hanbali, Hanafi, Syiah, Ibadi, Ahli Sunnah versi Wahabi dan lain-lain, Tukang Kayu tidak pernah, tidak cenderung dan tidak tergamak untuk mengatakan mereka yang beramal selain mazhab Shafiee adalah sesat dan kafir. Kerana, yang Maha Mengetahui adalah Allah, maka mengapa kita sebagai Hamba Tuhan mendahului Allah dalam menjatuhkan hukuman terhadap orang lain? Kita sepatutnya tahu, kesemua firqah yang banyak ini hanyalah jalan untuk menuju Allah, semuanya mempunyai visi yang sama iaitu menuju Tuhan, hanya jalan sahaja yang berbeza. Jadi, kenapa kita begitu senang mengatakan "Dia kafir dan sesat"?

Faktor Kejahilan

Pada pandangan Tukang Kayu, kejahilan terhadap pegangan orang lain merupakan salah satu faktor kenapa hal ini berlaku. Hal yang membuatkan kedudukan umat Islam menjadi lemah lalu mudah dimanipulasi oleh pihak musuh Islam untuk kepentingan mereka. Malang sekali, Hamba Tuhan yang tidak menyedari bahawa dirinya jahil tergamak mengucapkan kata-kata nista terhadap orang lain. Bukankah nabi mengatakan, sekiranya kamu tidak tahu, adalah lebih baik kamu diam?

Bicara Ulama

Ada pengikut mengatakan "kami mengatakan orang ini sesat dan kafir sebab ulama kami telah justify bahawa mazhab ini sesat dan kafir". Adakah kata-kata ulama itu adalah muktamad? Adakah kata-kata ulama sentiasa benar? Jika seorang ulama menghabiskan masa 8-10 tahun mempelajari bidang agama mengikut manhaj Salaf, berapa tahun dia habiskan masa untuk mendalami mazhab lain? Adakah ulama tersebut menilai mazhab lain berdasarkan 8-10 tahun pengajiannya dalam manhaj salaf? Pada pendapat anda, bolehkah kita menerima justifikasi ulama tersebut bulat-bulat? Ia adalah diibaratkan seorang pelajar yang mempelajari ilmu biologi selama 5 tahun lalu membuat penilaian tentang ilmu fizik!

Dia Kafir, Engkau Sesat, Mereka Kafir dan Mereka Sesat

Tukang Kayu tidak bercadang untuk spesifikkan isu kafir-sesat sesama umat Islam. Cukuplah Tukang Kayu katakan, sungguhpun mereka berlainan mazhab dengan kita, jika mereka masih mengucapkan kalimah "Tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah", maka mereka adalah Islam. Jika mereka solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, menunaikan haji di Mekah, maka mereka adalah Islam. Tidak ada sebab kukuh untuk mengatakan mereka kafir dan sesat. 
Jangan mendahului Tuhan dalam menjatuhkan hukum. Adakah anda seorang yang mengetahui perkara ghaib? Adakah anda seorang yang tahu kedudukan neraka dan syurga orang lain? Bagaimana jika anda mengkafirkan dan mengatakan orang lain masuk neraka, sedangkan Allah telah menetapkan kedudukannya di Syurga dalam lauh mahfuz? Bersediakan anda untuk berhadapan dengan soal-jawab dengan Allah atas perkara ini? Maka, lindungilah diri daripada kemurkaanNya!

 
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik al-Hakim (penghukum).
 

2 comments:

Anonymous said...

Salam. Allow me to scribble in English. My Malay is undesirable. I too have wrote an article similar to this and i have given a lecture on this topic many times. Lets make Du'a that one day we shall be united again through our similarities rather then finding faults with our difference.

http://griddedpath.wordpress.com/2011/02/25/wahabi/
http://griddedpath.wordpress.com/2011/03/15/the-ummah-today/

Tukang Kayu said...

Waalaykumsalam wbt. Thanks for sharing. InsyaAllah. If we put an effort to clear this up (inter-mazhab issues), the muslim's unity will be succeed one day. What the important thing is, to give the others an understanding.

Post a Comment