Monday, 19 March 2012

Sokongan yang Bermakna

Salam.

Semasa ledakan the so called Revolution di Syria, saya banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan di Facebook atau Twitter yang bertentangan dengan sikap dan pendirian orang lain. Jika orang lain menyokong kebangkitan Revolusi Syria menentang Presiden Al-Assad, saya mengambil langkah bertentangan dengan menyokong pembaharuan memorandum yang diperkenalkan oleh Basyar Al-Assad.

Adapun sokongan terhadap Al-Assad bukan kerana dia adalah Al-Assad. Sepanjang pembacaan saya sehingga hari ini, serta info-info yang diperolehi tidak menafikan keburukan yang ada pada diri Al-Assad. Dalam masa yang sama, saya tidak juga menerima bulat-bulat berita-berita pembunuhan orang awam Syria dilakukan oleh tentera kerajaan. Saya percaya masih ada dalang-dalang ghaib yang hanya bertindak menghangatkan suasana. Dalang yang hanya memarakkan permusuhan antara manusia. Ibarat syaitan dan Iblis yang enggan melihat hamba Tuhan itu kembali kepada Tuhannya.

Bukankah telah dinyatakan secara jelas bahawasanya musuh-musuh nyata itu akan kekal permusuhannya terhadap kita.

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka." 
(Surah al-Baqarah ayat 120).

Sejak dahulu sehingga sekarang jarum-jarum sentiasa disuntik dalam pemikiran umat Islam, tidak lain dan tidak bukan untuk meracuni pemikiran bagi mereka yang masih tidak menyedari. Perasaan menentang dan prejudis sesama Muslim adalah kesan daripada suntikan itu. Manusia akan kekal dalam kejahilan melainkan mereka melapangkan dada dan pemikiran. Berdiri tegak di atas satu pasak yang ampuh, yang melihat kepada realiti tanpa bergantung kepada kisah-kisah lama yang menjadi sejarah lalu. Sejarah-sejarah lalu diungkit membungkam kesalahan lampau, ternyata sekali tidak bersesuaian dengan realiti semasa di mana manusia Islam bergerak ke hadapan mencari penyelesaian dan pendekatan ukhwah Muslimin.

Di manakah kita berdiri sebenarnya? Adakah kita masih belum temui penawar suntikan racun itu? Adakah kita masih tercari-cari? Adakah kita hanya membiarkan racun itu mengalir dalam diri yang menjadikan pemikiran kita semakin sempit? Pemikiran yang hanya mengatakan kita sahaja yang betul manakala yang lainnya adalah salah dan sesat? Jawapannya ada pada anda.

Kembali kepada isu utama. Pelbagai persoalan masih berlegar-legar dalam kotak fikiran, bagaimanakah puak-puak pemberontak mendapat senjata untuk menentang kerajaan Syria? Siapakah yang membekalkan senjata kepada mereka? Apakah tujuannya? Jika Al-Assad jatuh, siapakah yang paling beruntung sebenarnya?
Zionist regime's Intelligence Minister Dan Meridor has supported attempts to overthrow Syrian President Bashar al-Assad’s government, arguing that it would break the Iran-Syria nexus of resistance against Tel Aviv.
Dan Meridor

Maka, bolehkah sekiranya saya mengatakan sokong Revolusi Syria adalah senada dengan Regim Tel Aviv? Adakah penentangan terhadap kerajaan Syria adalah menunjukkan keredhaan Zionis dalam isu ini? Redha Zionis bererti kita sudah satu jalan bersama mereka, kerana mereka tidak akan pernah redha jika kita tidak mengikuti jalan mereka.

Mungkin masih terlalu awal untuk mensimpulkan kenyataan ini. Teruskan pembacaan anda. Pembacaan two ways adalah satu kemestian!

Demonstrasi di Malaysia dalam isu Syria

Sekali lagi. Saya tidak katakan demonstrasi menentang kezaliman itu salah. Kezaliman wajib ditentang tidak kira apa agama dan mazhab yang dianutinya. Cuma, hendaklah kita tahu sokongan itu memberi makna dan manfaat kepada diri kita (Islam). Bukan sokongan yang memberi peluang kepada musuh yang nyata menangguk air yang keruh. Krisis di Syria belum berakhir selagi matlamat musuh yang nyata belum tercapai. Maka sekali lagi, perbanyakkan pembacaan two ways.

Friday, 9 March 2012

Keadilan dalam Penilaian

Salam wa Rahmah.

Blog yang sekian lama berhabuk dan bersawang perlu dibersihkan, malah kata laluan pun hampir lupa. Berniat untuk kembali menaip serba ringkas, malah boleh dijadikan satu medium untuk menyatakan pendirian dalam sesuatu isu. Bahkan boleh menjelaskan mana yang kabur untuk mengelakkan salah faham, yang lebih utama membersihkan manusia-manusia di sekeliling daripada tuduhan-tuduhan yang tidak ada asas dan pasaknya.

Adapun yang mendorong untuk kembali menaip di atas papan kekunci yang usang, di hamparan dinding blog yang berhabuk dan bersawang adalah berkenaan isu yang melanda negara-negara yang kita boleh kategorikan sebagai “negara sasaran musuh untuk dimusnah atau dikuasai”. Bermula daripada kebangkitan di Tunisia, Mesir, “Bahrain”, Libya dan kini Syria, maka berbondong-bondonglah umat manusia Islam bangkit menyeru ke arah perjuangan. Perjuangan tanpa ada tujuan adalah sia-sia, perjuangan tanpa mengenal musuh sebenar adalah membawa rebah. Al-hasilnya adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri dalam kalangan manusia Islam manakala musuh yang nyata hanya melirik senyuman kepuasan. Mereka tidak perlu memerah keringat, tidak perlu membazirkan peluru dan senjata, cukup hanya menggunakan satu kunci. Kunci yang mengucar-kacirkan perpaduan umat, kunci yang mendorong kebencian sesama sendiri, kunci yang membangkitkan perseteruan. Perbezaan Mazhab adalah kunci yang paling ampuh dan kukuh. Perbezaan mazhab adalah ibarat api yang memulakan, dan dimarakkan oleh umat Islam yang taksub dan fanatik.

Mudah untuk menilai apabila isu mazhab dinyalakan. Lihat sahaja isu Syria, bermula dengan perjuangan yang dikatakan menentang kezaliman, kejahatan dan tuntutan demokrasi terhadap Basyar al-Assad, maka tiba-tiba sahaja satu kelompok manusia menyelitkan isu mazhab dalam mood kebencian yang nyata. Lalu disebarkan pula kepada orang ramai, dan orang ramai terus-menerus menyebarkan benih kebencian sehinggalah subur kefanatikan dan ketaksuban yang menebal dalam jiwa mereka. Saya begitu hairan, apabila kejahatan yang dilakukan oleh individu disabitkan dengan mazhab yang menjadi pegangannya. Satu konklusi yang tidak adil dan mentah seperti page di bawah:


Menyebarkan maklumat adalah bagus, tetapi hendaklah dipastikan dari sumber yang sahih dan benar. Apa yang terkandung di dalam page ini bukan sekadar mendedahkan kebobrokan tentera-tentera Basyar dan pendokong revolusi, malah sumpah laknat, makian dan kata-kata nista terhadap mazhab orang lain turut menjadi mangsa. Adapun pula yang berkata-kata itu adalah jahil. Saya tidak menolak kemungkinan berlakunya keganasan oleh tentera-tentera kerajaan mahupun pendokong revolusi, tetapi pendedahan maklumat dari sumber lain yang menafikan keganasan itu berlaku turut disiarkan oleh orang-orang awam di Syria seperti di page ini: 

Maka di sini apa yang perlu ditekankan adalah kepentingan menilai two ways, bukan one way. One way evaluation lebih kepada bias, kerana tidak ada counter argument dalam penilaian. Inilah yang ditekankan oleh Dr Scott Brandt dalam menilai laman informasi. Malah dalam kitab agung kita Al-Quran turut menyeru agar menilai sesuatu berita dan mengelakkan sangkaan. Jadi, di manakah kita?



Thursday, 14 April 2011

Blog Dr. Faisal Tinggal Kenangan

Salam.

Tukang Kayu sempat membaca entry terakhir Dr. Faisal, mungkin dalam 2 hari lepas. Dan tajuk entry terakhir ada di birai kanan blog Tukang Kayu. Tajuk masih ada, cuma sekarang ini blog tersebut totally terminated daripada akaun blogger. Walaupun Tukang Kayu bukanlah pengikut setia blog Dr. Faisal (kerana hanya beberapa bulan sahaja mengikuti perkembangan blog Dr. FT), tetapi entry terakhir beliau sedikit sebanyak menyentuh perasaan para pengikutnya. Lihat sahaja Facebook Dr. Faisal Tehrani, rata-ratanya masih merindui tulisan beliau sungguhpun tulisan beliau mengundang ketidaksenangan beberapa pihak.

"Entri ini adalah merupakan entri terakhir dari saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi mengunjungi ruang kecil ini....." begitulah lebih kurang nota kecil yang ditinggalkan oleh beliau sebelum akaun blog dipadamkan.

Sungguhpun, melalui komen yang ditinggalkan oleh pembaca di ruang komen ada yang membantah, tidak bersetuju, ada yang menyokong, memperli, mengejek dan bermacam-macam jenis komen terhadap beliau, yang pasti bagi Tukang Kayu beliau berupaya mengubah mentaliti segelintir dari kita terhadap sesuatu yang dahulunya kontroversi. Iaitu, enrty yang berkisar Syiah dan Iran. Jika dahulu kita sering melabel orang Syiah sesat dan kafir, selepas membaca hakikat sebenarnya melalui penulisan beliau, sedikit sebanyak mulut kita bertapis daripada pelabelan sedemikian (hendaknya).

Apapun, pastinya beliau mempunyai sebab dan alasan. Kerana penulisan beliau juga, mungkin beliau diperhatikan oleh beberapa pihak. Hanya beliau sahaja yang tahu sebabnya. Apapun, syabas buat Dr. Faisal Tehrani. Orang sastera seperti beliau, tidak akan berhenti menulis.

Wednesday, 13 April 2011

Faham Dahulu, Kemudian Komen.

"Kau ni penyokong pembangkang. Tapi, kau sedar tak, kau dapat itu dan ini sebab kerajaan bagi. Tapi engkau sokong pembangkang. Sepatutnya, kerajaan tak payah bagi engkau apa-apa, sebab engkau tak sokong kerajaan" - Rakyat Marhaen.

Memang ada segelintir manusia marhaen berfikiran sedemikian. Masih kabur dengan politik, tetapi berkata-kata seolah-olah ahli dalam bidang politik. Jika berkritik secara ilmiah tidak mengapa, masih boleh diterima. Tapi jika mengkritik secara totok, sesiapa sahaja boleh ketawa.

Kerajaan. Kerajaan itu apa? Adakah kerajaan bermaksud kerajaan Barisan Nasional? Adakah kerajaan bermaksud Kerajaan Pas? Kerajaan DAP? Ya. Terma ini boleh diterima sekiranya memang sah, parti-parti yang disebut memegang kerajaan. Tapi, apabila kita berkata kita membangkang, kita membangkang kerajaan itu atau membangkang siapa yang memegang kerajaan? Jika kerajaan terlibat dengan rasuah, yang melakukan rasuah itu kerajaan atau pemerintah kerajaan? Cuba jawab persoalan ini, baharulah anda boleh membuat komen mengenai politik.

Sunday, 10 April 2011

Politik Shit dan Sampah

Salam.

Isu terhangat sekarang adalah Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan memulakan pembuangan undi 16 April ini. Parti-parti politik, tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat memanfaatkan tempoh kurang seminggu lagi tempoh kempen berakhir. Setiap parti bertanding, punya manifesto masing-masing, demi menarik sokongan para pengundi. Undi itu wajib! Kata ulama PAS. Ya. Pemilihan pemimpin adalah perkara penting. Setiap insan punya tanggungjawab.

Pelbagai ragam manusia, apabila bicara tentang politik. Ada yang bersemangat, berjaga sepanjang malam membaca-membaca cerita politik. Ada yang tidak ambil tahu, "janji kosong", "aku tak kisah sesiapa pun, yang penting tak kacau aku". Demikian kata-kata rakyat marhaen.

Politik SHIT! Tidak kurang yang berkata sedemikian.
Politik SAMPAH! Ada juga menutur sedemikian.

Ya. SHIT dan SAMPAH jika rakyat marhaen ditadbir oleh para pemimpin yang mementingkan diri.

Sebenarnya, politik adalah penting dan perlu diambil tahu. Kerana kita hidup disebabkan politik. Kita aman dan makmur jika politik stabil. Kita dapat makan dan minum jika politik stabil. Kita dapat belajar di universiti dan kolej jika politik stabil. Untuk menstabilkan politik, perlu memilih pemimpin yang adil, bijaksana, berwawasan dan paling penting tidak mengamalkan korupsi.

"Orang politik cakap kosong". Ya. Barangkali. Mungkin. Tapi untuk mengatakan kosong tanpa berisi walau setitik adalah tidak terjadi. Daripada 15 janji, 1 ditunaikan, 14 masih on the way maka ia tidak kosong. Janji atau disebutkan sebagai manifesto adalah visi setiap parti yang bertanding. Setiap visi memerlukan misi. Dan misi inilah yang mengambil masa, mungkin berbulan dan bertahun. Ada juga menjalankan misi secara berperingkat. Misi bergantung kepada banyak faktor. Kewangan, pengurusan dan kepimpinan.

Rakyat marhaen berkata, negeri PR mundur. Pemimpin PR janji kosong. Sabar. Sebelum itu, kaji dahulu bagaimana hubungan kerajaan negeri PR dan kerajaan pusat. Negeri PR sering dipinggirkan daripada projek pembangunan. Dana tidak diberi, jika diberi kurang berbanding negeri BN. Royalti tidak diberi atau diambil balik. Ini semua faktor. Wang dan kekayaan daripada hasil ini penting untuk menjayakan misi. Jika dinafikan, maka misi menjadi lama untuk mencapai visi.

Undi pemimpin yang adil. Tidak korup. Itu tanggungjawab. Kesan politik daripada pemimpin zalim dan tidak adil adalah jangka panjang. Jika terus ditadbir pemimpin korup, lama kelamaan wang negara menurun. Selepas sekian lama, maka ia habis. Ketika itu inflasi meningkat, harga barang naik berganda. Kekurangan wang bakal mengakibatkan kebuluran, memaksa rakyat marhaen mencari wang sedaya upaya, walau dengan mencuri dan merompak. Ketika itu politik tidak lagi stabil. Rakyat melarat dan merempat. Pemimpin kaya ke luar negara memohon kerakyatan negara lain. Mereka tak apa. Kerana mereka kaya. Tingggal kita sengsara. Itulah! Pentingnya memilih pemimpin adil.