Sunday 26 August 2012

Raya 2012

Salam Ramadhan telah berlalu,
Salam Aidilfiri didahulukan.
Rindu Ramadhan kembali kepadaku,
Rindu Aidilfiri kampung ditinggalkan.

Di saat coretan ini ditulis, saya telah meninggalkan kampung halaman 3 hari lepas yang terletak di Kelantan. Tidak dapat digambarkan betapa seronoknya pulang berhari raya di kampung, apatah lagi diselangi lagu-lagu raya terutamanya dendangan Allahyarham Sudirman. Namun, saya masih terkenangkan perasaan kegembiraan dan keseronokan pulang ke kampung ketika berusia 7-8 tahun. Pada ketika itu, boleh dikatakan tidak lena tidur, malah masa yang berlalu dirasakan begitu lama untuk menunggu hari kepulangan ke kampung. Pada usia itu juga, paling sebentar kami sekeluarga bercuti adalah 2 minggu dan paling lama adalah sebulan. 

Di kampung, saya berhabis masa bermain dengan sepupu dan saudara yang lain. Pelbagai permainan kami mainkan seperti main cikgu-cikgu, polis sentri dan adakalanya kami membaca majalah Ujang bersama-sama. Malamnya pula,  kami bermain bunga api dan mercun. Pagi raya pula, kami bersama-sama berkunjung ke rumah jiran untuk mendapatkan duit raya. Untuk hari seterusnya, kami berkonvoi ke Kota Bharu untuk menziarahi saudara-mara.

Tetapi 2012, saya sudah bekerja. Jika sebelum ini saya tidak dapat tidur lena selama seminggu kerana tidak sabar pulang ke kampung, tetapi 2012, seminggu sebelum raya saya perlu menyelesaikan semua tugasan sebelum bercuti. Roh untuk berhari-raya berkurang kerana tenggelam dengan kesibukan tugas. Tetapi balik tetap balik. Jika dahulu kami bercuti 2 minggu hingga sebulan, 2012 kami hanya bercuti 6 hari sahaja. Sungguh tidak puas! Jika dahulu saya bermain dengan sepupu, 2012 kami hanya melihat sepupu-sepupu yang berusia 7-15 tahun bermain sesama mereka. Tetapi, 2012 telah merubah zaman. Tiada lagi polis sentri dan main cikgu-cikgu. 2012 menyaksikan sepupu-sepupu saya menghabiskan masa dengan permainan Play Station, Tablet dan PSP. Mereka tidak lagi berkunjung ke rumah jiran sebelah rumah seperti mana yang kami lakukan dahulu. Jiran sebelah rumah masih ada pada zaman kami berziarah, cuma suami Mak Cik Sah sudah meninggal dunia baru-baru ini. 

Kerana singkatnya masa, kami sudah tidak berkonvoi seperti dahulu. Mungkin juga masalah keuzuran yang melanda kedua-dua datuk dan nenek saya. Dan mungkin juga, raya 2012 jatuh pada tahun kebanyakan saudara saya pulang ke kampung sebelah sana. 

Masa sentiasa berubah. Masa mengubah zaman. Zaman berubah kerana masa. Usia juga semakin meningkat. Ya Tuhan!

Jika dunia belum kiamat, saya tidak dapat menjangka raya untuk 10 tahun akan datang.

Aidilfitri disambut takbir bergema,
Saling bermaaf dan bermesra sesama insan,
Tiada selain ungkapan mahupun kata,
Tiadalah lewat maaf, zahir dan batin diucapkan.


0 comments:

Post a Comment