Monday 26 March 2012

Persepsi

Bukan perkara pelik manusia tersalah faham sesuatu isu. Puncanya mudah, iaitu sama ada dia tidak mendengar penjelasan atau kerana kejahilan membaluti dirinya sendiri. Kejahilan yang sengaja tidak disucikan dengan ilmu. Jika ia pernah mensucikan dirinya yang jahil dengan ilmu, pastilah ilmu itu dicedok dari bekas yang salah sehingga kotoran kejahilan itu tidak pudar dan bersih.

Bukan untuk mengatakan saya betul dan mereka salah. Cuma hanya menilai tindakan sesetengah manusia yang "sedikit" tersasar daripada kaedahnya. Jika penilaian saya salah, maka tidak ada apa yang diharapkan melainkan kemaafan. Apa yang ditulis bisa dihadam dengan daya fikiran dan logik. Tidak perlu naqli, cukup sahaja aqli.

Kesalahfahaman sesuatu isu boleh membangkitkan permusuhan. Paling tidak akan hadirnya satu persepsi negatif kepada orang lain. Setelah lahirnya persepsi, maka ia akan bertumbuh menjadi prejudis sesama manusia. Paling teruk, prejudis sesama kaum Muslimin yang akan memberi ruang kepada musuh yang nyata untuk merencanakan perancangan jahat mereka. 

Antara isu utama yang sering disalah fahami adalah tidak lain dan tidak bukan isu semasa yang melibatkan golongan di "luar" kepercayaan kita. Contohnya di bawah:

(Klik untuk memperbesarkan imej)

Sebagai tambahan, persepsi itu juga wujud mungkin disebabkan oleh ketaksuban. Ketaksuban yang melampau sehingga menampakkan kesalahan pada diri orang lain, namun tidak di batang hidung sendiri. Namun, Alhamdulillah, follow up terhadap komen yang berwarna merah rata-ratanya lebih ke arah positif, yakni menempelak komen manusia yang dibulatkan merah tersebut. 

Rata-rata yang menempelak tahu dan faham isu yang melanda, tahu membezakan mana yang perlu didahulukan dan dikemudiankan, bahkan mereka mungkin banyak membuat pembacaan dan kajian. Contohnya salah satu komen yang diutarakan adalah keIslaman penganut Islam di Iran (majoriti Syiah). Dalam erti kata lain, pengiktirafan Islam atau Muslimin kepada penganut Islam di luar lingkungan mazhabnya. Jangan jadi sesetengah golongan ilmuan yang mengkafirkan mereka tanpa keraguan. Sungguhpun golongan ilmuan itu adalah ibarat lilin yang menerangi, namun kita harus bijak agar lilin itu tidak bisa membakar diri.

 Muslim Syiah bersolat di Masjid Musa Al-Kazim

Gambar di atas adalah salah satu gambar yang dijumpai. Ini masih belum dikira solat-solat atau amalan mereka di dalam bulan Ramadhan yang lalu, serta aktiviti mereka semasa menunaikan haji di Mekah. 

Maka, di manakah letaknya kunci kekafiran itu?

Bertanyalah kepada orang yang betul

Memang benar, kita disarankan untuk bertanya kepada golongan ulama dalam sesuatu isu. Apabila kita bertanya kepada ulama dan ustaz kita, di manakah letaknya kesalahan dan kesesatan pengikut Syiah? Nescaya mereka akan melimpahkan segala hujah seperti mengkafirkan sahabat, Al-Quran tidak lengkap, nikah Mut'ah, isu kemaksuman dan pelbagai lagi. Ini tidak termasuk mereka yang menjadi mujtahid menjatuhkan hukum kafir dan penghalalan darah pengikut Syiah. 

Tetapi, bukankah pelik apabila kita ingin tahu tentang mazhab Syiah, kita perlu bertanya kepada golongan ilmuan yang berfahaman Ahli Sunnah?
Apabila kita tidak faham subjek fizik, maka kita akan mencari guru fizik untuk memberi pencerahan, kita akan mencari guru kimia apabila kita mempunyai permasalahan dalam bidang kimia, kita akan mencari guru matematik apabila kita tidak faham matematik. Tetapi adalah tidak masuk akal jika kita bertanya seorang ustaz apabila kita tidak faham tentang subjek biologi.
Oh, bukan sama sekali saya menafikan keilmuan para ulama kita. Ilmu mereka ibarat langit dan bumi berbanding diri saya. Apa yang saya persoalkan adalah kaedah kita untuk memahami sesuatu isu, apatah lagi isu di luar lingkungan pengetahuan kita. 

Jika diikutkan, dahulu saya sangat anti kepada Syiah, dan pernah menempelak amalan mereka seperti solat dengan menggunakan batu, menghina sahabat dan lain-lain. Namun, oleh sebab saya bertanya sendiri kepada mereka sebab musabab sesuatu isu, Alhamdulillah, saya lebih neutral berkaitan isu ini. Saya menanamkan benih "selagi kamu menyembah Allah yang Esa, dan kalimah tauhid Tiada Tuhan disembah melainkan Allah, dan Muhammad Rasul Allah", maka kamu adalah Islam. Islam number one. Apa-apa isu, saya akan meletakkan Islam nombor satu.


 Anda bagaimana?

0 comments:

Post a Comment