Monday 22 April 2013

Kita Ada Doa!

Salam.

Seperti dijangka, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan segala perkakas yang ada dalam masa 2 minggu tempoh berkempen parti yang bertanding. Jika mereka ada 24 jam, Pakatan Rakyat (PR) hanya ditawarkan 10 minit, itupun tawaran ajak-ajak ayam daripada Rais Yatim.

Namun, bagi pihak pemerhati, SB dan risikan yang ada, di atas kertas sememangnya PR memiliki kelebihan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia. Namun, ia tidak akan diberi laluan mudah kerana parti yang memerintah 55 tahun itu tidak akan berdiam diri. Hilang kuasa bagi mereka ibarat hilang nyawa. Siapa sanggup dibicarakan, ditahan, malah ditangkap sekiranya pihak PR mahu membuka fail-fail mereka yang mana selama ini disembunyikan. Tidak sama sekali.

Ya, BN boleh menggunakan apa sahaja. Media cetak, elektronik habis semua dibalun tanpa mengira masa. Panduan kerajaan sementara entah hilang ke mana, SPR membatu tanpa ada suara pun menegur penyalahgunaan hak rakyat oleh mereka. Peruntukan, bantuan dan limpahan wang ribuan ringgit yang jelas sekali kelihatan seperti suapan langsung tidak diendahkan. Paling penting, dari manakah wang itu datang?

Ya, senjata ampuh mereka adalah SPR. SPR boleh menentukan siapa yang akan menang. Mereka berkuasa untuk melakukan ini. Mereka berkuasa untuk memindah pengundi tanpa pengetahuan. Mereka berkuasa mendaftar mat Bangla menjadi pengundi. Ini semua gila belaka!

Bila kita kata daftar pemilih kotor dan busuk, mereka menafikan walaupun bukti bergambar diberikan. Laporan jangan cakap, semua dibakulsampahkan. Mereka mengaku mereka telus, tapi telus kepala apa kalau pendaftar bernama AB Rapar bin Awang boleh mengundi 3 tempat yang berbeza?


Telus apa kalau pengundi bernama Fatimah Ismail boleh ditemui 900 kali dengan nama dan tarikh lahir yang sama?

Pesanan saya untuk SPR terutama ketuanya:
Ingatlah, dunia ini adalah sementara. Akhirat jualah tempat kembali. Segala perbuatan kita akan disoal di mahkamah akhirat. Jika anda bersekongkol dengan kebathilan, sesungguhnya kebathilan itu pasti lenyap. Jika perbuatan anda menjadikan kerakusan dan kezaliman berterusan, hak-hak rakyat diambil secara bathil dan penganiayaan berterusan terhadap kami yang mengharapkan keadilan, persaksikanlah, sesungguhnya azab Allah itu amat keras!
Ya, mereka ada kuasa. Tapi jangan lupa, kuasa Allah jualah mengatasi segala-galanya. Jika kalian beranggapan kalian telah berjaya dengan tipu daya, sesungguhnya sebaik-baik perancang adalah Allah.

0 comments:

Post a Comment