Wednesday 6 April 2011

Syaitan Aktif Ketika Hamba Tuhan Remaja

Salam.

Iblis dan Syaitan adalah makhluk Tuhan yang telah bersumpah akan menyesatkan anak Adam. Mereka akan berusaha, usaha gigih sehinggalah seorang anak Adam menjadi pengikut mereka, dan menjadi peneman dalam neraka di akhirat.

Ia telah dirakam dengan jelas dalam Al-Quran:

“Iblis menjawab : “Karena Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Al-A’raf : 16-17)

Lihat, betapa tingginya azam Iblis untuk menggoda Hamba Tuhan supaya mengikut mereka dan mengkhinati Allah SWT.

Usia remaja, adalah usia di mana Hamba Tuhan bersikap aktif. Usia ini juga Hamba Tuhan itu ingin melakukan perubahan terhadap dirinya, membuat keputusan sendiri, memilih jalan yang sendiri, mengikut kemahuan sendiri, ingin mencuba sesuatu yang baru dan perasaan ingin tahu yang mendalam. Jika ia didasari Al-Quran dan Sunnah Nabi yang agung, maka segala tindakan dan keputusan Hamba Tuhan akan selari dengan kehendak Allah Azza Wajalla.

Di usia remaja juga, Hamba Tuhan itu, tidak kira sesiapa, yang jahil yang alim akan digoda oleh Iblis dan Syaitan. Daripada Hamba Tuhan yang kaki masjid sehingga kaki disko, tidak akan terlepas daripada godaan Iblis dan Syaitan. Misinya hanya satu, menyesatkan Hamba Tuhan dari jalanNya yang lurus, seperti mana disumpahkan dihadapan Tuhan Sekalian Alam dahulu kala.

Kreatif Syaitan Bab Berpasangan


Ya. Cabaran utama Hamba Tuhan remaja adalah berpasangan. Tidak terkecuali, Hamba Tuhan yang sering kelihatan di masjid ataupun madrasah, tidak akan terlepas daripada cabaran ini. Usia ini, nafsu bergejolak, mahukan sesuatu yang memberi kepuasan, dengan bantuan bisikan Syaitan, tidak mustahil, Hamba Tuhan berserban akan hilang serbannya. Kecuali yang tinggi iman dan taqwa. Moga Allah masukkan kita dalam golongan terkecuali itu.

Berpasangan, melihat orang lain berpasangan, maka hati Hamba Tuhan turut ingin bergelar pasangan. Syaitan berkreatif, menampakkan fizikal Hamba Tuhan sebagai perhiasan yang indah, terlepas ia maka satu kerugian. Maka Syaitan menyasarkan panahan antara dua Hamba Tuhan menjadi satu ikatan. Termerai perjanjian dan persefahaman antara dua insan.

Maka bermulalah strategi Syaitan. Daripada Hamba Tuhan yang kerap ke masjid, kini lekang. Masa dihabiskan demi sang kekasih, tidak diikuti, maka ia lari. Syaitan tidak punya masalah dalam menghadapi Hamba Tuhan yang sememangnya telah tersasar dari jalanNya yang lurus. Cabaran Syaitan adalah untuk menyesat dan menggoda Hamba Tuhan yang masih ada Al-Quran dan Sunnah dalam hatinya. Maka, ia tetap berkreatif. Satu terma baru. "Berpasangan untuk berdakwah".

Ya! Itulah strateginya. Asal niat berdakwah, maka ia dibolehkan. Dalam setiap pertemuan, walau berdua-duaan, asalkan ada sebutan nama Allah dalam berpasangan, maka ia adalah dibolehkan. Jika setiap kali bertemu, disusuli dengan sedikit tazkirah, maka ia dibolehkan, sungguhpun ia berdua-duan di meja makan. Melalui kiriman SMS, walau ada kata-kata kasih dan sayang yang memberahi hawa nafsu, asalkan diakhiri "kita bertemu dan berpisah kerana Allah", maka ia dibolehkan. Asalkan ada 'ana' dan 'anta' maka ia dibolehkan.

Sungguh! Syaitan bertepuk tangan. Strateginya menjadi. Benih berjaya ditanam. Lama-kelamaan ia tumbuh. Lalu subur, maka Hamba Tuhan semakin jauh, hanyut dibawa arus.

0 comments:

Post a Comment