Friday 23 March 2012

Politik bukan Perkara Biasa

Jam 4.00 petang adalah salah satu waktu yang ternanti-nanti. Setelah penat lelah dan mata layu menghadap komputer pejabat, turun untuk minum petang bersama rakan sekerja adalah satu nikmat. Biasanya pelbagai isu diperkatakan, daripada isu agama, alam ghaib, tazkirah sehinggalah isu semasa terutama berkaitan politik.

Tetapi, membicarakan tentang politik bukanlah satu topik yang menjadi kegemaran saya, terutama apabila berhadapan dengan manusia one sided. Perasaan bercampur baur. Ada kalanya sakit hati, ada kalanya berasa kasihan. Saya hanya sekadar mengiyakan sahaja, paling kurang tersenyum sambil mencicah roti dengan teh panas. Lantas cepat-cepat mengalihkan isu yang keluar daripada lingkungan politik.

Politik one sided sebenarnya menyakitkan hati. Mereka hanya membaca satu media sahaja. Jika media massa lebih kepada menuduh dan menyokong maka hendaklah kita membaca sekali media alternatif yang menjawab dan membangkang sesuatu persoalan. Daripada sinilah kita boleh membuat penilaian yang adil, seperti mana yang saya postkan sebelum ini. Seorang hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan hanya mendengar hujah pendakwaraya sahaja, beliau juga wajib mendengan hujah daripada pasukan pembelaan. Kita jangan jadi zalim.
Asalkan aku dapat naik motor tak kena tembak, ok lah tu
Ini adalah salah satu dialog yang terhasil di meja kantin. Ia merujuk kepada konsep asalkan orang lain tak ganggu kita, tak kisahlah siapa pun yang pegang kerajaan. Mudah bukan? Ia lebih menjurus kepada sikap pentingkan diri sendiri. Jika dia membaca lebih sedikit tentang isu-isu semasa, bukan soal selamat jalan raya sahaja, malah keselamatan duit poket pembayar cukai yang ditiriskan perlu diambil kira. 


Jangan kita memejam mata isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. Sesetengah orang menganggap segala isu yang dibangkitkan pembangkang adalah sampah dan suka mencari kesalahan orang lain. Manusia sebegini lebih kepada ego. Menganggap diri sahaja yang betul dan menafikan pendapat orang lain. Cubalah memperhalusi setiap isu yang dibangkitkan. Duduk sebentar, berfikirlah.
Kerajaan sekarang tak zalim macam pemimpin lain. Contohnya Muammar Ghadafi 
Sesetengah manusia menganggap selagi pemimpin tak zalim sampai bunuh orang masih dikira tidak mengapa. Tetapi mereka tersilap kerana mendefinisikan zalim semata-mata terarah perbuatan yang menggunakan senjata. Tidak. Definisi zalim adalah luas. Tidak hanya merangkum penggunaan senjata sahaja. Jika seseorang tidak meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya juga dikira zalim. Jika seseorang meminum arak sedangkan dia tahu bahawa arak itu haram maka dia juga adalah zalim. 
Maka barangsiapa mengada-adakan dusta kepada Allah sesudah itu, maka merekalah orang-orang yang zalim” (Ali Imran:94) 
Hakikatnya begitu banyak kezaliman yang berlaku, cuma kita tidak menyedari sahaja.

Begitu banyak perkara yang ingin dibentangkan di sini berkaitan politik. Tetapi saya tidak bercadang untuk  melimpahkan kesemuanya. Masing-masing mempunyai daya fikir yang baik. Segala isu semuanya boleh dibaca portal-portal berita. Tinggal anda sahaja untuk menilainya sahaja. 


Politik bukan perkara main-main. Bukan perkara yang menjadi buah mulut orang-orang politik sahaja. Kita juga adalah sebahagian daripada politik. Kita yang menentukan hala tuju sebuah negara. Kita yang membentuk masa depan negara untuk generasi akan datang. Apa yang kita boleh harapkan bila negara kita kehabisan wang. Negara binasa kerana rasuah. Pastinya, generasi akan datang akan menyalahkan kita. Kerana tidak membendung dari awal. 

0 comments:

Post a Comment