Friday 21 June 2013

Membenci Mereka Janganlah Sehingga Fitnah

Salam.

Isu Syria telah menyebabkan berduyun-duyun manusia di Facebook menghamburkan kata-kata nista, cacian dan makian. Kebanyakannya bukannya terhadap Basyar yang zalim, tetapi lebih kepada ajaran Syiah Imamiyyah, yang mana sama sekali tidak sama dengan pegangan Basyar (Nusairi).

Melempiaskan kebencian terhadap kezaliman itu mungkin tidak mengapa, tetapi hendaklah berpada-pada. Kenapa pula harus menyebarkan kebencian terhadap pokok ajarannya sedangkan pelakunya tidak mengikut ajaran tersebut? Tambahan pula, saya percaya pokok ajaran mereka menentang sebarang bentuk kezaliman, hatta pelakunya berasal dari ajaran mereka.

Apa yang tidak boleh diterima, dalam melempiaskan kebencian, disebarkan pula fitnah jahat terhadap mereka. Kita adalah Sunni, masakan pula kita alim terhadap ajaran mereka.

Biarlah saya bagi satu contoh:

Si A telah membuat satu status di Facebook seperti di bawah:

"Syiah kafir kerana menyembah batu!"

Padahnya kita berlagak alim terhadap ajaran orang lain, kita telah menebarkan fitnah. Sudahlah fitnah, para pengikutnya pula bertindak luar batas apabila secara terang mengkafir dan menyesatkan mereka. Hanya kerana post perkara fitnah, diikuti pula komen yang tidak beradap, pemilik status tersebut seperti langsung tidak bertanggungjawab dalam mengawal perilaku pengikutnya.

Adab berilmu adalah bertanya kepada orang yang betul. Orang yang betul di sini bukannya ustaz dalam kalangan kita, tetapi secara terus bertanya kepada orang Syiah kenapa mereka bersujud di atas batu. Bertanya kepada ustaz kita, mereka hanya mengulas mengikut apa yang mereka pelajari dalam aliran mazhab kita. Malah, terdapat juga jenis ilmuan yang bertindak melulu mengkafirkan mereka tanpa ragu.

Mari kita melihat apa jawapan Muslim Syiah tentang perkara ini:



Saya percaya, apabila kita memberi jawapan ini kepada pemilik status tersebut, jawapan yang biasa diterima adalah 

"Hati-hati. Syiah kuat bertaqiyyah (berpura-pura)."

Kegilaan apakah ini? Apabila mereka membuat posting yang berunsur fitnah, mereka dengan mudah mengelak dengan mengatakan Syiah itu berpura-pura. Kenapa pula Syiah perlu menipu sedangkan itu pokok ajaran mereka. 

Sepatutnya, taqiyyah yang betul bagi kes ini adalah seperti berikut:

Muslim Syiah bersolat tanpa menggunakan tanah (turbah) semasa bersolat di Masjid Shah Alam kerana dikhuatiri akan mendatangkan bahaya kepada dirinya, sekiranya orang ramai tahu bahawa dia berfahaman Syiah.

Itulah hakikat taqiyyah. Bukannya suka-suka untuk bertaqiyyah. Bagi mereka, taqiyyah hanya dibenarkan apabila keadaan yang boleh mendatangkan bahaya. Secara tanpa sedar, dalam sesuatu peristiwa kita juga akan bertindak sedemikian. Contohnya:

Katakanlah anda hidup di sebuah negeri, di mana pemimpinnya zalim. Lalu, dia keluarkan arahan mengatakan bahawa sesiapa yang menganut Islam, akan dibunuh serta merta. Jadi, apabila anda ditahan oleh sekumpulan penzalim dan bertanya mengenai agama, anda mengatakan anda bukan Islam. Ianya tidak dikira menipu, kerana hati anda masih Islam. Apa yang anda lakukan adalah untuk mengelakkan bahaya.

Tak percaya?


Bacaan lain: Ilmu dan Ulama

Maka, sering ditekankan bahawa berpada-pada apabila melempiaskan kebencian tetapi disabitkan pula sesuatu ajaran di mana kita bukan ahlinya. Apa yang saya dapat di atas adalah kerana saya sendiri bertanya kepada Muslim Syiah tentang keberadaan mereka. Apabila saya mengetahui perkara ini, saya berhenti mengatakan mereka penyembah batu (sebelum ini saya tanpa segan silu anti-Syiah, malah mengkafirkan dan menyesatkan mereka). 

Namun, ini tidak bererti kita bersetuju dengan tindakan mereka yang melampaui batas menghina sahabat baginda SAW. Ada di antara mereka bersikap ghuluw, mencaci dan memaki sahabat, dan sesungguhnya, sikap ini kita tidak boleh bertoleransi. Namun, tidak bertoleransi di sini bukan satu lesen untuk mengkafirkan mereka, kerana mereka juga menyembah Allah yang Esa. 

Sikap ghuluw ada di mana-mana sahaja, walaupun dalam aliran mazhab kita sekalipun. Kita sendiri menentang orang yang ghuluw, walaupun semazhab dengan kita. Begitu juga Muslim Syiah, mereka juga menentang ghuluw dalam kalangan mereka.

Wallahualam.

Saya menulis di atas hanya sekadar membetulkan persepsi. 








2 comments:

Anonymous said...

Terimakasih info dan artikelnya semoga bermanfaat
ittelkom-sby.ac.id

Musfika said...

Artikel yang bagus, yuk kunjungi juga website kami.....

Post a Comment