Wednesday 16 May 2012

Elak Merungut! Bersyukur!

Salam.

Memang betullah Facebook bukan sekadar tempat untuk bersosial, malah dalam satu artikel saya pernah terbaca ia boleh memberikan kesan kepada emosi dan psikologi.

Salah satu artikel pernah menceritakan tentang kesan psikologi ke atas wanita apabila dia melihat gambar rakan-rakannya yang comel, cun dan gorgeous di dinding Facebook. Lalu dia pun berasa kurang senang kerana membandingkan dirinya dengan rakan-rakannya.

Akibatnya, dia mengalami kesan psikologi yang menjurus ke arah persoalan:

"Bagaimana aku ingin menjadi ramping seperti mereka?", "Macam mana nak jadikan rambut lembut macam kapas?" atau 

"Mereka post satu gambar, terus 20-30 orang Like, sedangkan aku post 10-20 keping gambar, seorang sahaja yang Like, itupun aku sendiri! Apakah puncanya? Di manakah silapnya? Bagaimana?Bagaimana....." 

Begitulah seterusnya sehingga dia runsing memikirkannya. Bukan itu sahaja, maka bermulalah operasi mencuba pelbagai jenis ramuan herba mahupun perubatan moden agar kelihatan seperti model Ayu Azahari. Akhirannya, duit berabis habuk pun tarak! Malah mungkin akan timbul masalah kesihatan yang berpanjangan.

Kisah lain adalah psikologi mengenai kerja. Siang malam menghadap Facebook, ditenung satu-satu baris ayat yang di post oleh rakan-rakan.

"Aku sekarang kerja dekat Shell."

"Tak adalah, aku kerja Petronas 'aje'",

"Gaji? Adalah dalam 3-4 ribu sebulan"

Stress? Kalau bagi mereka yang bergaji bawah 2000 sah-sah akan stress kalau mereka sering membuat perbandingan dengan orang lain. Cuba buat tidak kisah dan enjoy dengan kerja yang anda lakukan, InsyaAllah anda akan berasa bersyukur kerana dikurniakan kerja dan berpendapatan tetap!

Sebenarnya, pokok atau kunci penyelesaian kekusutan masalah di atas adalah SYUKUR!

Dengan menjadi manusia yang bersyukur dan qanaah (sentiasa merasa mencukupi di atas nikmatnya), sedar atau tidak masih banyak lagi nikmat yang tidak terkira.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)
Pertama: Jika kita sering mengeluh diri orang lain ramping, cun, hensem, hot, gorgeous, jelita dan apa-apa sahaja, adakah kita menyedari kita telah dikurniakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, tangan untuk mencapai dan kaki untuk berjalan? Cuba anda duduk dan renung kembali, fikirkan mereka yang cacat penglihatan, kudung kaki dan tangan, bisu dan pekak. Bukankah kita sepatutnya berasa bertuah dan bersyukur di atas segala kesempurnaan?

Kedua: Jika kita sering merungut gaji sedikit jika dibandingkan dengan orang lain, cubalah tonton rancangan Bersamamu. Ramai lagi insan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau mahu melihat secara global, cubalah cari channel Discovery yang menceritakan tentang kehidupan di Somalia atau negara benua Afrika, mereka ada yang makan rumput dan meminum air urin lembu untuk kelangsungan hidup! Maka bersyukurlah kerana kita ada gaji, masih cukup untuk membeli beras atau roti. 

Sebagai penutup, marilah kita memanjatkan rasa syukur tidak terhingga di atas nikmatnya. Kerana, semakin kita bersyukur, Insya Allah yang Maha Esa akan menggandakan rezekiNya kepada kita.
"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7) 

0 comments:

Post a Comment