Thursday 17 May 2012

Sekilas PRU 13

Salam.

Dengar cerita Pilihan Raya sudah semakin hampir. Mengikut petanda-petanda yang sedia ada seperti durian runtuh Felda, Bantuan Rakyat 1 Malaysia, Baucar Buku 1 Malaysia, parti-parti politik sudah menghantar nama-nama calon untuk dipertimbangkan, pengagihan kerusi parti dan macam-macam lagi. Semuanya tertumpu kepada PM Najib, yang mempunyai autoriti untuk mengisytiharkan pembubaran parlimen.

Biar apa pun, orang kata pilihan raya adalah hari murah rezeki. Minta apa sahaja, segalanya akan ditepati, yang penting dalam kertas undi, haruslah memangkah sang pemberi. Itulah sifir politik. Aku beri, engkau buat sesuatu. Satu budaya politik yang tidak sihat. Bagi saya, ahli politik jika mahu mendapat sokongan orang ramai, biarlah dengan hujah, bukan dengan wang ringgit dan kebendaan. Berikan hujah kenapa orang ramai perlu menyokong dan memangkah beliau. Kemampuan menjawab segala isu adalah kunci yang bagus untuk orang ramai menilai sama ada calon itu berwibawa atau tidak. Jika masih tergagap-gagap dan menyalahkan pihak lain, maka janganlah.

Saya memuji tindakan Ustaz Hasrizal dalam Facebook beliau mengisytiharkan hak demokratik beliau sebagai rakyat Malaysia. Malah disebut juga parti mana beliau menyokong tanpa berasa takut dengan tindakan oleh pihak tertentu. Tidak seperti sesetengah ilmuan yang menjaga jubah, takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut kehilangan jubah. Jadilah mereka ulama-ulama yang mengangkat kain jubah kerana khuatir terpecik darah Ibn Taimiyyah (Rahimahulllah) sekiranya dipancung Raja Qazan.

Saya, tanpa berselindung, merasakan pangkah kali ini akan ke Pakatan Rakyat. Kerana kita perlu satu pembaharuan. Selama 50 tahun kita diperintah oleh golongan bangsawan, tibalah masanya kuasa diberikan kepada rakyat biasa yang faham perit jerih sang marhaen. Melihat Buku Jingga mereka, menarik. Tidak rugi untuk mengangkat mereka walaupun sepenggal. Jika mereka mampu buktikan dan kita berpuas hati, teruskanlah memberi mandat. Jika sebaliknya, kuasa di tangan rakyat!

Sekarang terlalu banyak isu yang membelenggu pimpinan negara. Isu rasuah semakin membarah, bukan sahaja dalam negara malah masalah ini membawa ke Perancis. Isu pembaziran projek dan penyalahgunaan wang rakyat yang sering didedah oleh individu, sudah cukup untuk menidakkan mereka sebagai pilihan. Adakah kita mahu mengangkat pemimpin yang terpalit dengan rasuah? Adakah kita mahu menjadikan sang pemakan wang yang tidak diredhai sebagai pemimpin? Ini semua hujah. Bukan kebendaan. Anda menilai, anda yang membuat keputusan.

Apa-apapun, nantikan pengisytiharannya!

0 comments:

Post a Comment