Saturday 19 May 2012

Analisa Final Piala FA

Salam.

Pertama sekali, tahniah buat skuad The Red Warriors kerana berjaya membawa pulang Piala FA yang baru ke Kota Bharu, piala yang belum pernah diperolehi semenjak diperkenalkan pada tahun 1990.

Ghaddar menjaringkan gol menerusi sepakan penalti (Kredit gambar: Dunia Sukan)

Tahniah juga buat para penyokong setia yang hadir dari setiap negeri ke Stadium Bukit Jalil, dianggarkan lebih 90000 penyokong Merah memenuhi kerusi stadium.

Ulasan tentang permainan semalam, ya, bagi saya ia satu permainan hambar bagi satu perlawanan akhir. Kerana dalam perlawanan semalam pasukan Sime Darby lebih banyak bertahan manakala pasukan Kelantan lebih bermain dengan corak menyerang. Apabila dalam satu perlawanan ada pasukan yang bertahan dan menyerang, maka hasilnya adalah hambar dan kurang menarik. Apatah lagi pasukan Kelantan terikut-ikut dengan tempo permainan Sime Darby. Namun, apabila Sime Darby ketinggalan 1-0 dengan jaringan penalti Mohamed Ghaddar, barulah Sime Darby lebih banyak menyerang dan permainan menjadi rancak menuju ke wisel penamat.

Apabila sesuatu pasukan mendahului dalam perlawanan akhir, tambah pula untuk menjulang piala pertama kejohanan, gaya melengahkan masa adalah lumrah dalam bola sepak. Namun, terlampau melengahkan masa juga bukanlah satu taktik professional. Contohnya Mohamed Ghaddar membuat shielding sedangkan beliau berpeluang untuk meneruskan serangan. Dan satu lagi insiden adalah ketika seorang pemain Kelantan melengah-lengahkan membuat lontaran ke dalam sedangkan dia ada berhampiran dengan bola. Kenapa tidak professional? Kerana penyokong datang dari jauh untuk menonton bola dan melihat pemain menghasilkan gol, bukan sekadar melihat piala dijulang semata-mata. Tentunya, perasaan kurang senang daripada penyokong Sime Darby. Seperti kata Zainal Abidin Rawop, pemain perlu mengamalkan fair play.

Namun, dalam aksi hambar semalam, saya masih memuji corak permainan baru yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan. Corak permainan hantaran pendek dan satu-dua ala Barcelona di hadapan pintu gol lawan antara Ghaddar, Mat Yo, Piya dan Indra amat menarik. Cuma perlu menambah persefahaman dan penyudah yang berkesan.

Satu lagi kelemahan pasukan Kelantan adalah kurangnya long ranger yang berkesan. Walaupun Shakir Shaari adalah salah seorang pemain yang mampu membuat sepakan dari jarak jauh, tetapi intensiti masih lemah. Setiap kali tidak kira pemain sama ada Piya atau Indra yang gemar melakukan sepakan jarak jauh, bola akan tersasar jauh melepasi pintu gol. Mungkin, salah satu faktor tidak menjadi adalah permukaan padang, namun saya lebih suka menyatakan ia adalah teknik. Kelantan perlu seseorang yang mampu menyepak seperti Rizal Fahmi di hadapan pintu gol lawan.

Hantaran jauh pasukan Kelantan bagi saya intensiti tepat ke arah tuju. Cuma kadangkala hantaran jauh jatuh ke kaki lawan menyebabkan Kelantan kehilangan bola begitu cepat. Peribadi, saya lebih gemar melihat Kelantan bermain dengan corak hantaran pendek. Hantaran jauh secara through pass setakat pemerhatian saya, Piya adalah pemain perancang yang bagus dan kreatif dalam merencana serangan melalui through pass.

Apapun, jika corak permainan sebegini diteruskan, tidak mustahil Kelantan akan muncul sebagai juara liga dan Piala Malaysia. Bojan Hodak, selain pakar dalam taktikal, beliau juga amat menekankan disiplin pemain dalam permainan.

Bagi Sime Darby, tahniah juga kerana menjadi kelab liga Premier layak ke perlawanan akhir. Satu pengalaman berharga buat mereka dan ini adalah penampilan kali pertama di pentas final, pastinya suasana berlainan daripada biasa. Gugup berhadapan 90000 penyokong adalah perkara normal. Dan mereka sebenarnya banyak menafikan percubaan dan serangan daripada Kelantan. Kemenangan 1-0 menunjukkan mereka berjaya membuktikan kekuatan mereka sedangkan pengulas dan penganalisis sukan meramalkan Kelantan akan menang dengan 3 gol.

Tahniah untuk kedua-dua pasukan!

0 comments:

Post a Comment