Sunday, 27 March 2011

Fenomena Pendedahan Gambar

Salam.

Sejak kebelakangan ini, Tukang Kayu melihat begitu ramai sekali Hamba Tuhan mendedahkan gambar-gambar di laman sosial. Sungguhpun gambar itu menutup aurat, cantik bertudung, dan warna berseri, adakah ia dikira masih dalam kategori menutup aurat?

Secara zahirnya, ia sememangnya menutup aurat. Tapi, apabila dipaparkan gambar-gambar yang menjadi tarikan Hamba Tuhan lelaki dan Hamba Tuhan perempuan untuk memuji-memuja dan tentu sekali akan hadir hawa nafsu, ia akan membawa kepada dosa tanpa disedari.

Hadis dalam Bukhari ada menyatakan:

"Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla menetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina . Mata berzina, dan zinanya ialah memandang. Dan lidah berzina, dan zinanya ialah berkata-kata. Dan kaki berzina, dan zinanya ialah melangkah. Dan tangan berzina , dan zinanya memegang, dan hati bernafsu dan berangan-angan, dan kemaluan (faraj )lah yang akan membenarkannya atau mendustakannya.”


Thursday, 24 March 2011

Bagaimana Untuk Bersatu?

:Salam:

Adakah mustahil Sunni dan Syiah bersatu? Bagi Tukang Kayu, ia tidak mustahil sama sekali. Kunci utama adalah toleransi.


Toleransi adalah perkara paling penting untuk perdamaian dua atau lebih pihak yang berlainan pendapat. Dalam kerja berkumpulan yang ada 4 orang ahli, untuk menghasilkan satu keputusan muktamad memerlukan toleransi dalam 4 orang tersebut. Pasti, dalam 4 orang ini, mempunyai pendapat yang berlainan dan hujah masing-masing. Namun, jika mereka bertolak-ansur dan bertoleransi, satu kesepakatan akan berhasil. Begitu juga Sunni dan Syiah.

Pemimpin Syiah, Ammar al-Hakim (kiri) melawat pemimpin Sunni, Ahmed Abu Risha di Iraq

Seperti yang Tukang Kayu katakan, kunci utama adalah bertoleransi. Maksud toleransi di sini bukan bererti kita menggadaikan prinsip-prinsip pegangan kita. Apa yang Tukang Kayu ingin sampaikan adalah kita meletakkan perbezaan jauh di belakang, dan biarkan persamaan berada paling hadapan. Apakah maksudnya.

Persamaan paling utama adalah Tuhan yang disembah oleh Sunni dan Syiah adalah sama, yakni Allah SWT. Dia-lah tempat kita memohon pertolongan dan petunjuk.

Sunni dan Syiah di hadapan Allah adalah sama

Persamaan kedua. Kiblat Sunni-Syiah adalah sama. Untuk berdiri hadapan Allah, perlulah menghadap satu arah yang sama iaitu Baitullah al-Haram di Mekah. Umrah dan Haji juga perlu dilaksanakan di Mekah. Maka ini adalah persamaan antara Sunni-Syiah.

Ahmadinejad di Mekah

Persamaan seterusnya tentu sekali mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi rahmat seluruh alam. Dan terakhir sekali Kitabullah yakni Al-Quran Sunni dan Syiah adalah sama. Seseorang pernah menulis, beliau ke Mekah dan duduk sekali dengan jemaah haji dari Iran. Beliau ingin sekali melihat Al-Quran yang dibawa oleh jemaah haji Iran untuk mengetahui benarkah Al-Quran Syiah itu palsu. Beliau membacanya dan membandingkan serta menyimpulkan bahawa Al-Quran yang dibawa oleh jemaah haji Iran adalah sama dengan Al-Quran miliknya.

Persamaan ini sebenarnya telah cukup untuk menyatukan persaudaraan Sunni-Syiah. Tidak perlu dibahaskan kenapa begini dan begitu kerana itu tidak penting. Kenapa kita lebih cenderung membahaskan sesuatu yang akhirnya akan melemahkan kekuatan Islam itu sendiri? Malah, ia akan melebarkan lagi permusuhan dalam kalangan umat Islam? Dalam masa yang sama, musuh Islam bertepuk tangan.

Yang paling penting adalah memperkuatkan kembali Islam dan digeruni oleh musuh-musuh sebenar Islam. Mereka adalah:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.- Al-Baqarah 120.

Wahai orang Islam, bersatulah!

Wednesday, 23 March 2011

Demi Kemanusiaan, bukan Perbezaan

:Salam: Gambar kredit dari blog : Dr. Faisal Tehrani

Tukang Kayu merasakan, jawapan paling tepat kenapa umat Islam tidak kisah mengenai situasi Bahrain adalah kerana majaroti penduduk di sana adalah bermazhab Syiah. Tambahan pula dengan kenyataan-kenyataan individu yang menyerlahkan lagi bahawa kebangkitan rakyat Bahrain adalah kebangkitan Syiah. Walhal, rakyat Bahrain sendiri menyedari betapa bobrok pemerintah monarki di Bahrain.

Mungkin, hanya kerana perkataan "Syiah" inilah, kita sebagai umat Islam menjadi buta dan tuli (tidak semua). Kenapa wahai orang Islam? Adakah kerana mereka kafir? Adakah kerana mereka sesat? Beritahu Tukang Kayu, jika mereka kafir dan sesat sekalipun, adakah darah mereka halal untuk ditumpahkan? Adakah kerana mereka kafir dan sesat maka kita redha dengan tindakan tentera menembak mati penduduk Syiah? Bukankah dalam ajaran Islam, orang kafir yang tidak memberi ancaman wajib diberi perlindungan dan jaminan keselamatan? Kanak-kanak dan wanita yang terbunuh, adakah kita hanya mengatakan "tidak mengapa kerana mereka Syiah!?" Wajarkah anda berkata begitu wahai orang Islam!? Apakah kalian tidak punya perasaan kemanusiaan wahai orang Islam!?

Bagaimanakah jika ia terjadi dalam kalangan ahli keluargamu wahai orang Islam!? Bagaimana jika bapamu diperlakukan sedemikian wahai orang Islam!? Bagaimana jika ibumu ditembak mati di hadapanmu serta adik-adikmu yang masih kecil wahai orang Islam!? Bayangkan adik perempuanmu menangisi di atas kematian ibumu wahai orang Islam!


Bagaimana jika abangmu diburu, dan diseret di hadapanmu lalu ditembak tepat di kepala sehingga tersepai otak wahai orang Islam!? Apakah perasaan mu, apabila berita-berita yang terjadi terhadap keluargamu diketahui oleh orang ramai, tetapi orang ramai mengatakan "tidak mengapa, mereka sesat" wahai orang Islam? Bagaimana di saat abangmu yang ditembak di kepala masih dalam keadaan nazak lalu engkau mencari pertolongan, dan pertolongan yang diperolehi hanyalah kata-kata "kamu bukan dalam kalangan kami dan kami tidak akan menolongmu"? Apakah perasaanmu wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila melihat bapamu menangisi pemergian abang serta ibumu wahai orang Islam?


Apakah perasaanmu apabila melihat adik keduamu mendakap erat dengan tangisan terhadap mayat ibumu yang terbujur kaku wahai orang Islam? Apakah perasaanmu apabila adik-adik kecilmu bertanya kepadamu "mengapa ibu ditembak?" wahai orang Islam? Apakah jawapanmu apabila adik-adikmu terus bertanya kepadamu "kenapa orang ramai tidak menolong ibu" sambil menangis wahai orang Islam?


Begitu juga dengan mereka wahai orang Islam! Di saat mereka menangis, merintih, dan meraung meminta pertolongan, adakah kalian pernah mendengar dan mengetahuinya wahai orang Islam? Adakah kalian hanya menunggu ia terjadi terhadap ahli keluargamu baharulah kamu merasa kepedihannya wahai orang Islam?

Ingatlah, mereka punya perasaan. Mereka ada rasa sakit dan pedih wahai orang Islam. Jangan kafirkan mereka. Jangan sesatkan mereka. Mereka adalah kita, kita adalah mereka, kerana kita adalah manusia. Yang punya hati dan perasaan. Yang punya air mata untuk ditangisi. Yang punya kesedihan untuk dikongsi.






Sunday, 20 March 2011

Antara Hormat dan Kesal

:Salam:

Tukang Kayu amat menghormati Dr. Yusuf Qardawi. Kerana beliau adalah ulama terkenal dan agung bagi Tukang Kayu. Bukan sahaja kekaguman dari segi keluasan ilmunya, malah kelantangan beliau menentang penjajahan Yahudi ke atas tanah rakyat Palestin. Bagi Tukang Kayu, beliau adalah suara umat Islam, suara yang mewakili setiap insan Muslim di dunia. Tempat rujukan dan pandangan umat Islam. Begitu agung sekali Tukang Kayu mengangkatnya.

Namun, dalam tingginya hormat Tukang Kayu terhadap beliau, timbul sedikit kekesalan apabila mendapat tahu pandangan beliau berkaitan rakyat Bahrain. Kenyataan beliau seperti di sini: Al-Arabiya dan khutbah Jumaat beliau di sini: Khutbah Jumaat Dr. Yusuf

Antara kenyataan beliau adalah kebangkitan rakyat di Bahrain bukanlah satu revolusi seperti mana revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya. Kebangkitan di Bahrain adalah penentangan Syiah terhadap kerajaan Sunni, bukan atas dasar kesedaran rakyat Bahrain keseluruhannya walaupun yang turun di jalanan adalah saudara-saudara Sunni-Syiah.

Tukang Kayu walaupun hina dan rendah dibandingkan dengan beliau, bukankah sepatutnya beliau perlu melihat dan menilai perkara yang lebih besar lagi? Misalnya, kekejaman tentera Saudi yang bertindak membunuh rakyat yang tidak berdosa. Tukang Kayu yakin 101% Dr. Yusuf Qardawi mengetahui larangan membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Jika Nabi melarang membunuh tiga kategori ini semasa berperang, apatah lagi untuk membunuh mereka di luar waktu peperangan. Tetapi apa yang terjadi adalah pembunuhan rakyat Bahrain tidak mengira umur. Bukankah perkara ini lebih utama berbanding dengan melihat isu Syiah dan Sunni?

Apatah lagi negara tempat tinggal beliau iaitu Qatar, turut menghantar tenteranya mengganyang rakyat Bahrain: Tentera Qatar Adakah beliau tidak menghalang pemerintah Qatar agar tidak menambahkan dosa-dosa membunuh?

Tukang Kayu kesal kerana ulama hanya tahu melihat perbezaan. Mereka seharusnya menjadi ulama kepada umat Islam tanpa melihat perbezaan. Orang yang berlaku zalim tetap zalim walaupun pelakunya Sunni, begitu juga Syiah yang menzalimi Sunni.

Friday, 18 March 2011

Simpati Bahrain

:Salam:

Setakat ini, masih tidak ramai yang menyedari hakikat yang terjadi di Bahrain. Tukang Kayu melihat jumlah rakan yang mengklik LIKE pada page Free Bahrain masih tidak ramai. Bagi pengguna Facebook, anda dianjurkan untuk memberi secebis sahaja sokongan dengan menekan LIKE pada link di bawah:

Free Bahrain

Sekarang ini, rakyat Bahrain mengalami kesukaran dan keperitan angkara tentera-tentera Saudi dan negara Arab lain. Ada yang dibunuh dan dipukul tanpa mengira lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak hatta seorang bayi. Sekali lagi, Tukang Kayu menyeru agar kita sebagai umat Islam perlu memberi sokongan kepada rakyat Bahrain menentang kezaliman pemerintah. Adakah kita takut dilabel sebagai penyokong Syiah? Tukang Kayu menolak itu semua. Kita menyokong kerana kita menentang kezaliman pemerintah dan tentera-tenteranya.

Raja Hamad Isa Khalifa (Raja Bahrain)

Ada juga terdapat gambar Raja Hamad dan Shimon Peres (Israel) tetapi tidak dapat dimuatkan di sini. Updated news boleh didapati melalui link di atas.
 
Ahmad Farhan yang terbunuh akibat cedera parah di kepala. Sumber: Dr Faisal Tehrani
 
Tukang Kayu serahkan kepada anda.