Saturday 14 April 2012

Erti Sebuah Perjuangan

Salam.

Perjuangan itu luas. Perjuangan tidak bererti tindakan mengangkat senjata lalu bertempur di medan peperangan. Perjuangan tidak bererti darah itu harus ditumpahkan. Perjuangan tidak bererti bercerai anggota badan dan kebinasaan pada jasad. Perjuangan adalah tindakan mengubah sesuatu daripada tidak baik kepada baik. Atau baik kepada lebih baik. Paling penting adalah matlamat itu jelas dengan berlandaskan etika dan akhlak Islamiyyah.

Negara kita berhadapan detik-detik getir. Pelbagai isu membadai bagai tsunami yang menhentam bumi Acheh pada tahun 2004. Isu kerajaan yang tidak telus, rasuah dan moral kedengaran hampir segenap penjuru bumi Malaysia yang dihadiri oleh pengucapnya. Ini bukan omongan kosong daripada mulut pembangkang. Ianya disokong oleh bukti-bukti yang kukuh. Dokumen, rajah, graf dan statistik dipamerkan setiap kali sesuatu isu didedahkan. Tambah menguatkan lagi persoalan ditimbulkan apabila sesetengah isu tidak dibahaskan atau tidak ada respon daripada pihak pemerintah. 

Namun, post kali ini tidak menyentuh apa isu yang dibangkitkan. Tidak akan menyentuh siapa yang mendedahkan dan kepada siapa ia ditujukan. Apa yang ingin saya sentuh adalah adab dan etika dalam perjuangan, agar perjuangan itu tidak dicemari dan dikotori dengan anasir yang negatif.

Kita tidak mahu menjadi seperti Bahrain di mana darah manusia ditumpahkan ke bumi. Kita tidak mahu menjadi seperti Syria di mana pihak pemerintah dan pemberontak saling mengangkat senjata yang akhirnya, membawa kepada peningkatan angka korban manusia. Kita tidak perlu semua itu. Kita masih belum mencapai tahap seperti perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi mereka daripada cengkaman Zionis. Cuma, kita tidak mahu pengakhiran di bumi kita menjadi pemerintah kuku besi Saddam  Husin.

Guna Saluran yang Betul

Kebiasaannya, ketidakpuasan hati diluahkan melalui dokumentasi yang teratur seperti penyerahan memorandum. Tetapkan temu janji, dan beraraklah secara aman untuk penyerahan memorandum. Dan yang penting sekali, dapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Demonstrasi Aman

Jika penyerahan memorandum gagal kerana pihak yang menerima enggan bertoleransi. Atau pihak menerima hanya membakulsampahkan dokumen selepas beberapa bulan, maka perlembagaan hakikatnya membenarkan demonstrasi secara aman. Malah, ia telah diamalkan oleh orang Melayu dahulu kala tatkala membantah Malayan Union. Malah diteruskan oleh orang Melayu daripada UMNO yang saban waktu berdemo di Pulau Pinang. Bezanya, UMNO berdemo tanpa gangguan, tetapi pembangkang berdemo dengan kesulitan dan kesusahan.


Demonstrasi Aman tanpa Provokasi

Apabila berdemo, paling penting adalah menjaga akhlak dan tingkah laku. Jangan sesekali membuat provokasi keterlaluan seperti membaling botol air, batu atau menyerang anggota polis. Saya tidak nafikan, pihak polis ada kalanya bertindak keterlaluan dalam menyuraikan perhimpunan, tetapi saya lebih suka sekiranya kita terlebih dahulu mengawal diri kita. 

Mahasiswa dan Perjuangan

Mahasiswa adalah anak muda. Anak muda yang lahir pada zaman limpahan maklumat di sekeliling mereka. Anak muda yang bakal merubah masa depan negara, kerana orang-orang tua di kampung sudah semakin berkurangan. Maka, kuasa undi terletak pada tangan anak muda yakni mahasiswa majoritinya. 

Mahasiswa adalah aset yang tinggi nilainya. Mahasiswa mempunyai akal yang waras dalam tindakan. Mahasiswa mempunyai pelajaran dan didikan yang baik, lantas bisa membezakan mana yang baik dan buruk dalam setiap tindakan.

Mahasiswa menyarakan bantahan adalah OK. Mahasiswa berjuang untuk kebaikan adalah OK. Mahasiswa menuntut hak adalah OK. Tetapi biarlah caranya juga OK. Saya menolak perjuangan mahasiswa yang menggunakan kaedah yang "masih belum sampai tahapnya". Tindakan seperti berdemo pada jam 2-3 pagi, sanggup meninggalkan pelajaran, membakar sesuatu entiti, provokasi terhadap pihak berkuasa dan juga tindakan-tindakan lain yang dirasakan tidak patut pada pandangan mahasiswa. Seperti yang dikatakan, mahasiswa adalah aset yang tinggi nilainya. Kita tidak mahu masyarakat memandang serong kerana sikap segelintir mahasiswa.
Nama saja mahasiswa, belajar tinggi-tinggi bawa harapan mak bapak, tetapi hampas dan menyusahkan orang ramai
Kita tidak mahu pelabelan sebegitu rupa daripada masyarakat.

Belajar dan Berjuang Perlu Seimbang

Mahasiswa adalah anak muda dan juga digelar seorang pelajar. Mahasiswa masih tertakluk dengan undang-undang di tempat pengajian mereka. Jangan salahkan undang-undang jika ternyata kita yang membuat salah. Kita belajar apabila masa belajar, kita menelaah apabila tiba masanya dan kita melangkah ke dewan peperiksaan bila sampai waktunya. 

Langkah Terbaik?

Jangan persoalkan dulu "mahasiswa sokong BN boleh pula, kita tidak boleh". Betul. Itu memang zalim dan tidak adil. Tapi kita perlu berpijak kepada realiti. Kita masih ada wakil luar yang boleh membawa suara kita seperti SAMM. Kita tidak boleh menongkah arus yang tinggi, sebaliknya kita biarkan arus itu kembali tenang. Atau kita meminta pertolongan luar untuk mengharungi arus itu.

Jangan memperkecilkan mahasiswa yang tidak ikut berdemo. Jangan memperli mahasiswa yang hanya menelaah buku. Jangan marah mahasiswa yang tidak mahu ikut berjuang menuntut hak. Kerana tidak mahu bukan bererti takut! Kita punya cara dan rancangan tersendiri untuk berjuang.

Mahasiswa bisa memilih perjuangan jalanan. Mahasiswa juga bisa memilih perjuangan melalui tulisan. Matlamat adalah sama. Mengubah sesuatu!

0 comments:

Post a Comment