Monday 18 June 2012

Isu Sunni-Syiah: Satu Pandangan

Salam.

Isu Sunni-Syiah kembali menyala. Malam tadi Malaysiakini telah melaporkan tentang feedback daripada jurucakap Syiah iaitu Kamil Zuhairi terhadap ulasan Ustaz Fathul Bari dan Prof. Mahmood Zuhdi yang diterbitkan dalam Sinar Harian. Jika kita masih ingat, isu ini pernah menjadi lebih panas dan menggelegak apabila pihak JAIS telah menyerbu hauzah (madrasah Syiah) di Gombak di mana tindakan itu dilihat sebagai tidak wajar oleh sesetengah pihak. Malah, wakil Iran di Malaysia turut turun padang untuk menyelesaikan kemelut yang melanda ketika itu.

Isu ini adalah isu sensitif bagi saya selepas isu agama, ketuanan Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu di negara kita. Kenapa? Kerana ia menyentuh sensitiviti keagamaan orang lain. Bayangkan aktiviti dan kepercayaan keagamaan kita dihentam atau disalahtafsir oleh orang bukan Islam, ia akan menimbulkan kemarahan, bukan? Jadi, sama sahajalah isu Syiah dan Sunni ini.

Lebih memudaratkan apabila sikap segelintir manusia itu yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan komen berkenaan isu ini. Malah ada komen-komen yang langsung tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim walaupun dia mengakui berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah. Jika kita sudah claim diri kita sebagai pengikut Sunnah, maka hendaklah dia berfikir sejenak bagaimana akhlak Baginda Rasulullah (SAW) dalam kehidupan seharian. Adakah Baginda pernah memaki hamun? Adakah Baginda pernah memperlekeh kepercayaan orang lain? Semasa Baginda berdakwah, adakah Baginda pernah mengejek manusia yang menyembah berhala yang langsung tidak mendatangkan manfaat? 

Sebelum kita mengeluarkan sebarang komen tentang isu ini, kita hendaklah tenang dan berfikir di manakah diri kita terlebih dahulu. Di manakah kita meletakkan diri kita sebelum kita menitipkan komen tentang isu ini. Bagi saya, untuk menyatakan pendapat atau komen terhadap ajaran Syiah, kita tidak boleh meletakkan 100% dasar hujah berdasarkan prinsip ilmu kita sebagai ahli sunnah al jamaah. Jika kita menilai sesuatu ajaran berdasarkan neraca keilmuan kita, sudah tentulah unsur-unsur bias akan berlaku. 

Bias inilah yang menyebabkan isu ini berlarutan tanpa kesudahan. Bias ini jugalah akan menyebabkan kita salah faham tentang sesuatu perkara. Saya berikan satu contoh kesalahfahaman kita terhadap ajaran Syiah. 

Isu Taqiyyah

Taqiyyah jika menurut neraca kita adalah berbohong atau berpura-pura. Maka, dengan hujah taqiyyah inilah ruang untuk mendengar hujah balas daripada Syiah sering tertutup. Kerana mind set kita telah menetapkan segala apa yang keluar daripada mulut orang Syiah adalah bohong, kerana mereka mengamalkan taqiyyah. Iran berbaik dengan negara-negara Sunni juga adalah Taqiyyah. Menurut segelintir daripada kita, pemimpin Iran hanya berlakon (dengan maksud amalan taqiyyah yang dipraktikkan) di hadapan sahaja berlagak baik, senyum manis dan berpelukan, tetapi di belakang tabir mereka mempunyai dendam kesumat orang Sunni. Ini semua adalah su'u dzon (sangka buruk) belaka. Malah sangkaan buruk ini pula di dasari oleh kesalahfahaman kita sendiri. Astaghfirullah!

Jika anda ditahan oleh tentera Israel dan muncung senapang telah diletakkan di dahi anda. Lalu, tentera Israel itu bertanya "Adakah anda Muslim!?" Dalam saat genting itu, di mana nyawa menjadi taruhan, anda lalu berbohong dengan menjawab "Tidak, aku Yahudi!" Inilah sebenarnya hakikat Taqiyyah.

Taqiyyah hanya dipraktikkan apabila ia mengundang bahaya kepada diri sendiri, nyawa atau harta benda sekiranya kita berlaku jujur. Secara mudahnya, definisi Taqiyyah menurut Syiah adalah menzahirkan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran. Ianya berbeza dengan munafik, kerana munafik adalah menzahirkan kebenaran dan menyembunyikan kebatilan. Jadi, kepada pengomen yang telah menuduh orang Syiah sebagai munafik hendaklah insaf. Kerana seseorang itu menjadi munafik bukan kerana dia Syiah, tetapi kerana sikap-sikap yang ada pada diri seperti yang dibincangkan dalam blog ini:

Ciri-Ciri Munafik

Jadi, antara contoh taqiyyah yang benar menurut Syiah adalah sekiranya orang Syiah bersolat di masjid secara berjemaah, mereka akan bersolat secara bersedekap seperti mana kita solat. Walhal, cara solat mereka adalah dengan tangan di sisi. Tujuan mereka tidak lain tidak bukan untuk menjaga keharmonian dalam masyarakat. Atau dalam erti kata lain, kerana ada kekhuatiran sekiranya diketahui mereka adalah berfahaman Syiah (kerana situasi di Malaysia memungkinkan mereka ditahan atau dipulau oleh masyarakat).

Dengan penjelasan di atas yang tidak seberapa di atas, mungkin sesetengah manusia akan menganggap saya lebih alim daripada Ust. Fathul Bari? Mungkin ada manusia akan berkata:

"Ulama kita lagi tinggi ilmu mereka, mereka mendalami kitab-kitab dan bertalaqqi dengan ulama agung, mustahil ilmu mereka boleh disangkal. Kalau ulama A kata Syiah itu kafir, kita terima sahajalah. Siapa kita hendak lawan kata ulama!"

Saya tidak menyeru untuk melawan ulama. Apa yang saya titik beratkan adalah kaedah menilai sesuatu isu. Ilmu Allah itu luas. Jika kita katam beribu-ribu kitab karangan ulama kita sendiri terhadap Syiah, maka bilakah masanya pula kita hendak katam kitab-kitab ulama Syiah untuk memahami hakikat sebenar ajaran mereka? Prinsip saya mudah sahaja:

"Jika kita hendak belajar matematik, hendaklah kita merujuk kepada guru matematik. Sekiranya kita mahu memahami Biologi, hendaklah kita bertanya kepada guru biologi. Adalah mustahil kita mahu bertanya soalan fizik kepada guru pendidikan jasmani!"

Maka sama jugalah isu Sunni-Syiah ini. Sebelum komen, tanya dahulu diri kita. Adakah kita sudah bertanya kepada orang Syiah sendiri tentang sesuatu isu? Adakah kita pernah bertanya kepada orang Syiah kenapa mereka solat atas tanah yang dikeraskan (sesetengah ilmuan kita mendakwa Syiah menyembah batu) ? Adakah kita pernah bertanya kenapa mereka solat tangan lurus? Adakah kita pernah tanya kenapa waktu solat kita berbeza? Semuanya ada jawapan. Cuma tinggal kita sahaja yang perlu mencari.


Pesanan paling penting: Saya bukan orang Syiah, tetapi orang Syiah adalah saudara saya. Apabila datang isu mengenai mereka, mereka adalah tempat saya rujuk terlebih dahulu. Kemudian saya sebarkan dengan niat untuk memurnikan hubungan persaudaraan antara Syiah dan Ahli Sunnah. 

0 comments:

Post a Comment