Saturday 15 September 2012

Isu Penghinaan Terhadap Islam: Satu Pandangan

Salam.

Isu penghinaan terhadap Islam bukanlah satu kisah baru. Sejak rempuhan pesawat ke atas World Trade Center (WTC) pada tahun 2001, ketika itulah bermulanya detik-detik penghinaan dan penganiayaan ke atas umat Islam berlaku sehinggalah ke hari ini. 

Dahulu kita pernah didedahkan tentang tindakan tentera Amerika yang telah menjadikan Al-Quran sebagai pembasuh kotoran, kemudian tindakan paderi Kristian yang menganjurkan acara pembakaran Al-Quran, Al-Quran dipijak, isu karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.A.W, filem Fitna oleh Ahli Parlimen Belanda dan terbaru adalah Filem yang menggambarkan tentang kisah Nabi Muhammad S.A.A.W.

Jika kita duduk dan berfikir sejenak, apakah rasional tindakan-tindakan di atas? Apa yang mereka mahukan sebenarnya? Tidakkah tindakan jelek itu melanggar prinsip keagamaan dan tatasusila seorang manusia terhadap manusia lainnya? Adakah mereka tidak menyedari sensitiviti orang Islam? Adakah tindakan itu adalah manifestasi terhadap Islamphobia? Adakah tindakan itu menunjukkan kebencian setebal-tebalnya terhadap Islam?

Namun, jika mereka mengira tindakan itu akan menjauhkan manusia jauh dan fobia kepada Islam, maka mereka terbukti silap. Selepas berlakunya peristiwa 9/11, Islam semakin berkembang dengan pesat terutama di Eropah. Saya pasti, mereka menyedari hakikat ini, namun kenapa mereka masih melakukan satu tindakan yang pada pandangan kita perbuatan keji itu akan menconteng arang kepada agama mereka sendiri? Tidakkah manusia akan mengecop tindakan mereka itu adalah ajaran agama mereka (dalam menghina agama lain)?

Atau adakah mereka ingin memerangkap umat Islam dalam permainan ini?

Dua jenis orang Islam. Jadilah Muslim yang berlapang dada, dan jauhi daripada menjadi Muslim yang mengikut nafsu amarah dan kebencian yang membuak-buak.

Islam telah dicop sebagai agama keganasan. Mereka (barat terutamanya) silap. Islam sama sekali tidak mengajar penganutnya menjadi pengganas, sebaliknya tindakan yang berlandaskan hawa nafsu dan bisikan syaitan itulah yang menconteng dan memalitkan kotoran terhadap agama Islam yang murni dan suci.

Rangkaian pengganas Al-Qaeda telah menggesa agar diplomat US di seluruh di negara Islam dibunuh. Sila klik untuk bacaan lanjut: Hindustan Times

Al-Qaeda telah membawa nama Islam, tetapi ianya dalam keadaan kotor. Dan inilah bukti yang dicari-cari oleh musuh Islam untuk menyebarkan propaganda bahawasanya Islam adalah agama pengganas. 

Sensitiviti telah memerangkap kita. Al-Quran telah memberi peringatan kepada kita supaya tidak melampaui batas dalam sesuatu perkara. 

Jika kita mengikut nafsu amarah dan kebencian yang membuak-buak, kelak ia hanya memakan diri kita. 

0 comments:

Post a Comment